Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan pada kami, bagaimana bentuk kain kafan Rasulullah SAW dan berapakah bilangannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”

(Surah Ali Imran: 144)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan satu riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya: Aku masuk menemui Abu Bakar R.A, lalu beliau berkata:

فِي كَمْ كَفَّنْتُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَتْ: فِي ثَلاَثَةِ أَثْوَابٍ بِيضٍ سَحُولِيَّةٍ، لَيْسَ فِيهَا قَمِيصٌ وَلاَ عِمَامَةٌ. وَقَالَ لَهَا: فِي أَيِّ يَوْمٍ تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَتْ: يَوْمَ الِاثْنَيْنِ. قَالَ: فَأَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالَتْ: يَوْمُ الِاثْنَيْنِ. قَالَ: أَرْجُو فِيمَا بَيْنِي وَبَيْنَ اللَّيْلِ، فَنَظَرَ إِلَى ثَوْبٍ عَلَيْهِ، كَانَ يُمَرَّضُ فِيهِ بِهِ رَدْعٌ مِنْ زَعْفَرَانٍ، فَقَالَ: اغْسِلُوا ثَوْبِي هَذَا وَزِيدُوا عَلَيْهِ ثَوْبَيْنِ، فَكَفِّنُونِي فِيهَا، قُلْتُ: إِنَّ هَذَا خَلَقٌ، قَالَ: إِنَّ الحَيَّ أَحَقُّ بِالْجَدِيدِ مِنَ المَيِّتِ، إِنَّمَا هُوَ لِلْمُهْلَةِ فَلَمْ يُتَوَفَّ حَتَّى أَمْسَى مِنْ لَيْلَةِ الثُّلاَثَاءِ، وَدُفِنَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ.

Maksudnya: “Berapa helai kainkah engkau mengkafankan Nabi SAW?” Aisyah berkata: “Dengan tiga helai kain putih yang kosong, tiada padanya baju dan serban.” Beliau bertanya kepada Aisyah: “Pada hari apakah Rasulullah SAW wafat?” Aisyah berkata: “Pada hari Isnin.” Beliau bertanya lagi: “Hari apakah ini?” Aisyah berkata: “Hari Isnin.” Beliau berkata: “Aku harap aku mati di antara waktu ini dengan malam ini.” Lalu beliau memandang kepada kain yang terletak di atasnya iaitu kain yang dipakai semasa sakitnya. Pada kain itu terdapat kotoran kerana za‘faran. Lalu beliau berkata: “Basuhlah kainku ini dan tambahkan padanya dua kain lagi dan kafankanlah aku dengannya.”

Aku (Aisyah R.Anha) berkata: “Sesungguhnya kain ini sudah lusuh.” Beliau berkata: “Sesungguhnya orang yang hidup lebih berhak kepada pakaian yang baru berbanding orang mati, sesungguhnya orang yang mati itu untuk nanah dan darah.” Maka Abu Bakar tidak diwafatkan sehingga malam Selasa dan dikebumikan sebelum waktu subuh.

Riwayat al-Bukhari (1387)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Ungkapannya, ‘فِي كَمْ كَفَّنْتُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ’ (“Berapa helai kainkah engkau mengkafankan Nabi SAW?”), yakni, berapakah kain yang telah kamu semua gunakan untuk mengafankan Nabi SAW? Ada pendapat yang mengatakan bahawa Abu Bakar mengatakan hal itu kepada Aisyah dalam bentuk pertanyaan agar Aisyah tabah dan sabar sepeninggalnya nanti. Juga sebagai ungkapan penghargaan dari beliau atas sikap Aisyah yang sangat memperhatikannya. Hal ini kelihatan dari sikap Aisyah yang langsung diselimuti rasa duka ketika melihat keadaan bapanya, kerana tidak mungkin Abu Bakar lupa atas apa yang ditanyakannya sementara peristiwanya belum lama berlalu.

Tetapi ada juga kemungkinan pertanyaan ini benar-benar bermaksud untuk mengetahui jumlah kain kafan Nabi SAW, kerana Abu Bakar tidak hadir ketika Nabi SAW dikafankan kerana disibukkan dalam urusan bai’ah. Adapun mengenai penentuan hari, bukan tidak mungkin dilupakan oleh Abu Bakar, sebab Nabi SAW dikebumikan pada malam Rabu. Maka, boleh sahaja timbul keraguan, apakah Baginda SAW wafat pada hari Isnin ataukah malam Selasa.

Al-Hafiz Ibn Hajar turut menyebut beberapa pengajaran yang dapat diambil daripada hadith ini, antaranya:

Pelajaran yang dapat diambil

  • Disukai mengafankan mayat dengan kain putih.
  • Disukai jumlah kain kafan sebanyak tiga helai.
  • Boleh berusaha untuk menyamai perbuatan orang-orang yang besar dalam rangka tabarruk (mencari berkat).
  • Dibolehkan mengafankan dengan kain yang dicuci.
  • Mengutamakan kain baru bagi yang hidup.
  • Mengubur jenazah pada waktu malam.
  • Keutamaan Abu Bakar al-Siddiq.
  • Ketajaman firasat Abu Bakar serta ketabahannya ketika menghadapi kematian.
  • Bolehnya menerima ilmu daripada orang yang darjatnya lebih rendah. Abu ‘Umar berkata, “Pada hadis ini terdapat keterangan bahawa mengafankan jenazah dengan pakaian baru atau yang sudah usang tidak ada bezanya.” Tetapi perkataan ini dijawab dengan mengemukakan pandangan terdahulu, yakni kemungkinan Abu Bakar memilih kain tersebut kerana maksud tertentu. Meskipun sikap Abu Bakar bukan kerana maksud demikian, hadis tersebut tidak dapat dijadikan dalil persamaan kain kafan yang baru dan yang lama. (Lihat Fath al-Bari, 3/253)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply