Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, banarkah nabi pernah mendoakan kecelakaan kaum quraisy iaitu Syaibah, al-Walid, Abu Jahal? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
(Surah al-Haj: 40)
Al-Sa’di berkata: Sesungguhnya Allah SWT pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya,” iaitu orang yang melakukan pembelaan terhadap agama-Nya dengan ikhlas kepada-Nya dalam pelaksanaannya, berjuang di jalan-Nya agar kalimatullah lah yang paling tinggi. “Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Perkasa”, maksudnya sempurna kekuatan-Nya, Maha Perkasa, tidak dapat ditahan. Dia telah menundukkan seluruh makhluk dan memegang ubun-ubun mereka. Maka bergembiralah wahai kaum Muslimin. Walaupun jumlah dan kekuatan kamu lemah, sementara musuh kuat, maka sesungguhnya tumpuan kamu semua yang kuat lagi perkasa dan tempat bergantung kamu semua adalah Zat yang telah menciptakan kamu dan menciptakan apa yang telah kamu lakukan. Maka tempuhilah langkah-langkah yang diperintahkan untuk dilakukannya. Kemudian, mintalah kemenangan dari-Nya. Sudah pasti Dia akan menolong kamu semua. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 332)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa benar Rasulullah pernah mendoakan kebinasaan ke atas kelompok kaum Kafir Quraisy seperti Syaibah, ‘Utbah, al-Walid, dan Abu Jahal Bin Hisyam. Bahkan Imam Bukhari sendiri mentajukkannya dalam sahihnya.
Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud bahawa beliau berakata:
اسْتَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الكَعْبَةَ، فَدَعَا عَلَى نَفَرٍ مِنْ قُرَيْشٍ: عَلَى شَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ، وَعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ، وَالوَلِيدِ بْنِ عُتْبَةَ، وَأَبِي جَهْلِ بْنِ هِشَامٍ، فَأَشْهَدُ بِاللَّهِ، لَقَدْ رَأَيْتُهُمْ صَرْعَى، قَدْ غَيَّرَتْهُمُ الشَّمْسُ، وَكَانَ يَوْمًا حَارًّا
Maksudnya: “Nabi SAW menghadap ke Kaabah lalu mendoakan kecelakaan ke atas sekelompok kaum Quraisy iaitu Syaibah bin Rabi‘ah, ‘Utbah bin Rabi‘ah, al-Walid bin ‘Utbah dan Abu Jahal bin Hisyam. Aku bersaksi demi Allah, sesungguhnya aku telah melihat mereka mati bergelimpangan (di Perang Badar), dan berubah (menjadi busuk) disebabkan sinaran matahari, kerana hari itu sangat panas.”
Riwayat Bukhari (3960)
Disebutkan dalam ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sahih Bukhari (17/84) bahawa: penjelasan tentang kehancuran mereka, Allah menerima doa Baginda dan mereka semua terbunuh pada hari Badar. Adapun Syaibah, dia dibunuh oleh Hamzah bin Abdul Muttalib R.A. Manakala ‘Utbah, dia dibunuh oleh Ubaid bin al-Harith bin al-Muttalib. Ibn Hisham berkata: Dia (Ubaid) bersama-sama Hamzah dan Ali R.A. Adapun al-Walid, dibunuh oleh Ali bin Abi Talib dan Abu Jahal dibunuh oleh Mu’az bin ‘Amr bin al-Jamuh, Mu’az bin ‘Afra’, dan Abdullah bin Mas’ud, yang telah memenggal kepalanya dan membawanya kepada Nabi SAW.
Bahkan, Rasulullah SAW pernah doa kebinasaan kepada golongan Ahzab sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Abi Awfa R.A katanya:
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2933)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Maksud mendoakan untuk musuh di ambang kekalahan, adalah supaya mereka tidak dapat wujud lagi. Al-Dawudi berkata, “Maksudnya agar akal fikiran mereka menjadi kusut dan tidak tenteram, kaki mereka bergetar ketika bertemu di medan peperangan sehingga tidak dapat wujud.” (Lihat Fath al-Bari, 16/315)
Justeru, berdasarkan hadith yang disebutkan, kita dapat memahami dengan jelas bahawa Nabi Muhammad SAW pernah berdoa kehancuran ke atas kaum kafir Quraisy dan Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi dengan menghancurkan mereka di medan perang. Kehancuran mereka ini adalah kerana mereka sangat menentang usaha Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dan meningkatkan martabat Islam, bahkan mereka adalah golongan yang menindas dan menzalimi umat Islam pada masa itu. Kehancuran kaum kafir Quraisy ini menjadi pelajaran bagi mereka yang menolak kebenaran dan menzalimi orang-orang yang beriman.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam.