Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang itu mempromosikan rokok atau vape walaupun dia tidak merokok dan tidak menggunakan vape?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah al-Baqarah (195)

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Tambahan lagi, Syeikh al-Sa’di menyebut ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu secara ringkas rokok dan vape ini. Rokok ialah tembakau yang dibalut berbentuk silinder sama ada daripada kertas mahupun daripada pelbagai jenis daun berukuran antara 70 mm hingga 120 mm dengan diameter 10 mm (berlainan mengikut negara). Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada hujung yang lain.[1] Manakala vape pula didefinisikan sebagai untuk menyedut wap melalui mulut daripada peranti elektronik yang biasanya dikendalikan oleh bateri (seperti rokok elektronik) yang memanaskan dan mengewapkan cecair atau pepejal.[2]

Pada asasnya menghisap rokok elektronik atau vape termasuk dalam perbuatan yang haram sama seperti perbuatan merokok. Di antara ulama dan tokoh ilmuan yang mengharamkannya ialah Syeikh Ahmad Masyad, anggota Markaz Azhar Dunia, bagi fatwa elektronik menyebut hukum penggunaan vape membawa kemudaratan, bahkan dapatan kajian sebahagiannya menunjukkan lebih teruk daripada merokok. Justeru hukumnya adalah haram.[3] Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan daripada pakar.[4]

Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, yang telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Bahkan di sana terdapat beberapa alasan atau ‘illah yang telah dikemukakan, yang menunjukkan kepada pengharamannya seperti memudaratkan agama nyawa, akal, harta dan keturunan, mengandungi bahan-bahan beracun seperti nikotin cecair tulen, propylene glycol, vegetable glycerin dan alkohol, membawa kepada ketagihan dan mengkhayalkan, memudaratkan kesihatan orang sekeliling dan mencemarkan alam sekitar dan lain-lain alasan.

Sebenarnya kami telah membahaskan berkenaan pengharaman rokok dan vape ini secara panjang lebar dalam beberapa artikel kami, di dalam ruangan Ahkam Syar‘iyyah. Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut atau maklumat tambahan mengenainya, bolehlah membacanya sama ada melalui laman web kami, https://maktabahalbakri.com/ ataupun melalui aplikasi kami, al-Inarah.

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami ingin tegaskan bahawa sudah jelas kepada kita berkenaan keharaman rokok dan vape sebagaimana yang kami jelaskan di atas berdasarkan kepada kesepakatan ulama. Oleh itu, apa-apa perkara yang membawa kepadanya juga dihukumkan sebagai haram seperti mempromosikan produk melibatkan rokok dan vape. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain turut menyatakan:

مَا حَرُمَ أَخْذُهُ حَرُمَ إِعْطَأُوهُ

Maksud: “Sesuatu yang haram untuk mengambilnya, maka diharamkan juga untuk memberinya.”

Dalam erti kata lain, kaedah di atas menjelaskan bahawa apa sahaja perkara yang diharamkan untuk diambil, maka memberikannya kepada orang lain juga hukumnya adalah diharamkan. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan.

Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat seseorang Muslim dilarang dan haram ke atasnya untuk mempromosikan rokok dan vape sekalipun dia tidak merokok dan tidak menghisap vape. Ini kerana hal itu termasuk dalam perbuatan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan berdasarkan kepada dalil dan penghujahan yang kami telah kemukakan di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung: 

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Merokok#. Diakses pada 19 Julai 2024.

[2] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/vape. Diakses pada 30 Mac 2023.

[3] Lihat www.elbalad.news/5126415#:~:text=قال%20الدكتور%20مجدى%20عاشور،%20المستشار,شربها%20لآنها%20ليس%20بها%20ضرر. Diakses pada 30 Mac 2023.

[4] Lihat http://islamqa.info/en/201512 dan http://islamqa.info/ar/170999.

Leave a Reply