Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita bertakbir pada 10 awal zulhijjah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan : Hendaklah bersyukur kepada Allah Ta’ala ketika telah menyempurnakan ibadah puasa dengan pertolonganNYA. Allah SWT memberi kemudahan kepada hamba-hamba-Nya dalam melaksanakan ibadah kepadanya. Hendaklah Bertakbir ketika berakhirnya (bulan Ramadan), dan ketika melihat hilal Syawal sehingga berakhirnya khutbah hari raya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 86)
Menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari menukilkan athar seperti berikut di bawah tajuk: ‘بَابُ فَضْلِ العَمَلِ فِي أَيَّامِ التَّشْرِيقِ’ (Bab: Kelebihan Beramal Pada Hari-Hari Tasyriq):
وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا: وَاذْكُرُوا اللهَ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ: أَيَّامُ العَشْرِ، وَالأَيَّامُ المَعْدُودَاتُ: أَيَّامُ التَّشْرِيقِ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ، وَأَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ الله عَنْهُمْ يَخْرُجَانِ إِلَى السُّوقِ فِي أَيَّامِ العَشْرِ يُكَبِّرَانِ، وَيُكَبِّرُ النَّاسُ بِتَكْبِيرِهِمَا، وَكَبَّرَ مُحَمَّدُ بْنُ عَلِيٍّ خَلْفَ النَّافِلَةِ.
Maksudnya: Ibn Abbas R.Anhuma berkata berkenaan firman Allah SWT ‘وَاذْكُرُوا اللهَ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ’ (“Hendaklah kamu mengingati Allah pada hari-hari tertentu,”) iaitu hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah dan “الأَيَّامُ المَعْدُودَاتُ” (“Hari-hari yang tertentu bilangannya.”)[Surah al-Baqarah: 203] iaitu hari-hari tasyriq.
Ibn Umar dan Abu Hurairah R.Anhum keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zulhijjah, kedua-duanya bertakbir dan orang ramai bertakbir mengikut takbir mereka. Muhammad bin Ali bertakbir selepas solat sunat. (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/29)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Al-Tahawi menyatakan, ‘Guru-guru kami biasanya mengucapkan takbir pada sepuluh hari pertama.’ Al-Tahawi juga mengkritik Imam al-Bukhari yang menyebutkan athar ini dalam bab tentang keutamaan beramal pada hari Tasyriq. Namun, kritikan tersebut dijawab oleh al-Karmani dengan menjelaskan bahawa Imam al-Bukhari biasanya mencantumkan athar yang berkaitan dengan judul bab. Dapat dilihat bahwa Imam al-Bukhari ingin menyamakan hari-hari Tasyriq dengan sepuluh hari pertama dalam melaksanakan amalan haji. Pendapat Imam al-Bukhari ini diperkuat oleh athar Abu Hurairah dan Ibn Umar yang menjelaskan tentang sepuluh hari pertama, sedangkan athar berikutnya menjelaskan tentang hari-hari Tasyriq.’
Disebut: وَكَبَّرَ مُحَمَّدُ بْنُ عَلِيٍّ خَلْفَ النَّافِلَةِ (Dan Muhammad bin Ali juga bertakbir setiap kali selesai melaksanakan solat sunat). Dia bernama Abu Bakar al-Baqir. Imam al-Daraqutni dalam kitabnya al-Mu’talaf menyebutkannya secara mausul dari jalur Ma’in bin Isa Al Qazzaz, dia mengatakan, “Abu Wahnah Raziq al-Madani mengatakan kepada kami: ‘رَأَيْتُ أَبَا جَعْفَرٍ مُحَمَّدَ بْنَ عَلِيٍّ يُكَبِّرُ بِمِنًى فِي أَيَّامِ التَّشْرِيقِ خَلْفَ النَّوَافِلِ’ (Aku melihat Abu Ja’far Muhammad bin Ali mengucapkan takbir di Mina pada hari-hari Tasyriq setiap kali selesai melaksanakan solat sunat). Athar ini merupakan kritikan terhadap pendapat al-Karmani yang menyatakan bahwa athar ini berkaitan dengan takbir yang diucapkan pada sepuluh hari tersebut. Ibnu al-Tin menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang mendukung Muhammad dalam hal ini. Pengikut mazhab Maliki dan Syaf’i memiliki perbezaan pendapat, apakah takbir pada hari raya itu khusus selepas solat fardhu atau umum setiap kali selesai solat. Dalam hal ini, pengikut mazhab al-Syaf’i memiliki perbezaan pendapat dalam menentukan mana yang lebih kuat. Namun, menurut mazhab Maliki, yang lebih kuat adalah pendapat bahawa takbir tersebut khusus diucapkan setelah solat fardhu. (Lihat Fath al-Bari, 2/458)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”