Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, dimanakah asal sahabat nabi Salman al-Farisi ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Salam al-Farisi
Beliau adalah Salman bin al-Islam, dan kuniahnya adalah Abu Abdullah al-Farisi, hamba yang dimerdekakan oleh Rasulullah SAW.
Beliau dikenali sebagai Salman al-Khair. Apabila ditanya tentang keturunannya, beliau menjawab: ‘Saya adalah Salman bin al-Islam’. Namanya sebelum ini ialah Ma Beh bin Buzakhshan bin Mursala bin Bahbudhan bin Firuz bin Shahrak daripada keturunan Aba al-Malik. (Lihat Qissah Salman al-Farisi, Durus wa ‘Ibar, oleh Ibrahim bin Fahad Bin Ibrahim al-Wad’an, hlm.4 )
Salman Al-Farisi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Lahir pada abad ke-7. Pernah di masa hidupnya, Salman telah diberi jawatan sebagai Gabenor di salah sebuah jajahan takluk Islam. Namun demikian kedudukannya itu tidak sedikit pun mengubah keperibadiannya yang penyantun, rendah diri, serta zuhud terhadap kemewahan dunia.
Ulama’ sejarah telah khilaf berkenaan tahun kewafatan Salman Al-Farisi iaitu pada tahun ke 33 atau 36 atau 37 Hijrah di Madain, semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Berkenaan dengan usianya ketika wafat juga menjadi khilaf di kalangan ulama’. Ada yang menyatakan usianya 80 tahun lebih. Terdapat pendapat yang gharib (ganjil) usianya adalah 350 tahun, ini pendapat al- ‘Abbas ibn Yazid al-Bahrani dan ada yang menyatakan usianya 250 tahun. Imam al-Zahabi mentarjihkan usianya sekitar 80 tahun lebih dan meninggal dunia pada zaman pemerintahan Uthman 36 Hijrah di al-Madain.
Keislaman Salman al-Farisi
Kisah keislaman Salman al-Farisi dianggap sebagai salah satu kisah yang penuh dengan pengajaran dan pencarian sebenar fitrah manusia. Seperti yang diriwayatkan oleh beliau, beliau keluar mencari agama yang benar dan berpindah dari satu gereja ke gereja yang lain setelah meninggalkan agama nenek moyangnya, Majusi, sehingga tiba di hadapan seorang lelaki di Amuriyah. Lelaki itu memberitahunya bahawa seorang nabi akan muncul di tanah Arab dan memberikan tiga tanda tentang nabi tersebut. Maka, beliau R.A keluar mencari hingga tiba di Madinah setelah dijual kepada seorang lelaki Yahudi. Apabila Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah, Salman al-Farisi mengikutinya sehingga beliau memastikan tanda-tanda kenabian yang telah diketahuinya di Amuriyah, iaitu nabi tidak makan sedekah, menerima hadiah, dan di bahunya terdapat tanda kenabian. Maka, beliau R.A menghampiri Rasulullah, mencium Baginda sambil menangis dan mengumumkan keislamannya. (Lihat Siyar ‘Alam al-Nubala’, 186-188)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Salman al-Farisi berasal dari sebuah kota di Parsi iaitu di Ramahurmuz. Ia adalah sebuah bandar di Iran yang terletak di timur daerah Khuzestan, dan merupakan ibu kota bandar Ramz.[1] Yang demikian dikhabarkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abu Uthman bahawa beliau pernah mendengar Salam al-Farisi mengatakan:
أَنَا مِنْ رَامَ هُرْمُز
Maksudnya: “Aku berasal daripada Ramahurmuz (kota di Parsi).”
Riwayat Bukhari (3947)
Zakariya al-Ansri menyebutkan bahawa: Ramhurmuz adalah sebuah bandar yang masyhur di Tanah Farsi (Lihat Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 7/203)
Disebutkan dalam Qissah Salman al-Farisi, Durus wa ‘Ibar, oleh Ibrahim bin Fahad Bin Ibrahim al-Wad’an (hlm.4) bahawa: Beliau dilahirkan di bandar Ramahurmuz, di sebuah kampung yang dipanggil ‘Ji’ di Isfahan. Beliau dibesarkan di bandar tempat kelahirannya. Ayahnya adalah ketua kampung ‘Ji’ dan hidup dalam keadaan yang cukup selesa.
Justeru, jelaslah melalui hadith di atas bahawa Salman al-Farisi berasal dari Kota Ramahurmuz di Isfahan dan beliau merupakan antara sahabat yang terawal memeluk islam dari kalangan bukan arab. Salman al-Farisi juga meriwayatkan beberapa hadith dan dipersaudarakan dengan Abu al-Darda’. Beliau juga memberi buah fikiran yang bernas ketika berlakunya peperangan Khandaq. Katanya:
كُنَّا إذَا خِفْنَا خَنْدَقْنَا
Maksudnya: “Kami menggali parit apabila kami merasa takut.” (Lihat Tarikh al-Tabari, 3/44)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam.
Nota Hujung:
[1] Lihat https://ar.wikipedia.org/wiki/%D8% Diakses pada 16 Julai 2024