Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dengar satu ceramah seorang ustaz ini sampaikan, para sahabat Nabi SAW dulu pernah bercakap-cakap pada awal-awal diperintahkan solat, sahih atau tidak kisah ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Dirikanlah solat dengan khusyuk dan patuh kepada Allah.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Imam Ibn Kathir menafsirkan, Allah SWT perintahkan umat Islam untuk solat dalam keadaan yang khusyuk, penuh rendah diri, serta berserah diri di hadapan-Nya. Ini memerlukan seseorang itu untuk tidak bercakap-cakap semasa solat; kerana perbuatan bercakap-cakap itu menafikan segala sifat khusyuk, rendah diri dan penyerahan diri. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/496)

Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur berkata dalam kitabnya al-Tahrir wa al-Tanwir (2/469), Allah SWT sebutkan (قُومُوا) yang berasal dari perkataan al-qiyam (القِيَامُ), iaitu berdiri. Ia merupakan salah satu dari rukun-rukun solat yang sememangnya tidak boleh ditinggalkan kecuali dengan keuzuran. Adapun kalimah al-qunut (القُنُوتُ) itu bererti rendah diri dan khusyuk. Qunut ini juga disebutkan sebagai kata nama khas bagi doa yang dibacakan semasa Solat Subuh atau Solat Maghrib – menurut khilaf di kalangan fuqaha’ –. Abu Muhammad Ibn ‘Atiyyah pula menyebutkan, ayat ini diturunkan sebagai larangan bercakap-cakap semasa solat, sedangkan ia dahulunya harus pada awal kedatangan Islam. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 1/323)

Dikisahkan dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya:

كُنَّا نُسَلِّمُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  وَهُوَ يُصَلِّي فَيَرُدُّ عَلَيْنَا، فَلَمَّا رَجَعْنَا مِنْ عِنْدِ النَّجَاشِيِّ سَلَّمْنَا عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْنَا، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا كُنَّا نُسَلِّمُ عَلَيْكَ فَتَرُدُّ عَلَيْنَا؟ قَالَ: إِنَّ فِي الصَّلاَةِ شُغْلًا

Maksudnya: “Kami selalunya memberi salam kepada Nabi SAW ketika Baginda sedang bersolat, dan Baginda pun menjawab salam kami. Selepas kami pulang dari al-Najasyi (yakni berhijrah dari Habsyah ke Madinah), kami pun memberi salam kepadanya, tetapi Baginda tidak menjawab salam kami. Kami berkata: ‘Wahai Rasulullah, dahulu kami biasa memberi salam kepadamu dan engkau membalasnya.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya di dalam solat itu ada kesibukannya (tidak wajar melakukan perbuatan selain perbuatan solat)’.”

Riwayat al-Bukhari (3875) dan Muslim (538)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bin al-Hakam al-Sulami, katanya:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلَاةَ لَا يَصْلُحُ فِيهَا شَيْءٌ مِنْ كَلَامِ النَّاسِ، إِنَّمَا هُيَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu tidak boleh ada padanya apa-apa pun dari percakapan manusia. Sesungguhnya solat itu adalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran.”

Riwayat Muslim (537)

Dalam riwayat hadith lain daripada Zaid bin al-Arqam R.A, katanya:

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِي الصَّلاَةِ، يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِي حَاجَتِهِ، حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ: {حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّـهِ قَانِتِينَ}، فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ

Maksudnya: “Kami biasa bercakap-cakap ketika solat. Salah seorang di antara kami akan bercerita kepada saudaranya tentang hajatnya (atau urusannya), sehingga turunnya ayat ini:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّـهِ قَانِتِينَ

(Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.)  [Surah al-Baqarah: 238] lalu kami diperintahkan untuk diam.”

Riwayat al-Bukhari (4534)

Berdasarkan kepada nas-nas syara‘ di atas, maka benarlah kisah yang saudara sebutkan itu pernah berlaku pada zaman awal kedatangan Islam. Kemudian Allah SWT memansuhkannya dengan perintah untuk mendirikan sembahyang dalam keadaan khusyuk dan penuh rasa rendah diri.

Semoga kita beroleh manfaat dan diberikan kefahaman yang baik dari perbahasan ringkas ini. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply