Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana syara‘ melihat sesetengah orang yang berani menipu dalam bersumpah, semata-mata untuk mengambil hak dan harta benda orang Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, Islam melarang kita dari memakan harta atau mengambil hak orang lain dengan cara yang tidak betul. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”

(Surah al-Baqarah: 188)

Ayat ini dikatakan turun ekoran berlakunya peristiwa sumpah yang berlaku di hadapan Rasulullah SAW ketika menghakimi status pemilikan tanah. Menurut Imam al-Baghawi dalam Ma‘alim al-Tanzil (1/210), ayat ini dikatakan turun pada Imru’ al-Qais bin ‘Ayish al-Kindi yang didakwa oleh Rabi‘ah bin ‘Abdan al-Hadhrami di hadapan Rasulullah SAW. Rabi‘ah berkata: “Wahai Rasulullah! Lelaki ini (Imru’ al-Qais) telah mengalahkanku atas pemilikan tanah yang dahulu milik bapaku.” Imru’ al-Qais berkata: “Itu adalah tanah milikku dan aku telah bercucuk tanam di sana, maka dia tidak ada hak ke atasnya.” Rasulullah SAW bertanya Rabi‘ah: “Adakah engkau memiliki bukti?” Lalu Rabi‘ah menjawab: “Tidak.” Rasulullah SAW berkata: “Maka engkau perlu bersumpah.” Rabi‘ah terus menjawab lagi: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang ini adalah seorang lelaki derhaka yang tidak mengambil peduli atas sesuatu yang disumpah ke atasnya, kerana dia tidak takut apa-apa.” Rasulullah SAW bertegas: “Engkau tidak memiliki sebarang hak ke atasnya (Imru’ al-Qais) melainkan dengan sumpah itu.” Tiba-tiba Imru’ al-Qais pun terus bersumpah.

Selepas Imru’ al-Qais berpaling pergi, Rasulullah SAW bersabda:

أَمَا لَئِنْ حَلَفَ عَلَى مَالِهِ لِيَأْكُلَهُ ظُلْمًا، لَيَلْقَيَنَّ اللَّهَ وَهُوَ عَنْهُ مُعْرِضٌ

Maksudnya: “Ketahuilah, jika dia (Imru’ al-Qais) bersumpah untuk mengambil harta (Rabi‘ah) dengan zalim, maka dia kelak akan bertemu Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya.”

Riwayat Muslim (223)

Apabila Rasulullah SAW meletakkan ancaman kemurkaan Allah SWT sebagai balasa terhadap sesiapa sahaja yang tipu dalam bersumpah untuk mengambil harta secara zalim, maka jelas difahami bahawa perbuatan tersebut adalah satu dosa. Allah SWT telah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah Ali ‘Imran: 77)

Menurut para ulama tafsir, terdapat beberapa hadith yang berkait rapat dengan penurunan ayat ini. Antaranya, hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ يَمِينَ صَبْرٍ؛ لِيَقْتَطِعَ بِهَا مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ: لَقِيَ اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَصْدِيقَ ذَلِكَ: {إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَـٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ} إِلَى آخِرِ الآيَةِ. قَالَ: فَدَخَلَ الأَشْعَثُ بْنُ قَيْسٍ وَقَالَ: مَا يُحَدِّثُكُمْ أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ؟ قُلْنَا: كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فِيَّ أُنْزِلَتْ. كَانَتْ لِي بِئْرٌ فِي أَرْضِ ابْنِ عَمٍّ لِي. قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَيِّنَتُكَ أَوْ يَمِينُهُ. فَقُلْتُ: إِذًا يَحْلِفَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ حَلَفَ عَلَى يَمِينِ صَبْرٍ يَقْتَطِعُ بِهَا مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ وَهُوَ فِيهَا فَاجِرٌ لَقِيَ اللَّهَ وَهْوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

Maksudnya: “‘Sesiapa yang bersumpah dengan sumpah sabr (iaitu sumpah yang dipegang erat untuk dilaksanakannya) untuk mengambil harta seorang muslim, nescaya dia akan bertemu Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya.’ Maka Allah menurunkan kebenaran hal itu dalam firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَـٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّـهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

(Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”) [Surah Ali-‘Imran: 77]

Dia (Ibn Mas‘ud) berkata lagi: Lalu al-Asy‘ath bin Qais masuk dan berkata: ‘Apa yang diceritakan Abu ‘Abd al-Rahman kepada kamu?’ Kami berkata: ‘Begini dan begini.’ Dia berkata: ‘Ayat ini diturunkan berkenaan dengan diriku, aku memiliki telaga (atau perigi) di tanah milik sepupuku. Maka Nabi SAW bersabda: (Hadirkan) buktimu atau sumpah (untuknya).’ Lalu aku berkata: ‘Jika demikian, dia harus bersumpah wahai Rasulullah.’ Maka Baginda bersabda: ‘Sesiapa yang bersumpah dengan sumpah sabr (sumpah yang memaksa orang yang bersumpah untuk berdusta di hadapan hakim atau seumpamanya) untuk mengambil harta seorang muslim, dan dia berdusta dalam sumpah ini, maka dia akan bertemu Allah, dalam keadaan Allah murka kepadanya’.”

Riwayat al-Bukhari (4549) dan Muslim (138)

Ibn Daqiq al-‘Aid menjelaskan, sabr ini bererti mengurung. Sumpah sabr ini adalah satu keadaan di mana si pelakunya itu sanggup untuk bersumpah dan mengurung dirinya di dalam satu perkara yang besar, iaitu sumpah palsu. Panggilan lain bagi sumpah seperti ini adalah sumpah al-ghamus. Menurut hadith ini, orang yang melakukan sumpah palsu dijanjikan dengan ancaman yang dahsyat; kerana perbuatannya itu bertujuan untuk mengambil harta orang lain dengan cara yang batil, zalim dan agresif. Sumpah ini juga ibarat meremehkan kesucian sumpah di atas nama Allah SWT. (Lihat Ihkam al-Ahkam fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 2/643)

Islam datang untuk membuang segala perkara yang buruk dan boleh mendatangkan keburukan kepada umat manusia. Oleh yang demikian, syara‘ memandang serius perbuatan orang yang sanggup bersumpah dengan nama Allah SWT, tetapi sumpah tersebut hanyalah sebuah dusta dengan tujuan untuk mengambil hak orang lain. Rasulullah SAW menyebutkan dengan jelas, orang tersebut tidak akan kembali di bangkitkan pada hari kiamat kelak melainkan dengan mendapat kemurkaan Allah SWT.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply