Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kenapa kita diperintah supaya segera kebumikan jenazah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

أَسْرِعُوا بِالْجِنَازَةِ، فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا، وَإِنْ يَكُ سِوَى ذَلِكَ، فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ.

Maksudnya: “Segerakanlah engkau dalam pengurusan jenazah. Sekiranya ia jenazah orang soleh, maka engkau telah mempercepatkan kebaikan untuknya. Sekiranya  tidak, maka engkau telah meletakkan keburukan pada bahu-bahu engkau.”

Riwayat al-Bukhari (1315)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Ungkapannya, ‘أَسْرِعُوا’ (segerakanlah). Ibn Qudamah telah menukilkan bahawa petunjuk perintah di sini adalah mustahab (disukai) tanpa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama. Hanya saja Ibn Hazm mengemukakan pendapat yang menyalahi pandangan umum, kerana menurutnya perintah ini menunjukkan wajib.

Adapun yang dimaksud dengan “bersegera” adalah mempercepat langkah berjalan. Demikianlah penafsiran yang dikemukakan oleh sebahagian ulama salaf dan pendapat mazhab Hanafi. Penulis kitab al-Hidayah berkata, “Mereka berjalan membawa jenazah dengan cepat tanpa melambatkan langkah.” Sementara dalam kitab al-Mabsut dikatakan, “Tidak ada kadar kecepatan tertentu, hanya saja Abu Hanifah lebih menyukai berjalan dengan cepat.”

Dalam mazhab Imam al-Syafi’i dan majoriti ulama menyatakan bahawa yang dimaksud dengan “bersegera” adalah berjalan lebih cepat dari orang yang berjalan biasa, tapi tidak terlalu cepat. Lalu Iyadh tidak membezakan dalam hal ini, dia mengatakan bahawa maksud mereka yang menyukai untuk menyegerakan jenazah adalah berjalan lebih cepat dari biasanya. Sedangkan mereka yang memakruhkannya, adalah jika terlalu cepat seperti berlari-lari kecil.

Kesimpulannya, sesungguhnya “bersegera” dalam membawa jenazah hukumnya mustahab (disukai) selama tidak berlebihan, kerana dikhuatiri akan memberi kesan negatif bagi mayat atau memberatkan bagi orang-orang yang sedang membawa atau yang ikut menghantarkannya.

Al-Qurtubi berkata, “Maksud hadis tersebut adalah anjuran untuk tidak melambatkan proses pengebumian jenazah, kerana melambatkan menguburkan jenazah boleh sahaja menimbulkan sikap berbangga dan angkuh.”

Lafaz ‘فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً’ (apabila ia orang yang soleh), yakni jenazah yang sedang dibawa. Al-Tibi berkata, “Maksud jenazah di sini adalah mayat, sementara usungan dijadikan sebagai sesuatu yang disegerakan kepada kebaikan, dimana kebaikan itu merupakan kiasan amal soleh orang yang mati tersebut.” (Lihat Fath al-Bari, 7/220-225)

Selain itu, terdapat hadith Nabi SAW, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِذَا وُضِعَتِ الجِنَازَةُ، فَاحْتَمَلَهَا الرِّجَالُ عَلَى أَعْنَاقِهِمْ، فَإِنْ كَانَتْ صَالِحَةً قَالَتْ: قَدِّمُونِي، وَإِنْ كَانَتْ غَيْرَ صَالِحَةٍ قَالَتْ لِأَهْلِهَا: يَا وَيْلَهَا أَيْنَ يَذْهَبُونَ بِهَا، يَسْمَعُ صَوْتَهَا كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الإِنْسَانَ، وَلَوْ سَمِعَ الإِنْسَانُ لَصَعِقَ.

Maksudnya: “Apabila jenazah sudah diletakkan dalam usungan, lalu dibawa oleh kaum lelaki pada bahu-bahu mereka, sekiranya ia jenazah orang yang soleh, jenazah tersebut berkata: ‘Bersegeralah membawaku.’ Sekiranya bukan jenazah orang soleh, maka dia berkata kepada keluarganya: ‘Celakalah  aku. Ke mana mereka akan membawaku?’ Suara jenazah itu didengari oleh semua makhluk kecuali manusia dan sekiranya manusia mendengarnya, tentu dia akan jatuh  pengsan.”

Riwayat al-Bukhari (1316)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Ungkapannya, ‘لَصَعِقَ’ (tentu dia akan jatuh  pengsan), yakni jatuh pengsan kerana suara dahsyat yang dia dengar. Perkataan ‘صَعِقَ’ terkadang digunakan untuk kematian. Ertinya, mayat tersebut bertempik dengan suara keras yang apabila didengari oleh seseorang, nescaya dia akan jatuh pengsan.

Menurut Ibn Bazizah, bahawa keadaan seperti ini khusus dialami mayat yang tidak soleh. Adapun mayat orang soleh, maka dia akan berbicara dengan lemah lembut, tentunya hal itu tidak mengakibatkan seseorang jatuh pengsan kerana mendengar suaranya. Akan tetapi ada juga kemungkinan seseorang jatuh pengsan kerana mendengar suara mayat orang soleh, kerana suara tersebut lain dari suara yang biasa didengari.

Hadis ini dijadikan dalil bahawa perkataan mayat dapat didengari oleh makhluk berakal mahupun yang tidak berakal. Akan tetapi Ibn Battal mengatakan, bahawa cakupan hadis tersebut bersifat umum, namun yang dimaksudkan adalah sesuatu yang khusus. Ertinya, suara mayat itu didengari oleh makhluk berakal seperti malaikat, jin dan manusia, kerana yang berbicara adalah ruh dan tidak ada yang mendengar pembicaraan ruh kecuali makhluk yang memiliki ruh juga.

Namun pendapat Ibn Battal ini ditanggapi, bahawa pembicaraan ruh tidak mesti hanya didengari oleh makhluk yang memiliki ruh, kerana membataskan keumuman hadis tersebut tidaklah diperlukan. Bahkan tidak ada yang dikecualikan selain manusia, sebagaimana makna zahir hadis. Pelaksanaan perlakuan khusus terhadap manusia dalam konteks ini adalah bertujuan untuk memelihara keberlangsungan hidupnya. Di samping itu, bukan hal yang mustahil apabila Allah SWT memberi kemampuan bagi jasad yang tanpa ruh untuk berbicara, seperti yang telah diterangkan. (Lihat Fath al-Bari, 7/220-225)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Leave a Reply