Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah orang Islam najis atau tidak semasa hidup atau mati?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.”

(Surah al-Taubah: 28)

Jumhur ulama menyatakan, najis dalam ayat di atas bermaksud kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Mereka berhujahkan bahawa Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menyatakan bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35).

Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10). 

Dalam menjawab persoalan di atas juga, kami kemukakan kenyataan Imam al-Bukhari yang mengemukakan riwayat berikut dalam kitabnya:

وَحَنَّطَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا ابْنًا لِسَعِيدِ بْنِ زَيْدٍ، وَحَمَلَهُ، وَصَلَّى وَلَمْ يَتَوَضَّأْ. وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا: المُسْلِمُ لاَ يَنْجُسُ حَيًّا وَلاَ مَيِّتًا. وَقَالَ سَعِيدٌ: لَوْ كَانَ نَجِسًا مَا مَسِسْتُهُ. وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «المُؤْمِنُ لاَ يَنْجُسُ».

Maksudnya: Ibn Umar R.Anhuma mewangikan jenazah anak kepada Sa‘id bin Zaid dan membawanya, lalu disolatkan dan tidak mewudhu’kannya. Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: “Seorang Muslim itu bukanlah najis sama ada ketika masih hidup atau setelah mati.” Begitu juga Sa‘id berkata: “Kalaulah dia najis maka tidak boleh menyentuhnya.” Selain itu, Nabi SAW bersabda: “Seorang Mukmin itu bukan najis.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/280)

Seterusnya beliau membawakan sebuah hadith daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansari R.Anha, katanya: Rasulullah SAW masuk menemui kami ketika kewafatan puterinya, lalu bersabda: 

اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا، أَوْ خَمْسًا، أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ، بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا – أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ – فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي»، فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَعْطَانَا حِقْوَهُ، فَقَالَ: «أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ» تَعْنِي إِزَارَهُ.

Maksudnya: “Mandikannya sebanyak tiga atau lima kali atau lebih sekiranya engkau rasakan perlu, dengan menggunakan air serta daun bidara dan pada akhirnya letakkannya kapur barus (wangian) –  atau sesuatu daripadanya – (syak perawi). Apabila sudah selesai, beritahu kepadaku.” Ketika kami sudah selesai kami memberitahu Baginda, lalu Baginda memberikan kepada kami kainnya dan bersabda: “Pakaikanlah kepadanya” iaitu kainnya.

Riwayat al-Bukhari (1253)

Selain itu, Nabi SAW juga pernah menempatkan rombongan Thaqif — mereka dalam kalangan orang kafir — di masjid. Kalaulah tubuh badan mereka dianggap najis, sudah tentu Baginda tidak akan menempatkan mereka di dalamnya bagi menjaga kesucian masjid. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/78).

Di samping itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577).

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.” 

Leave a Reply