Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kita disunatkan witir walaupun kita musafir?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat witir mempunyai kelebihan yang besar. Antaranya:
- Ganjarannya Lebih daripada Unta Merah
Daripada Kharijah al-’Adawi, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ وَهِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir.”
Riwayat Abu Dawud (1418), al-Tirmizi (452), Ibn Majah (1168), al-Hakim (1/306) dan Ahmad (2/208). Hadith ini telah disahihkan oleh al-Hakim.
Jelas daripada hadith ini menunjukkan kelebihan solat witir. Syeikh Abdullah al-Basam berkata: “Hadith ini menjadi dalil bahawa Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang melakukan ketaatan dan beribadat dengan tambahan kebajikan mengangkat darjat, serta menghampirkan mereka kepada Tuhan mereka.” (Lihat Taudih al-Ahkam, 2/405).
Justeru Ibn Jauzi berkata: “Siapa yang mengetahui bahawa dunia sebagai tempat perlumbaan dan menghasilkan fadhilat begitu juga tatkala tingginya martabat dan kedudukan seseorang dalam ilmu dan amal, maka sudah pasti bertambah martabatnya di negeri balasan. Justeru dia tidak tinggalkan peluang keemasan untuk menambahkan koleksi amalan dengan bersungguh-sungguh.”
- Perintah Supaya Berwitir
Daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَهْلَ الْقُرآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الوِتْرَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan Dia menyukainya.”
Riwayat al-Tirmizi (2/316) dan beliau menilainya sebagai hasan.
Hadith ini menunjukkan supaya yang mencintai al-Quran untuk berwitir dan ini menunjukkan hubungan yang begitu akrab antara solat Witir dengan bacaan al-Quran al-Karim.
Hadith ini juga menunjukkan bahawa sudah semestinya bagi ahli ilmu (ulama) memberi perhatian yang lebih terhadap solat witir, meskipun solat ini disyariatkan untuk semua umat Islam. Sehinggalah, orang-orang yang mengetahui keadaan dan perbuatan mereka ingin mengikuti dan meneladani mereka. Jumlah rakaat solat Witir paling sedikit adalah satu rakaat, yang dilakukan antara Isyak hingga Subuh. Allah SWT adalah witir (Maha Esa) dan mencintai orang-orang yang melakukan solat Witir, dan Dia mencintai segala apa yang bersesuaian dengan sifat-sifat-Nya. (Lihat Qiamullail, Fadhluhu wa Adabuhu, hlm. 82).
Dalam menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari meletakkan satu tajuk bab seperti berikut: ‘بَابُ الوِتْرِ فِي السَّفَرِ’ (Bab: Solat Witir Dalam Musafir).
Kemudian beliau menukilkan satu hadith, seperti dalam riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ، حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً صَلاَةَ اللَّيْلِ، إِلَّا الفَرَائِضَ وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ.
Maksudnya: “Kebiasaannya Nabi SAW solat malam ketika musafir di atas tunggangannya ke arah mana haiwan tunggangannya itu menghadap, Baginda melakukannya dengan isyarat, kecuali solat fardhu. Dan Baginda mengerjakan solat witir di atas tunggangannya.”
Riwayat al-Bukhari (1000)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut:
Tajuk bab ini adalah penyanggahan terhadap mereka yang berpendapat bahawa solat witir tidak disunatkan semasa dalam perjalanan. Pendapat ini dinukil daripada al-Dhahhak.
Adapun maksud perkataan Ibn Umar yang telah diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud melalui jalur Hafs bin ‘Asim yang berbunyi: ‘لَوْ كُنْتُ مُسَبِّحًا فِي السَّفَرِ لَأَتْمَمْتُ’ (sekiranya aku menjalankan solat sunat semasa dalam perjalanan, nescaya aku akan menyempurnakannya) merujuk kepada solat sunat Rawatib, bukan solat Witir.
Al-Tirmizi meriwayatkan melalui jalur lain dengan lafaz:
سَافَرْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكَانُوا يُصَلُّونَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ لَا يُصَلُّونَ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا فَلَوْ كُنْتُ مُصَلِّيًا قَبْلَهَا أَوْ بَعْدَهَا لَأَتْمَمْتُ
Maksudnya: “Aku (Ibnu Umar) telah melakukan perjalanan bersama Rasulullah SAW, Abu Bakar, Umar dan Uthman. Mereka melakukan solat Zohor dan Asar, masing-masing dua rakaat dan tidak melakukan solat sunat, sama ada sebelum atau selepasnya. Jika aku melakukan solat sebelum atau selepasnya, tentunya aku akan menyempurnakannya).”
Riwayat al-Tirmizi (544), al-Nasa’ie (1458) dan Ahmad (5185)
Kemungkinan terdapat perbezaan antara solat sunat siang hari dan solat sunat malam hari, kerana Ibn Umar melakukan solat sunat malam di atas kenderaannya semasa dalam perjalanan. (Lihat Fath al-Bari, 5/381)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”