Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum jemaah perempuan tidak mahu merapatkan saf walaupun sudah ditegur?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Melurus, merapatkan dan menyempurnakan saf adalah salah satu sunnah yang dituntut ketika solat berjemaah, bahkan merupakan cara beribadah para Malaikat yang Allah SWT arahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW agar menurutinya.
Allah SWT berfirman:
وَإِنَّا لَنَحْنُ الصَّافُّونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kamilah yang menjadikan mereka (para malaikat dan hamba Allah) berhimpun dalam keadaan saf barisan yang teratur (untuk menyembah Allah).”
(Surah al-Saffat: 165)
Imam al-Tabari meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab ketika sebelum mengimamkan solat, beliau akan berpesan kepada makmum untuk merapatkan saf dan menyempurnakannya seraya berkata:
إِنَّ اللهَ إِنَّمَا يُرِيدُ بِكُمْ هَدْىُ الْمَلَآئِكَةِ اسْتَوُوْا، تَقَدَّمْ أَنْتَ يَا فُلَانَ، تَأَخَّرْ أَنْتَ أَيْ هَذَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mahu kalian mengikuti pedoman beribadah para Malaikat. Luruskan saf, rapatkan saf. Wahai fulan, maju ke hadapan sedikit. Wahai fulan, undur ke belakang sedikit. Wahai kamu, betulkan saf.”
Kemudian barulah beliau akan mengucapkan takbiratul ihram. (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Qur’an, 21/128)
Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَينَ المنَاكِبِ، وسُدُّوا الخَلَلَ، وَلِينُوا بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ، وَلا تَذَرُوا فَرُجَاتٍ للشيْطانِ
Maksudnya: “Sempurnakan saf, rapatkan bahu-bahu. Isi ruang kosong, berlembutlah ketika berbaris sesama saudara kalian, jangan biarkan ada ruang syaitan untuk menyelit.”
Riwayat Abu Daud (666)
Imam al-Nawawi menyatakan hadith ini memberi galakan agar memperbetulkan (meluruskan) saf-saf (sebelum menunaikan solat) dan hadith ini juga menunjukkan keharusan bercakap di antara iqamah dan juga solat. Ini adalah pandangan mazhab kita (mazhab al-Syafie) dan juga mazhab jumhur ulama walaupun sebahagian ulama melarangnya (iaitu bercakap selepas iqamah). Namun begitu, pandangan yang tepat adalah diharuskan sama ada percakapan itu berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan solat dan selain daripada solat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/157)
Orang yang Enggan Merapatkan Saf
Orang yang enggan merapatkan saf walaupun sudah ditegur telah terlepas pahala fadhilat keutamaan berjemaah, kerana telah melakukan perkara yang ditegah dan tidak disukai syara’ serta tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Hal ini kerana, tidak merapatkan saf hukumnya makruh menurut mazhab al-Syafi’i, bahkan Imam Ibn Hajar al-Haitami mengkritik betapa lemahnya pendapat yang menyatakan pahala masih kekal meskipun saf tidak sempurna. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/311)
Imam Ibn Hajar al-Haitami turut berfatwa: “Dimakruhkan untuk tidak merapatkan atau meluruskan saf, kerana membiarkan ada sebarang ruang kosong dan ia tidak dipenuhi dan disempurnakan. Ini hukumnya makruh dalam hukum-hakam berjemaah, dan orang yang melakukannya tidak akan mendapat pahala berjemaah. Timbul persoalan, adakah semua jemaah di dalam masjid tidak mendapat pahala berjemaah, atau saf yang boleh merapatkannya, atau saf di belakang yang boleh maju ke hadapan untuk mengisi ruang kosong itu sahaja? Yang paling tepat di sisi saya, setiap orang-orang yang terlibat yang mampu ke hadapan untuk untuk menutup ruangan tersebut namun tidak menutup atau mengisinya yang akan terlepas pahala berjemaah seperti yang difatwakan oleh para ulama.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/226)
Bahkan tidak merapatkan saf dan tidak menyempurnakannya dengan sengaja adalah salah satu dosa daripada dosa-dosa besar seperti yang disenaraikan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami. Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang merapatkan saf, Allah akan menyambungkan kebaikan buat dirinya. Sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan putuskan segala kebaikan daripada dirinya.”
Riwayat al-Hakim (870)
Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Antara dosa besar adalah tidak menyempurnakan barisan saf, dan tidak mengisi ruang kosongnya serta tidak merapatkannya. Makna ancaman di dalam hadith di atas: ‘Allah akan putuskan segala kebaikan daripada dirinya,’ mirip dan hampir dengan maksud Allah akan melaknat dirinya dan menjauhkannya daripada rahmat kasih-sayangnya.” (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 1/241)
Maka dapat kita bersama bayangkan betapa serius dan parahnya dosa ini sebenarnya di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya.
Kesimpulan
Kita dituntut untuk saling menasihati sesama kita dalam melaksanakan kebaikan dan amal soleh serta meninggalkan dosa, kemaksiatan dan kemungkaran. Namun, apabila ada orang yang enggan menerima dan menuruti nasihat kita, maka janganlah bersedih hati atau berasa susah hati. Kita telah mendapat pahala amar makruf nahi munkar. Urusan orang yang enggan akur dengan nasihat tersebut diserahkan kepada Allah SWT.
Anda yang cuba menasihati dan cuba sedaya-upaya menyempurnakan barisan saf akan tetap mendapat pahala fadhilat berjemaah. Manakala sesiapa sahaja yang enggan menyempurnakan saf akan terlepas dan luput pahala berjemaah tersebut daripadanya secara khusus.
Merapatkan saf mempunyai kaitan yang rapat dengan perpaduan umat Islam. ‘Uqbah bin ‘Amir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَانَ رَسُولُ اللهِ ﷺ يَمْسَحُ مَناكِبَنَا فِي الصَّلاةِ، وَيَقُولُ: اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ، لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya: “Rasulullah menyentuh bahu-bahu kami sebelum mendirikan solat, kemudian berkata: “Lurus dan rapatkan saf. Jangan renggang-renggang, takut-takut nanti Allah akan memisahkan hati-hati kalian. Yang hadapan dan berdekatan dengan imam mestilah yang sudah dewasa dan berakal, kemudian yang rendah tarafnya, kemudian yang lebih rendah lagi.”
Riwayat Muslim (432)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهمَّ ألِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ، وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ، وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
Maksudnya: “Ya Allah, satukanlah hati-hati kami, perbaikilah urusan kami. Tunjukilah kami jalan-jalan keselamatan. Selamatkan kami daripada kegelapan, bimbinglah kami ke arah cahaya petunjuk. Hindarkan kami daripada segenap keburukan, yang tampak mahupun yang tersembunyi.”
Wallahu a’lam.