Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada pertanyaan berkenaan zakat simpanan. Situasi: Saya merupakan seorang pencen dan tidak bekerja serta tiada pendapatan tetap untuk menanggung keluarga dan anak. Baru-baru ini saya ada mendapat hasil simpanan dari jualan tanah . Kemudian simpanan tersebut saya baca boleh dikenakan zakat oleh kerana cukup haul dan nisab. Persoalan saya, untuk keadaan saya yang tidak bekerja dan untuk menanggung keluarga, apakah saya wajib untuk membayar zakat simpanan saya itu? Contohnya seperti dividen ASB, saya gunakan untuk menjadikan gaji bulanan untuk menampung belanja diri serta keluarga. Mohon pencerahan, saya tiada pekerjaan dan pendapatan. Hanya bergantung harap melalui dividen ASB hasil simpanan tersebut. Terima kasih atas bantuan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Zakat adalah suatu kewajiban untuk membersihkan harta dan menyucikan diri daripada sebarang noda dan dosa. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ
Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Wajib Bayar Zakat Simpanan
Seseorang itu wajib membayar zakat wang simpanan apabila cukup haul dan nisabnya.
Allah SWT berfirman:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَیَأۡكُلُونَ أَمۡوَ ٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَیَصُدُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِینَ یَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا یُنفِقُونَهَا فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ramai dalam kalangan pendeta Yahudi dan paderi Nasrani itu mereka makan harta orang ramai dengan cara yang batil dan menghalang jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tanpa menyedekahkannya ke jalan Allah; maka sampaikanlah khabar gembira buat mereka dengan azab seksa neraka yang amat pedih!”
(Surah al-Taubah: 34)
Imam al-Ramli mengatakan: “Ini adalah dalil kewajiban zakat pada harta wang yang dimiliki, seterusnya adalah ijma‘ (persepakatan) umat Islam atas perlaksanaannya. Perkataan يَكْنِزُونَ berasal daripada perkataan الْكَنْزُ yang bermaksud: setiap harta yang disimpan sahaja, dan tidak dizakatkan. Allah mengecam perbuatan tersebut. Sesiapa yang menyimpan sahaja harta tanpa menyalurkannya, maka dia telah menafikan hikmat wang diciptakan.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/84)
Allah SWT juga berfirman setelah itu mengecam perbuatan ini dengan azab pedih:
یَوۡمَ یُحۡمَىٰ عَلَیۡهَا فِی نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَـٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ
Maksudnya: “(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu maka rasakanlah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
(Surah al-Taubah: 35)
Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ، وَلَا فِضَّةٍ، لا يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلَاّ إِذَا كَانَ يَومُ القِيَامَةِ صُفِّحَتْ لَهُ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ، فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا في نَارِ جَهَنَّمَ، فَيُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ، وَجَبِينُهُ، وَظَهْرُهُ، كُلَّمَا بَرَدَتْ أُعِيدَتْ لَهُ في يَومٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ ألْفَ سَنَةٍ، حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ العِبَادِ فَيَرَى سَبيلَهُ، إمَّا إِلَى الجَنَّةِ، وَإمَّا إِلَى النَّارِ
Maksudnya: “Tidaklah ada ganjaran bagi orang yang memiliki harta emas mahupun perak (simpanan wang) namun tidak menunaikan haknya (zakat), melainkan Allah SWT akan melemparkannya ke dalam api neraka jahanam pada hari kiamat, hingga dahinya, tepinya serta punggungnya dibakar, hinggalah Allah menetapkan keputusan di antara hamba-hamba-Nya di hari yang tempoh lamanya sekitar 50,000 tahun di bumi; kemudian Dia melihat jalannya, baik ke syurga mahupun ke neraka.”
Riwayat al-Bukhari (2371) dan Muslim (987)
Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini merupakan dalil yang begitu jelas bagi zakat harta wang (al-naqdain iaitu emas dan perak, serta yang sama taraf dengannya); tiada sebarang perbezaan pendapat berkenaan kewajibannya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/64)
Wang merupakan harta cair yang boleh digunakan dalam hal pertukaran, ukuran nilai dan tabungan. Wang; dalam bentuk kertas, syiling atau sebagainya, adalah sama dan setaraf dengan emas dan perak sebagai suatu bentuk kekayaan yang memberi kuasa membeli. Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa serta lain-lain akaun/bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan diwajibkan zakat sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.
Nisab zakat wang simpanan adalah bersamaan nilai 85 gram emas yang menyamai lebih kurang RM12,300+, menurut kadar nisab semasa di Wilayah Persekutuan sebagai contoh.
Apabila telah cukup satu haul (setahun) dan simpanan telah menyamai atau melebihi kadar nisab, maka Zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki akhir simpanan dalam tempoh satu tahun.
Zakat Pelaburan: ASB (Amanah Saham Bumiputera)
Begitu juga dengan aset saham dan pendapatan hasil dividen di dalam ASB (Saham Amanah Bumiputera). Pemiliknya tetap diwajibkan untuk membayar zakat ke atas modal saham dan dividen ASB tersebut apabila cukup haul dan menepati kiraan nisabnya; ini dipanggil sebagai zakat ‘Urud al-Tijarah.
Setiap harta yang berkembang adalah berpotensi untuk menerima kewajiban zakat. Imam al-Mawardi menjelaskan ketika menyenaraikan harta-harta yang wajib dizakatkan: “Harta itu terbahagi kepada tiga jenis:
- Harta yang berkembang dengan sendirinya
- Harta yang berpotensi untuk dikembangkan
- Harta yang tidak berkembang dengan sendiri
Adapun harta yang berkembang dengan sendiri adalah seperti haiwan ternakan, hasil bumi, tanaman padi dan buah-buahan. Adapun harta yang berpotensi untuk dikembangkan adalah seperti dirham, dinar, keuntungan hasil perniagaan (termasuk pelaburan). Semuanya ini wajibkan zakat ke atasnya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/88)
Pelaburan adalah melibatkan harta, maka zakat tetap diwajibkan ke atasnya. Imam Ibn Qasim al-Ghazzi berkata: Al-Qadhi Abu Syuja‘ mengatakan: Adapun aset-aset perniagaan untuk dilaburkan (pelaburan), maka diwajibkan zakat ke atasnya dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan) sebelum ini (pada aset) dan juga hasil pendapatan perniagaan tersebut; pelaburan adalah meletakkan suatu jumlah harta kemudian dilaburkan untuk mendapatkan sejumlah keuntungan.” (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hlm. 122)
Imam al-Bajuri berkata: “(Dan haruslah ditakwimkan (digenapkan kiraan satu tahun) pendapatan hasil pelaburan tersebut) supaya kita mengetahui jumlah keuntungannya di akhir tahun (dividen); apakah ia melepasi kadar nisab atau pun tidak, untuk kita keluarkan zakatnya apabila sampai kadar nisab. Jika tidak, maka tidak ada zakat ke atasnya.” (Lihat Hasyiah al-Bajuri ‘ala Fath al-Qarib, 2/364)
Aset pelaburan adalah antara aset baharu yang tetap diwajibkan zakat ke atasnya. Aset pelaburan terdiri dalam bentuk aset fizikal seperti bangunan atau tanah, juga bentuk aset kewangan seperti saham dan dana amanah. Kedua-duanya diwajibkan zakat. Untuk aset kewangan, zakat akan dikenakan ke atas aset tersebut sendiri dan juga hasil pendapatan daripadanya.
Kesimpulan
Oleh itu, berdasarkan kepada pertanyaan di atas, kami katakan bahawa tuan wajib untuk membayar zakat simpanan apabila cukup haul dan nisabnya, dengan kadar 2.5% daripada jumlah akhir baki simpanan di akhir haul. Begitu juga, tuan wajib membayar zakat pelaburan iaitu nilai pelaburan di hujung haul dan ditambah dengan dividen apabila cukup nisabnya. Kedua-duanya juga boleh disekalikan kerana ia termasuk dalam zakat harta.
Selain daripada itu, zakat harta diwajibkan apabila telah cukup syaratnya, tanpa mengira apa pun status pekerjaan kita atau berapa ramai pun tanggungan kita. Selagi kita mempunyai pendapatan berupa harta, apabila cukup syaratnya; wajib zakat ke atas harta tersebut. Kaedah pengiraan zakat dan pembayaran boleh didapati di Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing.
Namun, sekiranya tempat simpanan atau tempat pelaburan itu diketahui sudah pun mengeluarkan zakat bagi harta tersebut, maka tidak diwajibkan lagi ke atasnya untuk mengeluarkan zakat sekali lagi. Ini kerana zakat tidak diambil dua kali daripada harta yang sama dalam satu haul.
Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat, amal soleh yang diterima serta rezeki yang berkati. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.
Kami akhiri dengan doa kepada semua dermawan yang bersedekah, berinfak dan berwakaf:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أعْطَيْتَ، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُوراً، وَبَارَكَ لَكَ فِيمَا أَبْقَيْتَ
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas pemberian yang kamu berikan, dan menjadikannya sebagai pembersih dosa-dosa kamu, dan memberkati saki-baki hartamu.”
Wallahu a’lam.