Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita disunatkan mengejutkan keluarga untuk solat witir

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat witir mempunyai kelebihan yang besar. Antaranya:

  • Ganjarannya Lebih daripada Unta Merah

Daripada Kharijah al-’Adawi, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ وَهِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir.”

Riwayat Abu Dawud (1418), al-Tirmizi (452), Ibn Majah (1168), al-Hakim (1/306) dan Ahmad (2/208). Hadith ini telah disahihkan oleh al-Hakim.

Jelas daripada hadith ini menunjukkan kelebihan solat witir. Syeikh Abdullah al-Basam berkata: “Hadith ini menjadi dalil bahawa Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang melakukan ketaatan dan beribadat dengan tambahan kebajikan mengangkat darjat, serta menghampirkan mereka kepada Tuhan mereka.” (Lihat Taudih al-Ahkam, 2/405).

Justeru Ibn Jauzi berkata: “Siapa yang mengetahui bahawa dunia sebagai tempat perlumbaan dan menghasilkan fadhilat begitu juga tatkala tingginya martabat dan kedudukan seseorang dalam ilmu dan amal, maka sudah pasti bertambah martabatnya di negeri balasan. Justeru dia tidak tinggalkan peluang keemasan untuk menambahkan koleksi amalan dengan bersungguh-sungguh.”

  • Perintah Supaya Berwitir

Daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَهْلَ الْقُرآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الوِتْرَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan Dia menyukainya.”

Riwayat  al-Tirmizi (2/316) dan beliau menilainya sebagai hasan.

Hadith ini menunjukkan supaya yang mencintai al-Quran untuk berwitir dan ini menunjukkan hubungan yang begitu akrab antara solat Witir dengan bacaan al-Quran al-Karim.

Hadith ini juga menunjukkan bahawa sudah semestinya bagi ahli ilmu (ulama) memberi perhatian yang lebih terhadap solat witir, meskipun solat ini disyariatkan untuk semua umat Islam. Sehinggalah, orang-orang yang mengetahui keadaan dan perbuatan mereka ingin mengikuti dan meneladani mereka. Jumlah rakaat solat Witir paling sedikit adalah satu rakaat, yang dilakukan antara Isyak hingga Subuh. Allah SWT adalah witir (Maha Esa) dan mencintai orang-orang yang melakukan solat Witir, dan Dia mencintai segala apa yang bersesuaian dengan sifat-sifat-Nya. (Lihat Qiamullail, Fadhluhu wa Adabuhu, hlm. 82).

Menjawab persoalan di atas, benar sekali. Hal ini berdasarkan kata-kata Imam al-Bukhari ketika meletakkan tajuk dalam kitabnya Sahih al-Bukhari seperti berikut:

بَابُ إِيقَاظِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَهْلَهُ بِالوِتْرِ

Maksudnya: “Bab: Nabi SAW Mengejutkan Ahli Keluarga Baginda Untuk Solat Witir.”

Seterusnya beliau menukilkan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةً عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي، فَأَوْتَرْتُ.

Maksudnya: “Nabi SAW sedang menunaikan solat dan aku tidur menelentang di atas katilnya, apabila Baginda hendak menunaikan solat witir Baginda membangunkanku, lalu aku mengerjakan solat witir.”

Riwayat al-Bukhari (997)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Mengenai ungkapannya, ‘أَيْقَظَنِي، فَأَوْتَرْتُ’ (Baginda membangunkanku, lalu aku mengerjakan solat Witir), maksudnya, aku bangun, kemudian berwudhu’ dan melaksanakan solat. Hadis ini menunjukkan bahawa lebih dianjurkan untuk melaksanakan solat Witir pada akhir malam, sama ada bagi mereka yang melaksanakan solat tahajjud atau tidak. Anjuran ini ditujukan kepada orang yang yakin akan terjaga pada waktu tersebut, atau yakin akan dibangunkan oleh orang lain.

Hadis ini dijadikan sebagai dalil wajibnya solat Witir dengan hujah bahawa Rasulullah SAW melaksanakannya seperti melaksanakan amalan yang wajib. Kesimpulan ini berdasarkan tindakan Baginda SAW yang tidak membiarkan Aisyah (isterinya) meninggalkan solat Witir, sedangkan pada masa melaksanakan solat Tahajud, Baginda membiarkannya.

Walaubagaimanapun, pendapat ini dibantah, kerana hadis tersebut tidak menunjukkan wajibnya solat Witir. Sebaliknya, hadis tersebut hanya menunjukkan anjuran untuk melaksanakan solat Witir, di mana tahapnya lebih tinggi berbanding solat sunat lain yang dilakukan pada waktu malam.

Dalam hadis yang disebutkan, terkandung juga anjuran untuk membangunkan orang yang sedang tidur untuk melaksanakan solat. Pemberitahuan ini tidak terhad kepada solat fardhu sahaja atau kerana bimbang waktu solat akan tamat, tetapi ia dilakukan supaya individu tersebut dapat mengikuti solat berjemaah dan dapat melaksanakan solat pada awal waktunya.

Al-Qurtubi menyatakan, “Tidaklah berlebihan jika dikatakan bahawa perkara tersebut adalah wajib dalam konteks yang wajib dan sunat dalam konteks yang sunat. Ini kerana walaupun seseorang itu tidur dan tidak berada dalam status mukallaf, namun dia dianggap sebagai orang yang lalai. Oleh itu, mengingatkan orang yang lalai adalah wajib hukumnya.” (Lihat Fath al-Bari, 5/376)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply