Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang keturunan Nabi Muhammad SAW? Benarkah ada yang menyebut riwayat tentang nama datuk moyang Nabi sehingga ke Nabi Ibrahim? Bahkan, saya juga ada terjumpa di internet tentang nasab Nabi SAW hingga ke Nabi Adam. Bagaimana statusnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW, sepertimana dalam riwayat daripada Wasilah bin al-Asqa’ R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ وَاصْطَفَى قُرَيْشًا مِنْ كِنَانَةَ وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِي هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِي مِنْ بَنِي هَاشِمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari keturunan Nabi Ismail, dan memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Hasyim dari Quraisy, dan memilihku dari Bani Hasyim.”
Riwayat Muslim (2276)
Manakala dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, Bab Pengutusan Nabi SAW (4/228), disebut:
مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّه بْنِ عَبْدِ المُطَّلِبِ بْنِ هَاشِمِ بْنِ عَبْدِ مَنَافِ بْنِ قُصَيِّ بْنِ كِلاَبِ بْنِ مُرَّةَ بْنِ كَعبِ بْنِ لؤَيِّ بْنِ غالِبِ بْنِ فِهْرِ بْنِ مَالِكِ بْنِ النَّضْرِ بْنِ كِنَانَةَ بْنِ خُزَيْمَةَ بْنِ مُدْرِكَةَ بْنِ إِلْيَاسَ بْنِ مُضَرَ بْنِ نِزَارِ بْنِ مَعَدِّ بْنِ عَدْنَانَ
Maksudnya: (Nabi Muhammad SAW bernama): Muhammad Bin Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abdu Manaf bin Qusai Bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib Bin Fihr bin Malik bin Al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah Bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan. (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/228).
Adapun berdasarkan penjelasan Syeikh al-Mubarakfuri dalam bukunya, al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 48-49), keturunan Nabi SAW dapat dibahagi menjadi tiga kategori seperti berikut:
- Kategori pertama adalah pembahagian yang telah disepakati oleh para sejarawan dan pakar pengkaji keturunan (genealogi), iaitu berakhir pada Adnan.
- Kategori kedua adalah silsilah keturunan yang menjadi perdebatan dan diperselisihkan di antara mereka dan tidak dapat ditentukan dengan pasti, iaitu silsilah keturunan yang dimulakan daripada Adnan hingga Nabi Ibrahim AS.
- Kategori ketiga adalah silsilah keturunan yang tidak diragukan lagi mengandungi hal-hal yang tidak sahih, iaitu dimulai daripada Nabi Ibrahim AS hingga Nabi Adam AS.
Berikut adalah perincian bagi tiga jenis kategori keturunan Baginda yang telah disebutkan:
Kategori Pertama
Muhammad bin Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib (yang bernama sebenar Syaibah) bin Hasyim (yang bernama sebenar ‘Amr) bin ‘Abd Manaf (yang bernama sebenar al-Mughirah) bin Qusai (yang bernama sebenar Zaid) bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr (Fihr dikenali dengan gelaran Quraisy dan nama kabilah Quraisy disandarkan kepadanya) bin Malik bin al-Nadhr (yang bernama sebenar Qais) bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah (yang bernama sebenar ‘Amir) bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan.
(Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/1-2; Talqih Fuhum Ahl al-Athar, hlm. 5-6; Rahmatan li al-‘Alamin, 2/11)
Kategori Kedua
Ia merujuk kepada nama-nama moyang Baginda yang berada di atas Adnan.
Adnan bin Udad bin Hamaisa’ bin Salaman bin ‘Aus bin Bauz bin Qimwal bin Ubai bin ‘Awwam bin Nasyid bin Haza bin Baldas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahisy bin Makhi bin ‘Aidh bin ‘Abqar bin ‘Ubaidh bin Ad-Da’a bin Hamdan bin Sanbar bin Yatsriba bin Yahzin bin Yalhan bin Ar’awi bin ‘Aidh bin Daisyan bin Aisar bin Afnad bin Aiham bin Muqsir bin Nahits bin Zarih bin Sama bin Maza bin ‘Audhah bin ‘Iram bin Qaidar bin Ismail bin Ibrahim.
Syeikh al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa Syeikh Muhammad Sulaiman al-Mansurfuri telah mengumpulkan pembahagian silsilah keturunan ini berdasarkan riwayat al-Kalbi dan Ibn Sa’ad setelah menjalankan penyelidikan dan analisis yang teliti. (Lihat Rahmatan Li al-’Alamin, 2/14-17)
Selain itu, terdapat perbezaan yang ketara dalam sumber-sumber sejarah mengenai pembahagian garis keturunan Nabi Muhammad SAW ini.
Kategori Ketiga
Ia merujuk kepada nama-nama moyang Baginda yang berada di atas Nabi Ibrahim AS.
Ia dimulakan dengan Ibn Tarah, yang merupakan bapa kepada Nabi Ibrahim (namanya adalah Azar) bin Nahur bin Saru’ atau Sarugh bin Ra’u bin Falakh bin ‘Abir bin Syalakh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nuh bin Lamik bin Mutausyalakh bin Akhnukh (Dikatakan bahawa Akhnukh adalah Nabi Idris) bin Yard bin Mahla’il bin Qainan bin Anusy bin Syith bin Adam.
Inilah penjelasan sepertimana dikemukakan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 48-49).
Kami berpendapat, cukuplah apa yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari sebagai nasab yang sahih. Adapun selepas daripada itu, serahlah kepada Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”