Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah bersalah jika sesebuah musalla tidak diimarahkan? Contohnya (tiada jemaah langsung) pada waktu zohor dan asar. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Penjelasan: Gesaan Solat Berjemaah di Masjid/Surau
Solat berjemaah adalah fardhu kifayah ke atas komuniti dan masyarakat umat Islam di sesebuah tempat. Rasulullah SAW bersabda:
صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik berbanding solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganjaran.”
Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)
Gesaan solat berjemaah juga ditegaskan berdasarkan ayat al-Quran, firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ
Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Rasulullah) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah al-Nisa’ : 102)
Al-Khatib al-Syarbini mengatakan: “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni al-Muhtaj fi Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 1/350)
Fardu Kifayah: Berjemaah di Masjid, Hidupkan Masjid Dengan Syiar Agama
Menurut mazhab al-Syafi‘i, hukum solat berjemaah mengikut qaul muktamad dalam mazhab adalah fardhu kifayah. Ia wajib dilakukan untuk menzahirkan syiar Islam di dalam sesebuah kariah atau kampung, sepertimana yang difatwakan oleh Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi. (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1/38).
Imam al-Qalyubi menukilkan penjelasan Imam al-Isnawi menerangkan sudut pendalilan mazhab al-Syafi‘i berteraskan hadith:
“Di dalam ibarat Imam al-Isnawi tertulis: “Para ulama’ yang menyatakan hukumnya adalah fardhu kifayah berdalilkan hadith Nabi SAW: “أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذ” (solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian) iaitu yang dimaksudkan dalam ayat ‘sesiapa yang solat berseorangan’ adalah kerana gugurnya kewajiban fardhu kifayah ke atasnya dengan perbuatan (solat berjemaah) ahli kariah yang lain. Manakala berdasarkan lafaz hadith: “مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ” (mana-mana kumpulan yang jumlahnya tiga orang), mereka mengatakan hadith ini menunjukkan hukum solat berjemaah adalah fardhu kifayah kerana tujuan berjemaah itu ialah untuk menzahirkan syiar agama, dan hal yang demikian dapat dicapai dengan perbuatan sebahagian dalam kalangan mereka (ahli kariah)”. (Lihat Hasyiyah al-Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli, 1/254)
Dalam masa yang sama al-Khatib al-Syirbini juga menegaskan pendapat muktamad ini: “Hukum solat jemaah ialah fardhu kifayah pada solat-solat fardhu (lima waktu) ke atas lelaki merdeka yang bermukim menurut pandangan yang muktamad di sisi Imam al-Nawawi.” (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfazi Abi Syuja’, 1/163).
Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
مَا مِن ثَلاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لا تُقَامُ فِيهمُ الصَّلاةُ إِلاَّ قدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيكُمْ بِالجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يأْكُلُ الذِّئْبُ مِنَ الغَنمِ القَاصِيَةِ
Maksudnya: “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).”
Riwayat Abu Daud (547)
Kariah Belum Berdosa Jika Ada Masjid/Surau Sekeliling Dihidupkan
Dalam sebuah daerah/zon/komuniti, pasti akan ada lebih dari satu masjid/surau. Ini merupakan kebiasaan masyarakat setempat kita di Malaysia. Jika satu surau kosong, nescaya akan ada surau-surau atau masjid lain yang mendirikan solat berjemaah. Dengan ini, gugurlah dosa mana-mana komuniti dalam zon/daerah tersebut yang tidak dihidupkan suraunya pada beberapa ketika.
Imam al-Bujairimi menyatakan, hukum solat berjemaah adalah fardhu kifayah menurut pendapat muktamad mazhab, ke atas lelaki yang merdeka, bermukim dan tiada sebarang uzur syar‘i. Maka ia wajib didirikan untuk menzahirkan syiar agama dalam kalangan ahli sesebuah kariah, maka hendaklah didirikan di satu tempat di kariah yang kecil dan beberapa tempat bagi kariah yang besar atau bandar-bandar dan gugurlah dosa semua penduduk sekiranya didirikan jemaah oleh sebahagian daripada mereka meskipun sedikit. Namun sekiranya ia (jemaah) didirikan di rumah, maka hal tersebut tidak dikira sebagai menzahirkan syiar agama, maka tidak gugur kewajipan (fardhu kifayah) tersebut. Dan dhawabit (garis panduan) menzahirkan syiar itu adalah para jemaah boleh pergi ke masjid tersebut tanpa sebarang kesukaran atau kesusahan, iaitu berbeza halnya dengan jika didirikan di rumah mereka. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 2/312).
Imam Sulaiman al-Jamal juga senada dalam menjelaskan hukumnya: “Maka kami katakan hukumnya adalah fardhu kifayah iaitu sekiranya sebahagian ahli kariah telah mengerjakannya, maka gugurlah dosa penduduk yang lain, tetapi yang nyata adalah solat berjemaah tetap dituntut ke atas mereka yang lain (yang tidak hadir berjemaah); makruh bagi mereka meninggalkan solat berjemaah”. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 1/253)
Kesimpulan
Justeru, wajib dilaksanakan solat berjemaah sekurang-kurangnya di sebuah masjid dalam sesuatu kariah kerana hal tersebut telah mencapai matlamat untuk menzahirkan syiar agama di kariah tersebut. Adapun sekiranya solat berjemaah telah didirikan oleh sebahagian penduduk kariah di sebuah masjid (sekurang-kurangnya), maka hal itu sudah memadai untuk mengangkat kewajipan fardhu kifayah dan menggugurkan dosa sekalian penduduk kariah.
Komuniti tersebut tidak berdosa jika surau komuniti tersebut kosong pada beberapa waktu, dengan syarat, mestilah ada masjid/surau lain yang dihidupkan pengimarahan solat berjemaah di dalamnya, di kawasan taman perumahan sekitar dan berdekatan komuniti tersebut, yang berada di dalam zon/daerah yang sama. Hendaklah juga dipastikan surau yang kosong di siang hari tersebut, dihidupkan dengan solat berjemaah pada malam harinya (waktu Maghrib dan Isyak).
Sebuah zon/daerah komuniti umat Muslimin yang telah ditetapkan sempadannya oleh pemerintah, wajib mempunyai wakil dalam kalangan mereka untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid/surau.
Bilangan jemaah sempurna yang paling minimum adalah seramai tiga orang. Namun, muktamad mazhab al-Syafi‘i menyatakan seorang imam yang mempunyai satu makmum sahaja; turut dikira sebagai berjemaah, asalkan ia dilakukan di masjid. Hal ini berdasarkan takrif solat berjemaah dari segi syarak bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289)
Jika tiada seorang pun dalam kalangan penduduk zon/daerah tersebut yang melaksanakan solat fardhu pada kelima-lima waktu di mana-mana masjid/surau di kawasan tersebut, barulah seluruh ahli dan penduduk kawasan tersebut berdosa kerana tidak melunaskan kewajipan Fardhu Kifayah.
Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat, amal soleh yang diterima serta rezeki yang berkati. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan dengan doa:
رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”
Wallahu a‘lam.