Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mohon pencerahan. Apabila seseorang mati meninggalkan harta, apakah yang sepatutnya didahulukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Menjawab persoalan di atas, apabila seseorang itu meninggal dunia, mengikut pandangan ulama, yang mula-mula adalah urusan kain kafan dan mengebumikan jenazah. Kemudian hutangnya, sama ada dengan Allah atau dengan makhluk. Seterusnya berkaitan wasiat, jika dia ada meninggalkan wasiat dan terakhir adalah pembahagian pusaka.

Kami kemukakan juga di sini riwayat, sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitabnya, iaitu:

وَقَالَ إِبْرَاهِيمُ: يُبْدَأُ بِالكَفَنِ، ثُمَّ بِالدَّيْنِ، ثُمَّ بِالوَصِيَّةِ. وَقَالَ سُفْيَانُ: أَجْرُ القَبْرِ وَالغَسْلِ هُوَ مِنَ الكَفَنِ.

Maksudnya: “Ibrahim berkata: Mulakanlah dengan mengkafankan, kemudian selesaikan hutang, kemudian barulah wasiat.” Begitu juga Sufyan berkata: “Upah bagi menggali kubur dan memandikan jenazah adalah termasuk dalam perbelanjaan mengkafankan.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/297)

Justeru, secara ringkasnya, kami katakan bahawa antara perkara yang mesti dilakukan setelah seseorang mati adalah:

  1. Pengurusan jenazah
  2. Melangsaikan hutang si mati
  3. Melaksanakan wasiat si mati
  4. Pembahagian harta pusaka

Hendaklah dilaksanakan tiga perkara yang awal dahulu, dan kemudian barulah boleh membahagi harta peninggalan  tersebut kepada ahli waris mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh saya.

Imam al-Nawawi berkata: Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 180)

Telah dinyatakan  juga dalam Mausua’h Fiqh al-Islami bahawa: “Hak pertama yang perlu diberi perhatian dalam urusan harta pusaka adalah hak yang berkaitan dengan harta yang ditinggalkan, seperti cagaran, hutang, dan zakat yang wajib. Kemudian, kelengkapan untuk persiapan jenazahnya. Termasuk juga  dalam hal  ini adalah keperluan tanggungan si mati ketika dia masih hidup seperti hambanya dan isterinya yang tidak nusyuz. Yang demikian  sekiranya dia seorang yang  mampu yang memiliki harta peninggalan. Kemudian hendaklah diselesaikan segala hutang-hutang yang menjadi tanggungannya samada hutang  tersebut berkaitan hutang kepada Allah SWT  atau kepada manusia.

Selain itu juga, hendaklah melaksanakan segala wasiat-wasiat yang ditinggalkan seperti  pembebasan hamba yang diwasiatkan selepas kematiannya atau  sumbangan yang tidak sempat dipenuhi  ketika dia sakit serta melaksanakan wasiatnya dengan kadar 1/3 daripada peninggalannya setelah melangsaikan hutangnya dan kemudian barulah dibahagikan harta peninggalan tersebut kepada ahli waris. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-Islami, 4/295)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Leave a Reply