Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan nama-nama bagi Telaga Zamzam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan Zamzam dalam bahasa Arab bermaksud yang banyak atau melimpah. (Lihat al-Nihayah oleh Ibn al-Athir, 5/506) Manakala Zamzam yang dimaksudkan dalam Syariat adalah air yang berasal daripada telaga Zamzam yang terletak berhampiran Ka’bah, yang berjarak sekitar 38 hasta.

Dinamakan Zamzam sesuai dengan maksudnya, kerana sememangnya air daripada telaga tersebut sangat banyak dan berlimpah. Tidak habis walaupun diambil dan dibawa setiap hari ke seluruh penjuru dunia oleh umat Islam.  Dinamakan dengan Zamzam boleh juga diambil daripada perbuatan Hajar. Ketika air Zamzam terpancar, beliau segera mengumpulkan dan membendungnya. Atau diambil daripada galian Malaikat Jibril dan perkataannya ketika dia berkata kepada Hajar. Disebutkan juga, bahawa Zamzam adalah ‘alam, atau nama asal yang berdiri sendiri, bukan berasal daripada kalimat atau perkataan lain. Atau juga diambil daripada suara air Zamzam tersebut, kerana Zamzamatu al-ma’ adalah suara air itu sendiri. (Lihat al-Nihayah oleh Ibn al-Athir, 2/779; al-Mutli’ ‘ala Abwab al-Fiqh, 1/200; Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/194)

Nama lain bagi Zamzam seperti telah diketahui antara lain disebut juga sebagai barrah (kebaikan), madhmunah (yang berharga), taktumu (yang tersembunyi), hazmah Jibril (galian Jibril), syifa’ suqim (ubat penyakit), syarab al-abrar (minuman orang-orang baik), tayyibah (yang baik). (Lihat al-Mutli’ ‘ala Abwab al-Fiqh, 1/200)

Telaga Zamzam mempunyai banyak nama, menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab (12/275) menyatakan bahawa Ibnu Buraid menyebutkan dua belas nama untuk Zamzam.

Para ulama memberi sebab yang banyak untuk setiap nama itu dan menyatakan alasan bagi setiap nama yang diutamakan, meskipun tiada nas syara’ yang jelas mengenainya.

Syeikh Sulaiman al-Jamal merumuskan nama-nama ini dalam kitabnya Futuhat al-Wahhab, dengan mengatakan: “Asal daripada air Zamzam ini adalah daripada hentakan Jibril ke tanah dengan sayapnya ketika Hajar dan anaknya Ismail kehausan. Ibrahim A.S. meninggalkan mereka di situ dengan perintah Allah. Apabila air memancar, Hajar berkata: ‘Zam Zam (berkumpullah wahai air yang diberkati)’, maka ia dinamakan Zamzam. Ia juga disebut Zamazim kerana airnya yang mengalir ke kanan dan ke kiri. Dikatakan: Jika bukan kerana Hajar menampung air itu, ia akan mengalir memenuhi lembah Mekah. Dikatakan bahawa bunyi yang menyerupai bunyi kuda minum didengar dari air itu, dan ia dinamakan dengan nama tersebut. Telaga Zamzam mempunyai banyak nama seperti Zamzam, Hizmatu Jibril, Suqya Allah Ismail, Barakah, Sayyidah, Nafi’ah, Masunah, ‘Aunah, Busyra, Sahibah, Barrah, ‘Ismah, Salimah, Maimunah, Mu’zibah, Kafiyah, Tahirah, Haramiyah, Mururiyah, Mu’nasah, Tayyibah, Syabbatu al-‘Iyal, Ta’amu Tu’m, dan Syifa’ Saqam. (Lihat Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Syarh Manhaj al-Tullab, 2/482)

Imam al-Nawawi menyatakan: “Disebutkan bahawa ia dinamakan Zamzam kerana airnya yang banyak. Dikatakan: air Zamzam, Zamzum, dan Zamazam kerana banyaknya, dan dikatakan juga: kerana Hajar mengumpulkan airnya ketika ia memancut keluar dan menahannya. Ada juga yang berkata ia dinamakan Zamzam kerana suara dan percakapan Malaikat Jibril A.S.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/267)

Betapa hebatnya air zamzam sebagaimana hadith Nabi SAW: Daripada Jabir bin Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ

Maksudnya: “Air Zamzam bergantung pada tujuan apa diminumnya.”

Riwayat Ibn Majah (3062), Ahmad (14849), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9442).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply