Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Bolehkah seorang lelaki memakai baju berwarna merah keseluruhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Allah SWT berfirman:
یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰرِی سَوۡءَ ٰ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰلِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰلِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Kami telah menurunkan pakaian buat kalian untuk menutup aurat kalian dan untuk perhiasan dan kecantikan buat kalian. Dan pakaian taqwa itulah yang terbaik. Demikian itu merupakan salah satu tanda keagungan Allah supaya kalian mengambil peringatan.”
(Surah al-A‘raf: 26)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).
Dalam menjawab soalan di atas, menurut pendapat mazhab al-Syafi‘i, memakai baju berwarna merah keseluruhan dan begitu juga memakai apa-apa warna sahaja adalah dibolehkan. Tiada sebarang larangan haram atau makruh berkenaannya.
Imam al-Nawawi menfatwakan: “Dibolehkan memakai baju berwarna putih, merah, kuning, hijau, berbelang-belang dan apa sahaja warna, tidak ada perbezaan pendapat mengenai perkara ini, dan tidak ada suatu warna pun yang makruh.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/452)
Hal ini berdalilkan hadith al-Barra’ bin ‘Azib R.A yang mengatakan bahawa:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حُلَّةٍ حَمْرَاءَ
Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW memakai baju berwarna merah.”
Riwayat al-Tirmizi (3635)
Sebahagian ulama seperti ulama mazhab Hanafi mengatakan bahawa hukumnya makruh. Mereka berdalilkan hadith ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma:
أَنَّ رَجُلًا مَرَّ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهِ ثَوْبَانِ أَحْمَرَانِ، فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ
Maksudnya: “Ada seorang lelaki berjalan melintasi Rasulullah SAW dalam keadaan memakai dua baju berwarna merah, lantas dia memberi salam kepada baginda namun baginda tidak menjawab salam tersebut.”
Riwayat al-Tirmizi (2807) dan Abu Daud (4066)
Namun, sanad hadith ini dinilai sebagai da’if oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Maka, ulama mazhab al-Syafi‘i tidak menjadikannya sebagai hujah sandaran untuk melarang apa-apa warna. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/578)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk memakai baju warna merah sama ada sebahagian atau keseluruhan pada pakaian. Tiada sebarang larangan sama ada makruh atau haram, selama kita menutup aurat serta tidak memakai pakaian yang dianggap janggal dan pelik.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”