Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya kita sedang berada di satu tempat, kemudian dibawa jenazah melalui berhampiran kita, adakah kita perlu bangun atau tidak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW, yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

‏إِذَا رَأَيْتُمُ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا، فَمَنْ تَبِعَهَا فَلاَ يَقْعُدْ حَتَّى تُوضَعَ.‏

Maksudnya: “Sekiranya engkau melihat jenazah melepasi engkau, maka berdirilah. Barang siapa yang mengiringinya jenazah, maka janganlah dia duduk sehingga jenazah diletakkan.”

Riwayat al-Bukhari (1310)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Al-Tahawi telah meriwayatkan melalui jalur al-Sya’bi daripada Abu Sa’id. Dia menyatakan, “Satu jenazah dibawa lalu di hadapan Marwan dan dia tidak bangun berdiri. Lantas, Abu Sa’id berkata kepadanya, ‘Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW akan bangun berdiri apabila ada jenazah yang dibawa lalu di hadapannya.’ Maka, Marwan pun bangun berdiri.”

Pendapat para ahli Fiqh berbeza-beza mengenai isu ini. Kebanyakan sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa tindakan tersebut adalah disukai (mustahab), seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Munzir, al-Auza’i, Imam Ahmad, Ishaq dan Muhammad bin al-Hasan juga berpendapat demikian.

Hadis dalam bab ini menjelaskan batas-batas yang membenarkan seseorang yang mengiringi jenazah atau terlibat dalam proses pemakaman untuk duduk. Bagi orang yang berada di satu tempat ketika jenazah dibawa lalu di hadapannya, dia tidak perlu berdiri kecuali pada saat jenazah itu dibawa lalu atau ketika jenazah itu telah diletakkan di hadapannya, seperti jika dia berada di musolla.

Perkataan “berdiri” mencakupi orang yang sedang duduk. Bagi orang yang sedang membawa kenderaan, mereka hendaklah menghentikan kenderaan mereka. Ini kerana, tindakan menghentikan kenderaan bagi orang yang membawanya adalah sama seperti tindakan berdiri bagi orang yang sedang duduk apabila jenazah dibawa lalu. Perkataan “Jika tidak mengiringinya” telah dijadikan sebagai dalil bahawa kehadiran dalam proses pengebumian bukanlah kewajiban setiap individu. (Lihat Fath al-Bari, 7/201)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Leave a Reply