Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Rasulullah SAW berwitir setiap malam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Galakan untuk Melakukan Witir

Kami mulakan dengan galakan supaya solat Witir. Sebenarnya solat witir mempunyai keistimewaan yang khusus dan fadhilat yang banyak dengan sebab itulah banyak hadith yang membicarakan berkenaan dengan kelebihan solat Witir dan fadhilatnya.

Antara perintah dan fadhilat solat witir ialah, sepertimana dalam hadith riwayat daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الوِتْرَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan Dia menyukainya.”

Riwayat  al-Tirmizi (2/316) dan beliau menilainya sebagai hasan.

Hadith ini menunjukkan supaya yang mencintai al-Quran untuk berwitir dan ini menunjukkan hubungan yang begitu akrab antara solat Witir dengan bacaan al-Quran al-Karim.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa sudah semestinya bagi ahli ilmu (ulama) memberi perhatian yang lebih terhadap solat witir, meskipun solat ini disyariatkan untuk semua umat Islam. Sehinggalah, orang-orang yang mengetahui keadaan dan perbuatan mereka ingin mengikuti dan meneladani mereka. Jumlah rakaat solat Witir paling sedikit adalah satu rakaat, yang dilakukan antara Isyak hingga Subuh. Allah SWT adalah witir (Maha Esa) dan mencintai orang-orang yang melakukan solat Witir, dan Dia mencintai segala apa yang bersesuaian dengan sifat-sifat-Nya. (Lihat Qiamullail, Fadhluhu wa Adabuhu, hlm. 82).

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَوْصَانِي خَلِيْلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَي الضُّحَى وَأَن أَوْتَرَ قَبْلَ أَن أَرْقدَ

Maksudnya: “Kekasihku Nabi SAW mengingatkanku tiga perkara: Berpuasa pada setiap bulan, bersolat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat  (Muslim 721) dan Abu Dawud (1433)

Ibn ‘Allan berkata: Bahawa aku hendaklah melaksanakan solat Witir dan tidak disebut berapa bilangannya. Ucapan sebelum tidur adalah merupakan ihtiyat (langkah berhati-hati) kerana ada orang tidak mampu bangkit pada waktu malam, dan kalau dia tidak berwitir maka luputlah solat Witir baginya. Adapun, bagi mereka yang mampu melaksanakannya seperti yakin dapat bangun, maka itulah yang paling afdhal berdasarkan hadith Nabi SAW yang mafhumnya: “Jadikanlah akhir solat malam kamu dengan witir.” (Lihat Dalil al-Falihin, 6/608).

Hadith ini menunjukkan wasiat Nabi SAW kepada sahabatnya. Ini sudah pasti menggambarkan betapa witir selayaknya dikerjakan oleh umat Islam dan jika dibimbangi tidak dapat melakukannya pada waktu malam, maka hendaklah ia berwitir sebelum daripada tidur agar tidak luput solat Witir.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Rasulullah melakukan solat witir setiap malam. Hal ini berdasarkan hadith daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كُلَّ اللَّيْلِ أَوْتَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَانْتَهَى وِتْرُهُ إِلَى السَّحَرِ.

Maksudnya: “Setiap malam Rasulullah SAW akan menunaikan solat witir, dan berakhir masa witirnya sehingga sahur.”

Riwayat al-Bukhari (996)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut:

Mengenai ungkapannya ‘كُلَّ اللَّيْلِ’ (setiap malam), dalam riwayat Muslim, daripada jalur Yahya bin Wathab, daripada Masruq, disebut: ‘مِنْ كُلِّ اللَّيْلِ قَدْ أَوْتَرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ أَوَّلِ اللَّيْلِ وَأَوْسَطِهِ وَآخِرِهِ فَانْتَهَى وِتْرُهُ إِلَى السَّحَرِ’ (Pada setiap malam, Rasulullah melaksanakan solat Witir pada awal, pertengahan dan akhir malam, serta Witir Baginda berakhir pada waktu sahur). Maksud “awal” di sini adalah setelah solat Isya’.

Mengenai ungkapannya, ‘إِلَى السَّحَرِ’ (hingga waktu sahur), kemungkinan perbezaan waktu solat Witir ini disebabkan oleh perbezaan keadaan. Mungkin Baginda melakukan solat Witir pada awal malam ketika sakit. Kemudian, Baginda melakukannya pada pertengahan malam ketika dalam perjalanan, dan pada akhir malam berdasarkan kebiasaan yang biasa Baginda lakukan.” (Lihat Fath al-Bari, 5/372)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Leave a Reply