Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, berapakah jumlah malaikat yg membantu orang islam dalam Perang Badar ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Permulaan Tercetusnya Perperangan Badar
Syeikh al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum menyebut:
Orang yang mula-mula mencetuskan peperangan ini ialah al-Aswad bin Abd al-Asad al-Makhzumiy. Dia adalah seorang lelaki yang jahat dan buruk akhlaknya. Dia keluar ke tengah medan dan berkata, “Aku berjanji kepada Allah bahawa aku akan minum air dari kolam mereka ini atau aku akan musnahkannya atau aku akan terkorban sebelum dapat meminumnya.” Apabila dia keluar untuk minum dari kolam tentera Islam, Hamzah bin Abd al-Muttalib R.A keluar untuk menghalangnya.
Apabila mereka bertemu, Hamzah R.A dengan segera melibaskan pedangnya sehingga menyebabkan kaki al-Aswad terputus separuh betisnya. Ketika itu, al-Aswad belum sampai ke kolam lagi. Dia terjatuh dengan darah kakinya memancut-mancut ke arah teman-temannya. Kemudian, dia merangkak untuk sampai ke kolam dengan tujuan mahu melaksanakan sumpahnya tadi. Akan tetapi, Hamzah R.A memukulnya kali kedua ketika al-Aswad sedang masuk ke dalam kawasan kolam itu.
Beradu kekuatan
Itulah permulaan tercetusnya peperangan. Selepas itu, keluar pula tiga orang pahlawan berkuda Quraisy yang terbilang dari satu keluarga. Mereka ialah Utbah dan saudaranya, Syaibah bin Rabi’ah serta anaknya al-Walid bin Utbah. Apabila mereka melepasi barisan hadapan, mereka mencabar untuk beradu kekuatan. Keluar tiga orang pemuda Ansar iaitu Auf dan Muadh bin al-Harith (ibu mereka berdua ialah Afra), dan Abdullah bin Rawahah. Ketiga- tiga orang pahlawan Quraisy itu berkata, “Kamu ini siapa?” Lalu, mereka menjawab, “Kami adalah sekumpulan orang Ansar.”
Berkata lagi pihak Quraisy, “Hantarkan kepada kami yang setaraf dengan kami. Kami tidak perlu kepada kamu; yang kami mahukan ialah dari kalangan kaum kerabat kami.” Kemudian, seorang penyeru di pihak mereka berseru, “Hai Muhammad! Keluarkan kepada kami mereka yang setaraf dengan kami daripada kalangan kaum kita!” Rasulullah SAW berkata, “Bangunlah, hai Ubaidah bin al-Harith; bangunlah Hamzah; bangunlah Ali.” Apabila mereka bertiga ini telah bangun dan menghampiri pahlawan Quraisy itu, berkatalah pahlawan Quraisy, “Siapakah kamu?” Lalu diberitahu kepada mereka. Maka, pahlawan Quraisy itu pun berkata, “Kamulah yang setaraf dengan kami.”
Lalu, Ubaidah selaku yang paling tua di antara mereka, beradu kekuatan dengan Utbah bin Rabiah; Hamzah R.A berlawan dengan Shaybah, dan Ali R.A berlawan dengan al-Walid. Hamzah R.A dan Ali R.A tidak mengambil masa yang lama untuk membunuh lawan masing-masing. Ubaidah pula saling tetak-menetak dengan lawannya sehingga kedua-duanya sama-sama menerima satu tetakan. Hamzah dan Ali segera menerkam ke arah Utbah lalu membunuhnya. Mereka mengusung Ubaidah yang telah terputus sebelah tangannya. Dalam keadaan tercedera begitu, Ubaidah masih dapat bertahan sehingga akhirnya beliau gugur di al-Safra selepas empat atau lima hari peperangan tersebut – iaitu, semasa tentera Islam dalam perjalanan pulang ke Madinah.
Ali R.A pernah bersumpah dengan nama Allah bahawa ayat al-Quran ini diturunkan berkaitan mereka:
هَٰذَانِ خَصْمَانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبِّهِمْ ۖ فَالَّذِينَ كَفَرُوا قُطِّعَتْ لَهُمْ ثِيَابٌ مِّن نَّارٍ يُصَبُّ مِن فَوْقِ رُءُوسِهِمُ الْحَمِيمُ
Maksudnya: “Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan mengenai Tuhan mereka. Maka, orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak.”
(Surah Al-Hajj: 19)
Perlawanan tiga orang pahlawan ini berakhir dengan permulaan yang buruk di pihak orang musyrikin. Mereka telah kehilangan tiga orang terbilang daripada kalangan mereka, iaitu pahlawan berkuda dan pemimpin besar mereka dalam masa yang serentak. Lantaran itu, kemarahan mereka semakin meluap-luap; dengan segera mereka menyerbu ke arah tentera Islam.
Sementara itu, tentera Islam dengan penuh harapan bergantung kepada Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya, mengikhlaskan hati berjuang di jalan-Nya, maka, mereka dengan cekal menghadapi serangan bertubi-tubi daripada tentera musyrikin. Mereka bertahan di kedudukan masing-masing dengan mengambil langkah defensif; mereka telah berjaya mengakibatkan kerugian yang besar di pihak tentera musyrikin. Sambil berjuang, mereka sentiasa melaungkan “Ahad! Ahad! (Allah Yang Esa! Allah yang Esa!)” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 348)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami kemukakan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدْرٍۢ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌۭ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ١٢٣ إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَن يَكْفِيَكُمْ أَن يُمِدَّكُمْ رَبُّكُم بِثَلَـٰثَةِ ءَالَـٰفٍۢ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُنزَلِينَ ١٢٤ بَلَىٰٓ ۚ إِن تَصْبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ وَيَأْتُوكُم مِّن فَوْرِهِمْ هَـٰذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُم بِخَمْسَةِ ءَالَـٰفٍۢ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُسَوِّمِينَ ١٢٥ وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِۦ ۗ وَمَا ٱلنَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ ١٢٦ لِيَقْطَعَ طَرَفًۭا مِّنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَوْ يَكْبِتَهُمْ فَيَنقَلِبُوا۟ خَآئِبِينَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (123) (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,” (124) Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing. (125) Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana. (126) (Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.”
(Surah Ali Imran:123-127)
Disebutkan bahawa Allah menolong mereka pada hari Badar pada pertama kali dengan seribu malaikat, kemudian menjadi tiga ribu, kemudian menjadi lima ribu. (Lihat Anwar Tanzil wa Asrar al-Takwil, 2/37, al-Tafsir al-Munir, 4/72)
Al-Wahidi menyebutkan bahawa: Pada hari Badar mereka diberi tanda dengan bulu putih di dahi dan ekor kuda. Kemudian orang-orang beriman bersabar pada hari Badar, maka mereka ditolong dengan lima ribu malaikat. (Lihat al-Wajiz, hlm.230)
Justeru, salah satu faktor kemenangan Islam dalam Perperangan Badar adalah kerana mendapat pertolongan dari Allah SWT. Allah membantu umat Islam dengan menurunkan Malaikat-Nya, seramai 1000 pada permulaan, kemudian 3000 dan akhirnya seramai 5000. Yang demikian juga adalah disebabkan oleh kesabaran dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian.
Peristiwa ini juga mengajar kita tentang pentingnya kesabaran dan ketakwaan dalam menghadapi ujian dan cabaran. Allah SWT memberikan pertolongan kepada mereka yang benar-benar beriman dan menyerahkan diri kepada-Nya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam.