Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah qunut dibacakan sebelum atau selepas rukuk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkataan Qunut (الْقُنُوْتُ) adalah daripada Bahasa Arab yang membawa beberapa makna seperti berdiri lama, diam, selalu taat, tunduk, doa dan khusuk. Manakala maksud doa Qunut secara istilah adalah doa yang dibaca seorang Muslim dalam solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri.
Membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/145)
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith sepertimana dalam riwayat daripada Muhammad bin Sirin, katanya:
سُئِلَ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ: أَقَنَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، فَقِيلَ لَهُ: أَوَقَنَتَ قَبْلَ الرُّكُوعِ؟ قَالَ: بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا
Maksudnya: Anas bin Malik ditanya: “Adakah Rasulullah SAW membaca qunut pada solat Subuh?” Beliau menjawab: “Ya.” Setelah itu, ditanyakan kepadanya: “Adakah Baginda membaca qunut sebelum rukuk?” Beliau menjawab: “Tidak berapa lama selepas rukuk.”
Riwayat al-Bukhari (1001)
‘Asim menyebut: Aku bertanya kepada Anas bin Malik mengenai qunut. Lalu beliau menjawab:
قَدْ كَانَ القُنُوتُ قُلْتُ: قَبْلَ الرُّكُوعِ أَوْ بَعْدَهُ؟ قَالَ: قَبْلَهُ، قَالَ: فَإِنَّ فُلاَنًا أَخْبَرَنِي عَنْكَ أَنَّكَ قُلْتَ بَعْدَ الرُّكُوعِ، فَقَالَ: كَذَبَ، إِنَّمَا قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ الرُّكُوعِ شَهْرًا، أُرَاهُ كَانَ بَعَثَ قَوْمًا يُقَالُ لَهُمْ القُرَّاءُ، زُهَاءَ سَبْعِينَ رَجُلًا، إِلَى قَوْمٍ مِنَ المُشْرِكِينَ دُونَ أُولَئِكَ، وَكَانَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَهْدٌ، فَقَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَيْهِمْ.
Maksudnya: “Baginda SAW membaca qunut (di dalam solatnya).” Aku bertanya lagi: “(Baginda melakukannya) sebelum rukuk atau selepasnya?” Beliau menjawab: “Sebelumnya.” Aku berkata: “Sesungguhnya si fulan mengkhabarkan kepadaku daripada engkau bahawa engkau mengatakan sesudah rukuk.” Lalu beliau berkata: “Orang itu berdusta. Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca qunut sesudah rukuk selama sebulan. Aku berpendapat Baginda mengutus satu golongan yang mana mereka dikenali sebagai al-Qurra’, kira-kira seramai 70 orang lelaki kepada satu kaum Musyrikin yang mana bilangannya kurang daripada mereka. Terdapat perjanjian (damai) antara mereka dan Rasulullah SAW. (Akan tetapi, mereka mengingkari perjanjian tersebut) Oleh itu, Rasulullah SAW membaca qunut (di dalam solat) selama sebulan mendoakan ke atas mereka (agar ditimpakan laknat kerana mengingkari janji).”
Riwayat al-Bukhari (1002)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Adapun perkataannya ‘كَذَبَ’, maksudnya adalah keliru berdasarkan dialek penduduk Hijaz. Mereka mengertikan kata ‘كَذب’ lebih umum dari hal-hal yang disengaja atau kesalahan. Atau boleh jadi yang dimaksud dengan kalimat ‘كَذَبَ’, jika qunut tersebut selalu dilakukan setelah rukuk. (Lihat Fath al-Bari, 5/384)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”