Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan daging kambing yang membesar dengan susu anjing? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”
(Surah al-A‘raf: 32)
Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman, ‘Qul – katakanlah’ iaitu wahai Muhammad kepada mereka kaum Musyrikin yang telah mengharamkan sesuatu berdasarkan pendapat mereka yang menyeleweng lagi bidaah. Begitu juga firman Allah SWT, ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya’ iaitu perhiasan tersebut adalah sesuatu yang telah dijadikan atau diciptakan oleh Allah SWT buat sesiapa yang beriman kepada-Nya atau para hamba-Nya di atas dunia ini, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari kiamat kelak, perhiasan tersebut adalah khusus buat mereka — yakni orang yang beriman — dan tidak ada seorang pun dalam kalangan orang kafir itu yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana syurga itu telah diharamkan buat orang kafir — yakni dari memasukinya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15)
Definisi haiwan jallalah
Oleh kerana persoalan yang diajukan ini sangat berkait rapat dengan perbahasan ulama mengenai haiwan jallalah, maka adalah lebih baik jika kami datangkan terlebih dahulu definisi para ulama terhadap haiwan jallalah tersebut. Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336)
Manakala di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, haiwan jallalah didefinisikan sebagai haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/260)
Sebahagian ulama yang lain pula menyebut bahawa haiwan jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain. (Lihat Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558)
Dari segi istilah sains, haiwan jallalah ini dikenali sebagai coprophagous (coprophagy). Coprophagous ialah hidupan yang makan tahi atau najis haiwan yang lain. Kebanyakan serangga merupakan spesies coprophagous dan biasanya merupakan pengguna tegar tahi atau najis haiwan herbivor yang lebih besar daripadanya. Antara serangga daripada spesies ini ialah kumbang tahi (dung beetles).[1] Ia juga berasal daripada bahasa Greek iaitu Copros (najis) dan phagein (makan).[2]
Memakan daging haiwan jallalah
Mengenai perkara ini, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah — yakni dagingnya — dan susunya.”
Riwayat al-Tirmizi (1824); Abu Daud (3785) dan al-Albani menilai bahawa hadith ini adalah sahih.
Begitu juga terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الجَلَّالَةِ فِي الْإِبِلِ أَنْ يُرْكَبَ عَلَيْهَا، أَوْ يُشْرَبَ مِنْ أَلْبَانِهَا
Makasudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.”
Riwayat Abu Daud (3787) dan al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan sahih.
Hadith-hadith ini jika dilihat secara zahirnya, menunjukkan tegahan Nabi SAW daripada memakan, menunggang dan minum susu haiwan jallalah. Namun demikian, para ulama berbeza pendapat berkenaan makna larangan tersebut adakah ia menunjukkan kepada haram ataupun makruh tanzih. Pada asasnya, mereka berbeza berkenaan hukum memakan dagingnya kepada dua pendapat:
Pendapat pertama: Hukumnya adalah haram bagi kita untuk memakan dagingnya. Ini merupakan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, dan juga salah satu pendapat mazhab Syafi‘i. Mereka berhujah bahawa larangan yang terdapat dalam hadith berkenaan menunjukan bahawa ia adalah haram kerana hukum asal sesuatu larangan itu adalah haram selagi mana tiada bukti ia difahami sebagai makruh.
Pendapat kedua: Hukumnya adalah makruh tanzih. Ini merupakan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Mereka berhujah bahawa larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang — yakni bukan kekal pada zat — yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa apabila haiwan berkenaan memakan najis dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan dagingnya berubah dan berbau busuk. Oleh itu, makruh memakannya sebagaimana makanan yang berbau busuk yang lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/559; Badai‘ al-Sanai‘, 5/39-40; Bidayah al-Mujtahid, 3/18; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2597-2598; al-At‘imah, hlm. 50)
Walau bagaimanapun, para ulama berbeza pendapat pada kadar kuantiti najis yang dimakan bagi membolehkan ia dikategorikan sebagai haiwan jallalah. Sebahagian ulama berpendapat haiwan tersebut dikategorikan sebagai haiwan jallalah jika majoriti makanan yang dimakannya adalah najis, namun sekiranya majoriti makanannya adalah bersih dan bukan najis, ia tidak termasuk dalam kategori haiwan jallalah. Manakala sebahagian ulama yang lain pula tidak mensyaratkan banyak ataupun sedikit, tetapi dengan terzahirnya bau najis dan busuk atau sekiranya berubah struktur warna, rasa dan bau daging tersebut. Inilah pendapat yang dipegang dan disahihkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/447; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558; Mughni al-Muhtaj, 6/155; Fath al-Wahhab, 2/237; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28)
Oleh itu, dapat difahami bahawa haiwan yang memakan kotoran tetapi tidak sampai merubah struktur bau, rasa dan warnanya, ia tidak dikategorikan sebagai haiwan jallalah mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.
Begitulah juga haiwan jallalah yang dikuarantin terlebih dahulu selepas terzahirnya bau najis dan diberi makan makanan yang baik — yakni bukan najis — sehingga hilang bau najis tersebut, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/278; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29)
Tambahan lagi, al-Kasani juga ada menyebutkan bahawa hukum makruh tersebut adalah berkait rapat dengan perubahan daging dan bau busuk. Sekiranya tiada lagi bau busuk itu, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. Malah, para ulama yang berpegang dengan pendapat haram daging haiwan jallalah seperti salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, juga membenarkan memakannya setelah dikuarantin dalam satu tempoh masa dan diberi makan makanan yang baik — bukan najis. Namun, mereka berbeza pada tempoh masa pengkuarantinan tersebut. Ada yang tidak menetapkan tempoh masa, manakala ada yang membezakan tempoh masa berdasarkan kesesuaian haiwan berkenaan seperti bagi kategori burung selama 3 hari, kambing selama 7 hari dan apa yang selain daripada kedua-dua kategori ini selama 40 hari. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/40; al-At‘imah, hlm. 51)
Pendapat dalam mazhab Syafi‘i mengenai hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi yang menyebutkan bahawa jika haiwan jallalah diberi makanan yang bersih, dan dagingnya suci — yakni tidak lagi berbau — maka hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang menyatakan bahawa berikan makanan yang bersih kepada haiwan jallalah selama 40 hari jika ia ialah unta, 7 hari jika ia ialah kambing dan 3 hari jika ia ialah ayam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28)
Manakala terdapat dalam hadith yang lain datang dengan lafaz:
حَتَّى تُعْلَفَ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: “…sehingga diberi makan — yakni makanan yang bersih — selama 40 malam.”
Riwayat al-Hakim (2269); al-Daraqutni (4753) dan Imam al-Hakim menyatakan dalam al-Mustadrak bahawa hadith ini sanadnya adalah sahih.
Al-Qalyubi menyebutkan dalam hasyiahnya ketika mengulas hadith di atas bahawa 40 malam ini adalah berdasarkan kepada kebiasaannya sebarang perubahan — yang mendatang dan tidak kekal — akan hilang selepas tempoh tersebut. Hal ini kerana setiap apa yang dimakan akan kekal manfaatnya di dalam badan selama 40 hari. Sekiranya perubahan tersebut hilang sebelum daripada tempoh berkenaan atau dengan tanpa perlu memberi makanan yang bersih, hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Jika perubahan tersebut kembali — yakni kembalinya tanda-tanda haiwan jallalah — maka hukumnya kembali menjadi makruh. (Lihat Hasyiah Qalyubi, 4/262)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum memakan daging kambing yang membesar dengan susu anjing adalah makruh dan bukannya haram kerana kambing itu termasuk dalam kategori haiwan jallalah. Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Imam al-Nawawi bahawa kambing yang membesar dengan susu anjing tergolong dalam haiwan jallalah dan terdapat dua pendapat mengenai hukum memakannya. Pendapat yang paling tepat adalah halal untuk memakannya — tetapi hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29)
Hal ini kerana kesan daripada perbuatannya yang memakan najis adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, ia tidak menjadikan hukumnya haram. Lebih-lebih lagi, haiwan jallalah yang dagingnya berubah — disebabkan memakan najis atau menyusu daripada sumber najis — boleh kembali kepada asal dengan cara mengkuarantinnya dan memberinya makanan yang bersih dalam satu tempoh, sebelum menyembelih dan memakannya. Maka, ketika ini hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.
Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk mengesyorkan, sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada khilaf — sama ada mereka yang menghukumkan sebagai makruh atau haram — agar haiwan jallalah itu dikuarantin terlebih dahulu sama ada dengan dikurung, diasingkan atau seumpamanya dan diberi makanan yang baik sehingga hilang kesan najis tersebut. Pada asasnya, ‘illah (sebab) bagi ketidakharusan memakan haiwan jallalah adalah kerana ia memakan najis dan kotoran sehingga memberi kesan kepada dirinya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan haiwan tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:
إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ
Maksudnya: “Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”
Manakala bagi tempoh pengkuarantinan pula, kami nyatakan bahawa tiada tempoh tertentu bagi proses pengkuarantinan dan tempoh memberinya makanan yang bersih. Akan tetapi ia berdasarkan kepada adat setempat dan sangkaan yang kuat bahawa perubahan pada daging tersebut dan baunya yang busuk itu telah hilang.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H
[1] Lihat https://www.amentsoc.org/insects/glossary/terms/coprophagous.
[2] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Coprophagia.