Soalan
Assalamualaikum. Saya merupakan lepasan sekolah tahfiz dan telah menghafaz 30 Juzuk al-Quran. Apa yang merisaukan saya ialah jika saya terlupa hafazan saya yang telah saya hafaz sebelum ini. Persoalan saya, apakah hukum lupa hafazan al-Quran?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Hafaz al-Quran merupakan suatu perkara yang mulia yang mendapat ganjaran yang sangat besar kerana menjaga kalamullah. Malah, Menghafaz al-Quran secara keseluruhan hukumnya ialah fardhu kifayah dan sunat ‘ain, iaitu sunat bagi setiap Muslim. (Lihat Radd al-Muhkhtar wa Hasyiyah Ibn Abidin, 1/538).
Namun, walaupun menghafaz al-Quran suatu perkara yang mulia, tetapi yang selalu menghatui penghafaz al-Quran sekarang ialah untuk menjaga hafazannya supaya sentiasa mengingatinya. Hal ini boleh melemahkan semangat untuk menghafaz al-Quran kerana dibimbangi lupa dan dikatakan berdosa. Dalam menjawab persoalan ini. Kami menukilkan beberapa pendapat:
Dalam isu ini, adalah diperingatkan akan hadith daripada Abdullah R.A:
بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ يَقُولُ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّيَ اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا
Maksudnya: “Celakalah bagi sesiapa yang berkata “aku lupa ayat al-Qur’an sekian-sekian”, bahkan hendaklah dia berkata “aku telah dilupakan darinya”. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Qur’an, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas daripada talinya.”
Riwayat al-Bukhari (5032) dan Muslim (790)
Al-Khatib Syarbini menyatakan, berdasarkan hadith ini, sunat untuk kita menggunakan istilah dilupakan daripada al-Quran, berbanding kita menggunakan istilah terlupa atau melupakan al-Quran. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/39).
Daripada Sa’ad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ امْرِئٍ يَقْرَأُ القُرآنَ ثُمَّ يَنْسَاهُ إِلَّا لَقِيَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَجْذَمْ
Maksudnya: “Tiada seseorang yang membaca al-Quran (menghafaz) kemudian lupa kecuali dia akan bertemu Allah SWT pada hari kiamat dalam keadaan cacat.”
Riwayat Abu Dawud (1474). Pengarang kitab Dha’if Abu Dawud (1474) menyatakan hadith ini Dhaif
Al-Munziri mengatakan di dalamnya terdapat perawi yang bernama Yazid Bin Abi Ziyad,yang mana hadithnya tidak dijadikan hujjah. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 4/242).
Al-Khattabi menukilkan kalam Abu Ubaid yang menyebut : “Ajzam” di dalam hadis di atas bermaksud terpotong tangan, manakala Ibn Qutaibah pula menyebut ianya bermakna kerdil. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/253).
Terdapat ulama yang menjadikan hadis di atas sebagai hujah dalam isu melupakan hafazan al-Quran. Disebut huraian “يَقْرَأُ” di atas merangkumi maksud membaca dengan melihat, membaca secara hafaz dan membaca makna al-Quran kemudian meninggalkan pembacaannya secara lupa atau sengaja. Walaupun begitu hadis di atas telah dihukum sebagai dhaif.
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
عُرِضَتْ عَلَيَّ ذُنُوْبُ أُمَّتِي فَلَمْ أَرَ ذَنْباً أَعْظَمُ مِنْ سُوْرَةٍ مِنَ القُرآنِ أُوْتِيَهَا رَجُلٌ ثُمَّ نَسِيَهَا
Maksudnya: “Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari al-Quran atau satu ayat, yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya.”
Riwayat Abu Dawud (461) dan Al-Tirmizi (2916).[1]
Hadith ini diinilai gharib oleh Imam Tirmizi sendiri, manakala al-Munziri pula mengatakannya dhaif kerana terdapat perawi yang bernama ‘Abd al-Majid bin ‘Abd al-Aziz. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/188).
Selain itu, Ali bin al-Madini juga menyatakan bahawa Al-Mutthalib bin Abdillah yang meriwatkan hadith ini daripada Anas bin Malik R.A juga sebenarnya tidak pernah mendengar hadith daripada Anas. (Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 2/429).
Pandangan Para ulama salaf berbeza pandangan dalam bab lupa hafazan ayat al-Quran.
Sebahagian mereka menjadikannya sebagai dosa besar. Antaranya jumhur ulama, sebahagian ulama Syafie seperti Syeikh al-Rauyani, al-Qurtubi dan lain-lainnya yang mengatakan melalaikan pembacanya adalah penyebab kepada lupa ayatnya, lupa ini menunjukkan tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap al-Quran.
- Ibn Hajar menyatakan: Disebut dalam sebuah riwayat daripada Abu Ubaid daripada jalur al-Dahhak secara Mauquf :
مَا مِنْ أَحَدٍ تَعَلَّمَ القُرآنَ ثُمَّ نَسِيَهُ إلَّا بِذَنْبٍ أَحْدَثَهُ لِأَنَّ اللهَ يَقُوْلُ: وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيْبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيْكُمْ
Maksudnya: “Tiada seorang pun yang mempelajari al-Quran kemudian melupakannya kecuali ditimpa dosa, kerana firman Allah SWT: ‘Tiadalah musibah yang menimpa kamu kecuali dengan sebab tangan-tangan kamu sendiri.’”
Mereka menambah: “Tiada musibah yang lebih besar dari melupakan al-Quran.” Sebuah lagi sambungan hadis di atas tetapi bertaraf mursal menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani; Ertinya: “..Tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya.” (Lihat Fath al-Bari, 9/86).
- Menurut Syeikh Zakariyya al-Ansari, haram hukumnya melupakan hafazan al-Qur’an berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan di atas. (Lihat Asna al-Mathalib, 1/64).
- Menurut Imam al-Ramli pula, ia haram jika disebabkan kecuaian dan malas, dan ia merupakan salah satu dosa besar. (Lihat Fatawa al-Ramli, 4/376).
- Menurut Imam al-Syaukani pula, melupakan hafazan al-Qur’an merupakan antara dosa terbesar daripada kategori dosa-dosa kecil sekiranya ia tidak disertai dengan niat meremehkan keagungan al-Qur’an. (Lihat Nail al-Authar, 2/178).
- Menurut Ibn Husamuddin al-Rahmani, ancaman terhadap mereka yang melupakan hafazan al-Qur’an adalah kerana al-Qur’an itu merupakan pusat ajaran Islam dan syari’ah. Melupakannya bererti merosakkan syariah itu sendiri. Hafazan al-Qur’an juga merupakan salah satu nikmat Allah SWT yang amat mulia, maka melupakannya bereri mengkufuri nikmat yang telah diberi. (Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 2/429).
- Ibn Rusyd juga menukilkan ijma’ bahawa jika seseorang itu terlupa hafazan al-Qur’an kerana sibuk mempelajari ilmu-ilmu yang wajib dan ilmu-ilmu sunat, dia tidak berdosa. (Lihat Matalib Uli Nuha, 1/605).
- Abu Syammah, guru Imam al-Nawawi pula mentafsirkan kalimah نسيان dengan erti kata meninggalkan dan tidak beramal, bukan semata-mata lupa dari sudut hafalan. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 1/201).
Manakala jika terlupa disebabkan tabiat sifat manusiawi, maka ia tidaklah berdosa, kerana Nabi SAW sendiri pernah terlupa sebahagian ayat al-Qur’an. Daripada ‘Aisyah R.Anha:
سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يَقْرَأُ فِي سُورَةٍ بِاللَّيْلِ فَقَالَ “ يَرْحَمُهُ اللَّهُ لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً كُنْتُ أُنْسِيتُهَا مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Qur’an pada suatu malam, dan bersabda: “Moga Allah SWT merahmatinya, dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Qur’an yang telah dilupakan daripada aku.
Riwayat al-Bukhari (5038) dan Muslim (788)
Oleh kerana itu Nabi SAW juga berpesan dan memberikan tips bagaimana mengekalkan hafazan al-Qur’an melalui sabda Baginda:
وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ
Maksudnya: “Apabila seorang sahibul Qur’an membacanya (sewaktu solat) pada waktu siang dan malam, nescaya dia akan hafal dan ingat ayat al-Qur’an, namun jika dia tidak melakukan yang demikia, maka dia akan melupakannya.“
Riwayat Muslim (789)
Bagaimanapun, sebahagian ulama salaf pula menghuraikan maksud lupa di sini adalah melupakannya dengan meninggalkan beramal dengan ayat itu. Ini kerana amaran kalau lupa ini hanya tertakluk kepada lupakan hafazan al-Quran maka akan berkatalah seseorang, bahawa lebih baik tidak perlu menghafaz terus. Maka ianya bertentangan dengan objektif Syariah.
Apapun tafsiran dan kekuatan dan kelemahan rawi hadis, sememangnya menjadi kewajiban bagi menjaga hafazan al-Quran demi mengekalkan ketinggian maqam di sisi Allah SWT, juga tidak wajar bagi yang telah mempelajari ilmu-ilmu dari al-Quran dan memahaminya kemudian melupakannya. Justeru, amat perlu bagi kita umat Islam mengingati hafazan dan ilmu dari al-Quran untuk dibaca dan diamal.
Kami berpendapat isu lupa dari hafazan al-Quran telah dibahaskan secara panjang lebar mengikut ulama fiqh seperti berikut.
- Mazhab Hanafi. Al-Khadimi berkata: Daripadanya lupa al-Quran selepas belajarnya termasuk berdosa kerana kecuaian untuk mengulanginya. (Lihat Bariqah Mahmudiyyah 4/191).
- Mazhab Maliki. Ibn Abd al-Bar berkata: Hadis berkenaan dengan sahib al-Quran menggalakkan untuk mempelajari al-Quran dan sentiasa membacanya. Di samping itu memberi amaran keras daripada yang melupakannya. (Lihat al-Istizkar, 2/487).
- Mazhab Syafie. Syeikh al-Khatib al-Syarbini berkata: Melupakan al-Quran termasuk dosa besar. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/39).
- Mazhab Hanbali. Syeikh Mustafa al-Rahibani berkata: Haram melewatkan khatam al-Quran lebih 40 hari kerana dibimbangi lupanya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayat al-Muntaha, 1/504).
Kesimpulan
Mengikut pengamatan kami, hukum lupa hafazan al-Quran yang sudah diingatinya terbahagi kepada dua:
- Jika lalai dan tidak mengulanginya kerana malas dan sibuk dalam hal-hal keduniaan maka hukumnya berdosa seperti fatwa kebanyakan ulama.
- Jika dia sudah berusaha mengingati dan menghafaznya serta mengulangnya, tetapi masih tidak ingat, maka hukumnya tidak berdosa.
Ini juga berbetulan dengan pendapat Ibn Rusyd al-Maliki yang menukilkan secara ijmak bahawa: Siapa yang lupa al-Quran kerana menyibukkan diri dalam perkara menuntut ilmu sama ada yang wajib dan sunat, maka hukumnya tidak berdosa.
Bertarikh 10 November 2021 bersamaan 5 Rabi’ al-Akhir 1443 H
[1] Imam al-Tirmizi menilainya sebagai Gharib. Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari (8/704) menyatakan hadith ini pada sanadnya dhaif.