Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum seseorang bercekak pinggang ketika sedang solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
نُهِيَ عَنِ الخَصْرِ فِي الصَّلاَةِ. وَقَالَ هِشَامٌ ، وَأَبُو هِلاَلٍ: عَنْ ابْنِ سِيرِينَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Dilarang mencekak pinggang ketika di dalam solat.” Hisyam dan Abu Hilal berkata, daripada Ibn Sirin, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW.
Riwayat al-Bukhari (1219 )
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: “Yang melarang adalah Rasulullah SAW, seperti disebutkan sesudahnya melalui jalur Hisyam. Yang dimaksudkan dengan Hisyam di sini adalah Hisyam bin Hassan. Sedangkan Abu Hilal, adalah al-Rasibi.” (Lihat Fath al-Bari, 6/441)
Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُصَلِّيَ الرَّجُلُ مُخْتَصِرًا.
Maksudnya: “Nabi SAW melarang seseorang mendirikan solat dalam keadaan bercekak pinggang.”
Riwayat al-Bukhari (1220 )
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:
Mengenai ungkapan, ‘مُخْتَصِرًا’, Ibn Sirin berkata: Maknanya adalah meletakkan tangan di pinggang ketika solat’.” Penafsiran ini juga dipastikan kebenarannya oleh Abu Daud serta dinukil dari sebahagian ulama, dan inilah penafsiran yang masyhur.
Kemudian, para ulama berbeza pendapat tentang hikmah larangan tersebut. Sebahagian mengatakan bahawa hikmah larangan tersebut adalah kerana iblis diturunkan dengan bercekak pinggang (sombong). Demikian Ibn Abi Syaibah meriwayatkan melalui jalur Humaid bin Hilal secara mauquf (tidak sampai pada Nabi SAW).
Ada pula yang berpendapat bahawa hikmahnya adalah kerana kaum Yahudi selalu melakukan perbuatan tersebut, maka hal itu dilarang agar tidak menyerupai mereka. Pendapat ini disebutkan oleh lmam al-Bukhari ketika memaparkan cerita tentang Bani Isra’il dari riwayat Aisyah. Lalu Ibnu Abi Syaibah memberi tambahan lafaz, “Ketika solat”. Dalam riwayat lain dari beliau dikatakan, “Janganlah kamu semua menyerupai orang-orang Yahudi.”
Ada pula yang mengatakan bahawa perbuatan seperti itu merupakan cara istirahat para penghuni neraka. Pendapat ini diriwayatkan pula oleh Ibnu Abi Syaibah dari Mujahid, di mana ia berkata, “Meletakkan tangan di pinggang merupakan cara istirahat penghuni neraka.” Lalu dikatakan pula bahawa sikap tersebut merupakan tindakan seorang penyair saat melantunkan syairnya. Pendapat ini diriwayatkan oleh Sa’id bin Mansur melalui jalur Qais bin Abbad dengan sanad yang hasan.
Ada pula yang berpendapat bahawa sikap seperti itu adalah perbuatan orang-orang yang angkuh, demikian yang diriwayatkan oleh al-Muhallab. Sementara al-Khattabi meriwayatkan bahawa sikap tersebut termasuk perbuatan orang-orang yang ditimpa musibah. Tetapi perkataan Aisyah merupakan pandangan yang paling dapat diterima dalam masalah ini. Meskipun demikian, semua pendapat yang ada tidak saling bertentangan. (Lihat Fath al-Bari, 6/441-443)
Kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”