Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kedudukan imam dalam pelaksanaan solat jenazah wanita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith yang diriwayatkan daripada Samurah R.A, katanya:

صَلَّيْتُ وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى امْرَأَةٍ مَاتَتْ فِي نِفَاسِهَا، فَقَامَ عَلَيْهَا وَسَطَهَا‏.

Maksudnya: “Aku pernah menunaikan solat jenazah di belakang Nabi SAW untuk seorang wanita yang telah meninggal dunia selepas melahirkan dan Baginda SAW berdiri pada bahagian tengah jenazahnya.”

Riwayat al-Bukhari (1331)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Keberadaan wanita tersebut yang meninggal dalam keadaan nifas tidak mempunyai pengaruh menurut hukum. Sedangkan keberadaannya sebagai wanita ada kemungkinan memberi pengaruh hukum, kerana posisi imam yang berdiri di bahagian tengahnya adalah untuk menutupinya, di mana hal itu diperlukan baginya, berbeza dengan kaum lelaki. Namun ada juga kemungkinan keadaan itu tidak memberi pengaruh hukum. Sesungguhnya perbuatan Nabi SAW yang berdiri di bahagian tengah jenazah wanita adalah sebelum dibuatkan keranda. Adapun setelah dibuatkan keranda, maka tujuan untuk menutupinya telah tercapai.

Ibnu Rasyid meriwayatkan pendapat dari Ibn al-Murabit bahawa keberadaan wanita tersebut yang sedang haid merupakan ‘illah (sebab) yang sesuai sehingga disolatkan di bahagian tengahnya, kerana posisi ini menghadap langsung pada janinnya agar ia memperoleh berkat doa. Namun pendapat ini ditanggapi bahawa janin sama seperti anggota tubuhnya. Di samping itu, janin tersebut tidak pula disolatkan secara tersendiri apabila keluar kerana keguguran. Maka, lebih utama lagi apabila masih berada dalam perut ibunya untuk tidak menjadi tujuan solat. (Lihat Fath al-Bari, 3/201)

Mafhum daripada hadith ini juga, imam hendaklah berdiri ditengah-tengah wanita tersebut ketika solat jenazah dan inilah yang sunat. Sebahagian ulama’ menyatakan hikmah berdirinya imam di tengah jenazah wanita kerana ia lebih tertutup daripada pandangan manusia. Kalau tidak, sudah pasti berdiri di kepala kerana ia semulia-mulia anggota. Ini dilakukan kepada jenazah lelaki.

Al-Syirazi berkata: “Dan sunnah untuk imam berdiri imam di sisi kepala jenazah lelaki dan selari dengan tengah jenazah perempuan. Manakala Abu Ali al-Tabari berpendapat bahawa sunnah untuk imam berdiri setentang dada jenazah lelaki dan tengah bagi jenazah perempuan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 1/246)

Hal ini berdasarkan hadith Abu Ghalib, katanya:

صَلَّيْتُ مَعَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَلَى جَنَازَةِ رَجُلٍ، فَقَامَ حِيَالَ رَأْسِهِ، ثُمَّ جَاءُوا بِجَنَازَةِ امْرَأَةٍ مِنْ قُرَيْشٍ، فَقَالُوا: يَا أَبَا حَمْزَةَ صَلِّ عَلَيْهَا، فَقَامَ حِيَالَ وَسَطِ السَّرِيرِ، فَقَالَ لَهُ العَلَاءُ بْنُ زِيَادٍ: هَكَذَا رَأَيْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ عَلَى الجَنَازَةِ مُقَامَكَ مِنْهَا وَمِنَ الرَّجُلِ مُقَامَكَ مِنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ». فَلَمَّا فَرَغَ قَالَ: احْفَظُوا

Maksudnya: “Aku pernah solat jenazah lelaki bersama Anas bin Malik, dan ia berdiri menghadap ke arah kepalanya. Kemudian, datang pula mereka yang membawa jenazah perempuan dari suku Quraisy, lalu mereka berseru: “Wahai Abu Hamzah (nama julukan Anas bin Malik), solatkanlah jenazah ini.” Lantas, Anas pun berdiri menghadap ke bahagian tengah keranda jenazah. Kemudian ‘Ala bin Ziyad bertanya kepadanya: “Seperti demikiankah engkau melihat Nabi SAW berdiri di hadapan jenazah (perempuan), yakni seperti kedudukanmu darinya dan kedudukanmu dari jenazah lelaki? Anas menjawab: “Ya.” Setelah selesai, dia berkata: “Peliharakanlah”

Riwayat al-Tirmizi (1034)

Inilah mazhab al-Syafi’i dan Ahmad, bahkan kata Ibn Munzir, inilah pendapat jumhur ulama’.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Leave a Reply