Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW amat sedih apabila sahabatnya penghafal al-Quran meninggal dunia kerana dibunuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Aisyah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ

Maksudnya: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.”

Riwayat al-Bukhari (4937) dan Muslim (798)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/85)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW, sepertimana diriwayatkan daripada Anas R.A, katanya:

قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا حِينَ قُتِلَ القُرَّاءُ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَزِنَ حُزْنًا قَطُّ أَشَدَّ مِنْهُ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW membaca doa qunut selama sebulan ketika terbunuhnya para Qurra’ (penghafal al-Quran). Tidak pernah aku melihat Rasulullah SAW bersedih yang melebihi kesedihannya pada waktu itu.”

Riwayat al-Bukhari (1300)

Ibn Battal menyebut: Al-Tabari berkata: Jika ada yang berkata: Keadaan orang dalam kesabaran itu berbeza-beza. Ada di antara mereka yang menunjukkan kesedihan mereka atas musibah di wajah mereka dengan perubahan padanya, dan di mata mereka, dengan mengalirkan air mata, dan tidak mengucapkan perkataan buruk. Ada di antara mereka yang menunjukkan itu di wajah mereka, dan mengucapkan kata-kata yang dilarang. Ada di antara mereka yang mengumpulkan semua itu, dan menambahkannya dengan menunjukkannya dalam makanan dan pakaian mereka. Ada di antara mereka yang keadaannya dalam keadaan musibah, dan sebelumnya sama. Jadi, siapa yang layak mendapat nama kesabaran?

Dikatakan: Orang-orang terdahulu sebelum kita telah berbeza pendapat mengenainya. Ada yang berpendapat: yang layak diberi gelaran sabar adalah mereka yang berada dalam keadaan musibah sama seperti sebelumnya, tanpa menunjukkan kesakitan pada anggota badan atau lidah. Ada pula yang berpendapat: seperti yang dikatakan oleh kaum Sufi, bahawa seorang wali tidak akan mendapatkan wilayah kecuali jika dia menerima takdir dan tidak bersedih atas sesuatu. Manusia dalam keadaan ini berbeza-beza, ada yang memiliki sifat tahan lasak dan kurang peduli tentang musibah, dan ada yang sebaliknya. Orang yang memiliki sifat cemas dalam dirinya, dan mampu menguasai dirinya sendiri, dan merasakan sabar mendapatkan pahala yang lebih besar daripada orang yang memiliki sifat tahan lasak, maka hanya Allah yang lebih mengetahui.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 3/280-281)

Syeikh Ahmad bin Isma’il bin Uthman berkata: Hadis menunjukkan bahawa duduk dengan sikap yang tenang semasa bersedih adalah sesuatu yang dibenarkan. Adapun apabila kesedihan muncul, manusia sebenarnya tidak mempunyai pilihan untuk mengelakkannya.” (Lihat al-Kauthar al-Jari ila Riyadh Ahadith al-Bukhari, 3/323)

Syeikh Zakariyya bin Muhammad al-Ansari berkata: Mengenai ungkapan, ‘حِينَ قُتِلَ القُرَّاءُ’ (ketika terbunuhnya para Qurra’ iaitu penghafal al-Quran), ia adalah peristiwa di mana para penghafaz al-Quran diutuskan oleh Rasulullah SAW ke penduduk Najd untuk mengajarkan al-Quran kepada mereka dan menyeru mereka kepada Islam. Namun, ketikamana mereka tiba di telaga Ma’unah, mereka telah diserang oleh ‘Amir bin al-Tufail dari suku Ri’l, Zakwan dan Usayyah. Akhirnya kebanyakan mereka telah gugur sebagai syuhada’. (Lihat Tuhfah al-Bari, 3/373)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply