Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bilakah mula penentuan tarikh hijri bagi umat islam dan apakah sejarahnya ? Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّـهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).”
(Surah Yunus: 5)
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa Dia mencipta cahaya daripada satu jirim besar bernama matahari yang menerangi seluruh alam tanpa henti dan bulan sebagai lampu pada waktu malam yang memantulkan cahaya matahari ke bumi. Allah SWT menetapkan tempat peredaran bagi bulan dan matahari yang menjadi rujukan dalam penentuan waktu, hari dan tahun yang beredar secara tersusun seolah-oleh dikawal oleh satu sistem yang sangat efisien. Begitu juga pertukaran siang dan malam yang tidak pernah sekalipun terlewat. Walaupun jutaan tahun berlalu, sistem tersebut tidak terjejas walau sedikitpun. Maka, sudah tentu ada kuasa yang maha hebat yang mengatur perkara tersebut. Itulah yang dijelaskan oleh Allah SWT bahawa Dialah yang mencipta dan mengatur segala kejadian sebagai tanda dan peringatan kepada orang yang bertakwa iaitu orang-orang yang takut kepada balasan, kemurkaan dan azab Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/248-249; Tafsir al-Bayan, 2/337)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, penentuan dan pengiraan tarikh Islam tidak bermula dari tarikh Rasulullah SAW diutuskan sebagai Rasul mahupun tarikh kewafatannya. Hal Ini adalah berdasarkan apa yang telah thabit dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Sahal bin Sa‘d bahawa beliau berkata:
مَا عَدُّوا مِنْ مَبْعَثِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلاَ مِنْ وَفَاتِهِ، مَا عَدُّوا إِلَّا مِنْ مَقْدَمِهِ المَدِينَةَ
Maksudnya: “Tidaklah para sahabat menghitung tarikh bulan bermula daripada pengutusan Nabi SAW atau kewafatan Baginda. Tidak juga mereka hitung tarikh melainkan (bermula) daripada waktu kedatangan Baginda ke Madinah.”
Riwayat al-Bukhari (3934)
Disebutkan dalam ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih Bukhari (17/66) bahawa Ibn ‘Abbas mengatakan: Nabi SAW tiba di Madinah dan mereka tidak mempunyai tarikh. Mereka mencatatkan bulan dan dua bulan dari ketibaannya, lalu mereka berterusan dengan cara itu sehingga Nabi SAW wafat, dan tarikh terhenti. Zaman pemerintahan Abu Bakar berlangsung dengan cara ini dan empat tahun dari pemerintahan Umar juga dengan cara ini, kemudian tarikh ditetapkan, dan mereka berbeza pendapat mengenai sebabnya.
Namun, ia ditentukan setelah kewafatan Rasulullah SAW pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab dan pada zaman tersebut ia mula diguna pakai oleh umat islam. Beliau menetapkan tarikh Islam adalah berdasarkan tarikh peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Al-Hakim meriwayatkan daripada Sa’id bin al-Musayyib, katanya:
جَمَعَ عُمَر النَّاس فَسَأَلَهُمْ عَنْ أَوَّل يَوْم يَكْتُب التَّارِيخ , فَقَالَ عَلِيّ : مِنْ يَوْم هَاجَرَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَرَك أَرْض الشِّرْك , فَفَعَلَهُ عُمَر
Maksudnya: “Umar mengumpulkan orang-orang dan bertanya kepada mereka tentang hari pertama dalam penulisan tarikh. Ali berkata: ‘Dari hari Nabi SAW berhijrah meninggalkan tanah kesyirikan.’ Umar lalu melakukannya.”
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/15)
Para Sahabat R.Anhum bersepakat pada tahun keenam belas hijrah, atau disebutkan juga pada tahun ketujuh belas atau kelapan belas dalam pemerintahan Umar R.A dalam menetapkan awal tarikh Islam dari tahun hijrah. Hal ini kerana Amir al-Mukminin Umar R.A diberi sebuah perkara untuk memutuskan antara dua orang mempunyai masalah hutang yang perlu diselesaikan pada bulan Sya’ban, tetapi tidak diketahui pada Sya’ban tahun yang mana. Kemudian Umar R.A bertanya, “Sya’ban yang mana? Sya’ban pada tahun ini, tahun lalu, atau tahun depan?” Lalu, beliau mengumpulkan para Sahabat untuk berbincang dan meminta nasihat dalam menetapkan tarikh yang akan diakui oleh semua orang, termasuk dalam pembayaran hutang dan urusan lainnya. Beberapa daripada kalangan mereka mengusulkan untuk mengikuti tarikh orang Farsi, namun pendapat itu ditolak. Ada yang mengusulkan untuk mengikuti tarikh orang Rom, namun itu juga ditolak. Kemudian ada yang mengusulkan untuk mengikuti tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Muhammad SAW, ada juga yang mengusulkan berdasarkan diutusnya baginda SAW sebagai Rasul, ada yang mengusulkan berdasarkan hijrah baginda SAW, dan ada juga yang mengusulkan berdasarkan wafatnya Nabi SAW.
Akhirnya, Umar R.A cenderung pada pendapat yang mencadangkan tarikh berdasarkan tahun hijrah karena menganggapnya lebih tepat. Keputusan ini disokong oleh semua para sahabat yang ada ketika itu. Tujuan mereka adalah menetapkan awal tarikh Islam bermula dari tahun hijrah, dan menjadikan awal tarikhnya bermula bulan Muharram, dan ini adalah pendapat majoriti para imam agar pengurusan menjadi tersusun dan tidak bercelaru. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/251-253)
Justeru berdasarkan perbahasan yang dinyatakan di atas, kita dapat memahami bahawa permulaan penentuan tarikh Islam bermula pada era Khalifah Umar al-Khattab. Beliau telah menetapkan tarikh Islam berdasarkan tarikh Hijri, iaitu hijrah Rasulullah SAW, dan ia masih digunakan hingga ke hari ini. Penentuan tarikh Hijri ini memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam, sama ada dari segi ibadah, sejarah, dan lain-lain aspek.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”
Wallahua’lam