Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Benarkah meninggal dunia pada bulan rejab mendapat keampunan dosa dari Allah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman:

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرࣰا فِی كِتَـٰبِ ٱللَّهِ یَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡهَاۤ أَرۡبَعَةٌ حُرُمࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلدِّینُ ٱلۡقَیِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُوا۟ فِیهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلۡمُشۡرِكِینَ كَاۤفَّةࣰ كَمَا یُقَـٰتِلُونَكُمۡ كَاۤفَّةࣰۚ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan; sebagaimana dalam ketetapan Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi dan di antaranya ialah empat bulan yang dihormati. Itulah ketetapan agama yang lurus dan tetap, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar larangan-Nya dan perangilah keseluruhan kaum musyrik sebagaimana mereka memerangi kamu semua. Ketahuilah, sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa.”

(Surah al-Taubah: 36)

Bulan-bulan Haram yang dimuliakan tersebut menurut susunannya di sisi mazhab al-Syafi‘i adalah bulan Muharram, Rejab Mudhar iaitu bulan yang berada di antara Jamadilakhir dan Sya’ban, Zulkaedah dan Zulhijjah. Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Dahulunya, Rabi‘ah bin Nizar mengumumkan bulan Ramadan sebagai bulan haram dan menamakannya Rejab, maka ia digelar Rejab Rabi‘ah. Manakala, Mudhar pula mengumumkan bulan Rejab itu sendiri sebagai bulan haram. Maka, ia masyhur dipanggil Rajab Mudhar.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 8/133)

Maka dapat diketahui bahawa bulan Rejab merupakan salah satu bulan haram yang dimuliakan dan dihormati. Larangan melakukan dosa pada bulan ini lebih ditegaskan.

Keutamaan Meninggal Dunia pada bulan Rejab

Tiada sebarang hadith sahih yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab Hadith para ulama dan muhaddithin muktabar dalam kalangan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah menyatakan keutamaan khusus meninggal dunia di bulan Rejab bakal mendapat keampunan dosa daripada Allah SWT.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Tiada sebarang hadith sahih berkenaan amalan (baik puasa atau qiamullail) atau keutamaan khusus bulan Rejab, yang boleh dibuat sebagai hujah yang kuat. Perkara ini disepakati oleh para ulama seperti yang ditegaskan oleh Imam Abu Isma’il al-Harawi.” (Lihat Tabyin al-‘Ujab fi Fadha’il Rajab, hal. 81)

Sebaliknya kami hanya mendapati sebuah nukilan di dalam salah satu kitab hadith aliran Syi‘ah berkenaan perkara ini yang menyatakan bahawa diriwayatkan:

مَنِ اسْتَغْفَرَ اللهَ فِي رَجَبٍ وَسَأَلَهُ التَّوْبَةَ سَبْعِينَ مَرَّةً بِالْغَدَاةِ وَسَبْعِينَ مَرَّةً بِالْعَشِيِّ يَقُولُ: «أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ» فَإِذَا بَلَغَ تَمَامَ سَبْعِينَ مَرَّةً رَفَعَ يَدَيْهِ وَقَالَ: «اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ» فَإِنْ مَاتَ فِي رَجَبٍ مَاتَ مَرْضِيًّا عَنْهُ وَلَا تَمَسُّهُ النَّارَ بِبَرَكَةِ رَجَبٍ.

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta ampun kepada Allah pada bulan Rajab dan memohon taubat daripada-Nya sebanyak tujuh kali pada waktu pagi dan tujuh puluh kali pada waktu petang seraya berkata: “Aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya.” Apabila dia sampai pada kali yang ke-70, dia mengangkat kedua-dua belah tangannya dan berdoa: “Ya Allah, ampunkan dosaku dan terimalah taubatku.” Sekiranya dia mati pada bulan Rajab, maka dia mati dalam keadaan yang diredhai (Allah), dan dia tidak akan disentuh oleh api neraka dengan keberkatan bulan Rajab.”

Riwayat Ibn al-Tawus di dalam al-Iqbal (648). Hadith ini diriwayatkan oleh al-Sayyid ‘Ali bin Musa bin Tawus al-Hasani namun dengan membawa matannya sahaja tanpa menukilkan sebarang sanad. (Lihat Iqbal al-A‘mal, 3/216-217)

Kita tidak boleh menerima hadith yang tidak dapat dipastikan sahih atau tidak, ketiadaan sanad yang makruf dan muktabar menyebabkan status sesebuah hadith tersebut tidak diketahui dan tidak dapat dikenalpasti. Kami cenderung menilainya sebagai la asla lahu, tiada asal dan tiada sanad baginya. Maka, tidak boleh mempercayainya atau menyebarkannya.

Kesimpulan

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tiada sebarang dalil yang sahih menyatakan berkenaan keutamaan meninggal dunia pada bulan Rejab bakal mendapat keampunan Allah SWT, sebaliknya rahmat dan keampunan Allah teramat luas setiap masa bagi setiap insan yang memohon kepada-Nya dan sentiasa mengikuti arahan-Nya.

Syarat mendapat rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah adalah memiliki keimanan dan ketakwaan di dalam diri. Allah SWT berfirman:

وَرَحۡمَتِی وَسِعَتۡ كُلَّ شَیۡءࣲۚ فَسَأَكۡتُبُهَا لِلَّذِینَ یَتَّقُونَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱلَّذِینَ هُم بِـَٔایَـٰتِنَا یُؤۡمِنُونَ

Maksudnya: “Dan rahmat-Ku pula meliputi segala sesuatu; maka Aku akan tentukan rahmat-Ku untuk golongan yang bertakwa dan memberi zakat serta mereka yang beriman kepada ayat-ayat Kami.”

(Surah al-A‘raf: 156)

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar:

  1. Istiqamah melazimi amal soleh dan ketaatan sepanjang hidup di dunia,
  2. Sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan husnul khatimah (kematian yang baik) di akhir hayat kita kelak,
  3. Hendaklah kita meyakini rahmat dan kasih-sayang Allah begitu luas dan menjangkaui segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hayat kami dengan kematian yang baik. Janganlah akhiri kematian kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply