Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada persoalan, makmum sedang ikut imam solat witir terakhir (terawih). Tiba-tiba pada sujud pertama, imam duduk antara 2 sujud, imam terus baca tahiyat akhir dan beri salam. Bolehkah makmum ikut imam beri salam, atau makmum perlu tambah 1 sujud lagi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman:

وَأَقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرۡكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّ ٰ⁠كِعِینَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakat, serta ruku’-lah (laksanakanlah solat) bersama orang-orang yang melaksanakan ruku’ (solat).”

(Surah al-Baqarah: 43)

Imam al-Baghawi berkata: “Ayat ini merupakan anjuran supaya mendirikan ibadat solat secara berjemaah bersama kelompok orang-orang Mukmin lain yang mendirikan solat.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/88)

Kita dituntut untuk mengikuti setiap gerak-geri solat imam sepanjang bersolat secara berjemaah. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنا وَلَكَ الْحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti, apabila imam bertakbir, maka ikutlah bertakbir sekali. Apabila dia ruku’, maka ikutlah ruku’ bersamanya. Ketika imam mengatakan: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ maka makmum ucapkanlah: رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ dan apabila imam bersujud, maka sujudlah bersamanya.”

Riwayat al-Bukhari (734)

Berdasarkan hadith di atas, secara asalnya, seorang makmum hendaklah menuruti segala gerak-geri solat imam di dalam solatnya. Solat makmum boleh terbatal sekiranya menyelisihi dan menyalahi gerakan imam.

Tidak Boleh Ikut Kesalahan Imam

Namun, kesalahan imam tidak boleh diikuti, lebih-lebih lagi apabila kesalahan tersebut membatalkan solat seperti menambah atau mengurangkan rukun. Inilah prinsip asas yang harus dipegang oleh setiap makmum.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Sekiranya makmum melihat imam melakukan kesalahan menambah rukun (mahupun mengurangkan rukun), maka tidak boleh ke atas makmum tersebut untuk mengikuti imam tersebut, sekalipun makmum tersebut merupakan makmum masbuq atau sekalipun makmum berasa syak.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/194-195)

Merujuk kepada soalan di atas, imam terkurang rukun iaitu sujud kali yang kedua. Maka, makmum tidak boleh menuruti imam atas kesalahannya apabila mereka mengetahuinya.

Hadith Sahabat Ikut Rasulullah Tertambah Rakaat

Adapun hadith para Sahabat tetap mengikuti Rasulullah SAW ketika baginda tertambah rakaat di dalam solat, ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A meriwayatkan bahawa:

صَلّى النبيُّ ﷺ: الظُّهْرَ خَمْسًا، فَقالوا: أزِيدَ في الصَّلاةِ؟ قالَ: وما ذاكَ قالوا: صَلَّيْتَ خَمْسًا، فَثَنى رِجْلَيْهِ وسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah solat Zuhur sebanyak 5 rakaat kerana tersilap. Para sahabat pun bertanya: ‘Adakah tuan menambah rakaat?’ Baginda bersabda: ‘Mengapa?’ Sahabat berkata: ‘Tuan bersolat sebanyak 5 rakaat.’ Kemudian baginda terus duduk dan bersujud (sahwi) sebanyak dua kali.”

Riwayat al-Bukhari (404) dan Muslim (572)

Ulama mengatakan bahawa ini adalah situasi khusus buat sahabat, kerana para Sahabat menyangka adanya pertambahan rakaat ketika zaman wahyu masih lagi diturunkan.

Imam Syamsuddin al-Ramli berkata mensyarahkan hadith di atas: “Adapun hadith yang membicarakan para Sahabat tetap mengikuti Rasulullah SAW ketika baginda terlupa di dalam solat, hal yang demikian adalah kerana para Sahabat berasa tidak pasti sama ada berlaku arahan penambahan rakaat solat tersebut atau pun tidak, kerana mereka hidup di zaman wahyu masih diturunkan. Sentiasa wujud kebarangkalian wahyu turun dari langit mengarahkan agar menambah rakaat, jadi mereka pun merasakan ada kemungkinan tersebut lantas mereka mengikuti baginda padahal baginda sebenarnya terlupa. Namun kini wahyu tidak turun lagi, dan jumlah rakaat solat telah ditetapkan.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/86)

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, apabila berlaku situasi seperti itu, terlebih dahulu makmum mesti menegur imam dengan cara yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu:

التَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ والتَّصْفِيقُ لِلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Makmum lelaki boleh mengucapkan tasbih (Subhanallah), manakala makmum perempuan pula boleh menepuk tangan.”

Riwayat al-Bukhari (1203) dan Muslim (422)

Jika imam tersedar dan menyambung solat, maka makmum wajib mengikutinya hingga selesai.

Jika imam tidak sedar dan tetap menghabiskan solat, makmum seeloknya jangan terus bangun. Tunggu beberapa masa sebentar, kemudian niat mufaraqah dan sambung solat.

Imam Ibn al-‘Imad al-Aqfahusi berkata: “Jika imam memberi salam sebelum masanya, atau pada rakaat yang salah, maka hendaklah makmum bangun dengan niat mufaraqah (berpisah daripada imam) atau tunggu beberapa tempoh kemudian barulah bangun untuk menyambung solat. Jangan terus bangun tanpa niat mufaraqah, itu bakal membatalkan solat makmum serta-merta, kerana solat berjemaah bererti syarat sah solat tersebut adalah mengakhiri solat (memberi salam) bersama-sama imam.” (Lihat al-Qaul al-Tam fi Ahkam al-Ma’mum wa al-Imam, hal. 81)

Maka, makmum wajib menegur imam ketika duduk antara dua sujud tersebut. Makmum lelaki menegur imam dengan mengucapkan: “Subhanallah,” manakala makmum perempuan pula boleh menepuk tangan sekali untuk menegur imam yang terlupa. Jika imam tersedar dan kembali menyambung solat semula (iaitu melaksanakan sujud kedua), maka turutilah imam tersebut hingga selesai solat.

Kemudian, jika imam melaksanakan sujud sahwi sebelum salam, maka makmum pun mestilah turut sekali melaksanakan sujud sahwi tersebut menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi’i.

Jika imam tersebut tidak menyambung solat meskipun setelah ditegur, maka makmum wajib berniat mufaraqah (memisahkan diri daripada imam) dan menambah 1 sujud lagi, menyempurnakan solat secara sendiri dan tidak mengikuti imam.

Hal ini kerana, makmum tidak boleh menuruti imam yang tersalah dalam keadaan makmum tersebut tahu kesalahannya. Kesalahan imam tidak boleh diikuti. Apabila ia membawa kepada kesalahan mengurangkan rukun atau menambah rukun, maka ia membatalkan solat tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk beramal soleh sentiasa, serta kebaikan di dunia dan di akhirat.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply