Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang wanita itu memakai pewarna kuku selain daripada inai seperti cutex? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman, ‘Qul – katakanlah’ iaitu wahai Muhammad kepada mereka kaum Musyrikin yang telah mengharamkan sesuatu berdasarkan pendapat mereka yang menyeleweng lagi bidaah. Begitu juga firman Allah SWT, ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya’ iaitu perhiasan tersebut adalah sesuatu yang telah dijadikan atau diciptakan oleh Allah SWT buat sesiapa yang beriman kepada-Nya atau para hamba-Nya di atas dunia ini, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari kiamat kelak, perhiasan tersebut adalah khusus buat mereka — yakni orang yang beriman — dan tidak ada seorang pun dalam kalangan orang kafir itu yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana syurga itu telah diharamkan buat orang kafir — yakni dari memasukinya. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15)

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada pada badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagimana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90)

Pewarna kuku dan pengilat kuku

Pewarna kuku tidak banyak bezanya dengan pengilat kuku, yakni kedua-duanya merupakan satu lakuer[1] yang boleh digunakan pada kuku tangan atau kuku kaki manusia untuk menghias dan melindungi plat kuku. Kedua-duanya hadir dalam pelbagai warna dan corak, lantas ia merupakan antara tarikan utama bagi proses manikur dan pedikur. Namun kedua-duanya berbeza dari sudut kegunaan, komposisi bahan dan kesan kilauan.[2]

Pewarna kuku diletakkan pada kuku dengan cara menambahkan warna dan perlindungan pada kuku, maka ia dapat menyelamatkan kuku daripada merekah atau memecah. Manakala pengilat kuku pula adalah dengan cara meletakkan satu lapisan tebal atas kuku, lalu ia berfungsi sebagai penambah seri dan juga perlindungan ke atas kuku. Dari sudut komposisi bahan pula, secara umumnya pewarna kuku terdiri daripada bahan warna akrilik, manakala pengilat kuku pula mengandungi bahan pewarna kuku dan juga bahan-bahan lain. Seterusnya, dari sudut kesan kilauan, pengilat kuku memberikan hasil yang lebih berseri dan berkilau berbanding pewarna kuku.[3]

Bukan itu sahaja, pengilat kuku juga terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya base coat, top coat, gel dan matte. Kesemua jenis ini turut berbeza dari segi cara penggunaan, bahan buatan dan juga rupa bentuk. Akan tetapi, secara umumnya, pengilat kuku gel dilihat agak berbeza berbanding pengilat kuku yang lain, oleh kerana sifatnya yang tahan lama, dihasilkan daripada methacrylate polymer dan perlu melalui proses sinaran cahaya ultraviolet. Ia juga agak sukar untuk dibuang atau dicuci berbanding pewarna dan pengilat kuku yang lain, sehinggakan ia memerlukan kepada sejenis produk pelarut iaitu acetone[4] untuk melunturkannya.

Hukum mewarnakan kuku

Hukum asal bagi seorang wanita untuk mewarnakan kukunya dengan inai adalah harus dan merupakan syiar bagi mereka sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ امْرَأَةً، مَدَّتْ يَدَهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ فَقَبَضَ يَدَهُ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَدَدْتُ يَدِي إِلَيْكَ بِكِتَابٍ فَلَمْ تَأْخُذْهُ؟ فَقَالَ: إِنِّي لَمْ أَدْرِ أَيَدُ امْرَأَةٍ هِيَ أَوْ رَجُلٍ. قَالَتْ: بَلْ يَدُ امْرَأَةٍ. قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ بِالْحِنَّاءِ.

Maksudnya:Seorang perempuan menghulurkan tangannya (dibalik tabir) kepada Nabi SAW dengan sebuah kitab (surat), lalu Baginda menahan tangannya (daripada mengambil surat tersebut). Maka perempuan itu bertanya: ‘Wahai Rasulullah, aku menghulurkan tanganku dengan sebuah surat, namun engkau tidak mengambilnya?’ Baginda bersabda: ‘Aku tidak tahu, adakah itu tangan seorang perempuan atau tangan lelaki.’ Perempuan itu berkata: ‘Bahkan ini tangan seorang perempuan.’ Baginda bersabda: ‘Sekiranya engkau seorang perempuan, sudah tentu engkau mewarnakan kuku engkau dengan inai.’

Riwayat al-Nasa’ie (5089)

Syeikh al-Sindi menyebutkan, yang dimaksudkan dengan lafaz “لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً” adalah sekiranya engkau memelihara syiar para wanita, sudah tentu engkau akan mewarnakan tangan engkau. Bahkan menurut Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, perkara tersebut dianjurkan kepada perempuan yang sudah berkahwin kerana ia merupakan perhiasan yang dituntut daripadanya untuk suaminya setiap waktu. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan al-Nasa’i, 8/142; Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, 1/472)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, hukum wanita memakai pewarna kuku atau seumpamanya adalah harus sebagaimana keumuman firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Lebih-lebih lagi mewarnakan kuku adalah sebahagian daripada kecantikan yang dikhususkan untuk kaum perempuan. Pada zaman dahulu mereka menggunakan inai, sedangkan pada zaman kini terdapat banyak produk atau bahan lain seumpamanya yang dapat digunakan bagi menggantikannya. Walau bagaimanapun, warna yang digunakan hendaklah tidaklah terlalu berlebih-lebihan sehingga menyerupai orang-orang kafir atau membawa kepada pembaziran atau sehingga boleh menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat).

Hal ini kerana berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Begitu juga, seorang wanita itu tidak harus mempamerkan kecantikannya selain daripada suami mereka dan mereka yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Al-Quran telah meletakkan batas-batas syariat tersebut, sebagaimana firman Allah SWT:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Syeikh al-Sa‘di mentafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 566)

Selain daripada itu, seorang wanita juga hendaklah mengelakkan diri daripada bertabarruj. Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Imam al-Syaukani ketika mentafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj adalah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) lelaki. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320)

Demikianlah juga, jika bahan pewarna atau pengilat yang digunakan tidak mesra air, maka wajib bagi mereka untuk menanggalkannya sebelum menyempurnakan wuduk atau mandi janabah bagi mendirikan solat atau seumpamanya. Hal ini kerana, setiap sesuatu yang menghalang air dari sampai ke anggota wuduk, tidak boleh digunakan ketika mengambil wuduk atau mandi wajib. Bahkan kuku termasuk dalam sebahagian anggota tangan wuduk yang wajib dibasuh ketika mengangkat hadas kecil dan hadas besar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/55)

Dalam industri kecantikan ini, memang tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa produk pewarna dan pengilat kuku yang tidak menyerap air, namun pada masa kini, sudah mula wujud beberapa produk yang boleh menyerap air malah terdapat juga produk pewarna kuku yang boleh ditanggalkan dengan mudah.

Seterusnya, dalam hal komposisi bahan yang terkandung dalam produk pewarna dan juga pengilat kuku, terdapat beberapa produk yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Antara bahan kimia berbahaya yang banyak ditemui dalam sebahagian produk ini ialah Triphenyl phosphate (TPHP).[5] Meskipun begitu, terdapat juga beberapa produk yang tidak mengandungi bahan kimia yang berbahaya ini ataupun yang lain.[6] Justeru, setiap perkara yang mendatangkan risiko kesihatan dan mudarat perlu dielakkan demi menjaga nyawa seseorang manusia. Hal ini bertepatan dengan larangan menerusi firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Tambahan lagi, agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat mewarnakan kuku dengan menggunakan bahan selain inai bagi seorang wanita adalah diharuskan selagi mana ia tidak memberikan mudarat dan bukan daripada bahan yang najis kerana ia termasuk dalam perhiasan yang disediakan untuk mereka. Begitu juga bahan yang digunakan hendaklah tidak menghalang air ketika berwuduk atau mandi wajib. Jika ia menghalang air, hendaklah ia terdiri daripada bahan yang mudah ditanggalkan dan dibersihkan, agar wuduk dan mandi wajib yang dilakukan oleh seseorang itu dapat disempurnakan.

Selain itu, pemakaiannya hendaklah tidak terlalu berlebihan atau melaumpaui batas sehingga boleh menimbulkan fitnah atau menarik perhatian orang lain terutamanya lelaki ajnabi kepadanya. Sebaiknya, gunalah produk-produk yang telah melalui proses tapisan dan kebenaran Kawalan Produk Kosmetik Malaysia agar ia selamat dan baik untuk digunakan.

Sebagai renungan bersama, khususnya buat para wanita di luar sana, kami akhiri dengan satu kata-kata daripada Sayyid Qutb dalam tafsirnya: “Perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

 

[1] Lakuer adalah sejenis varnis untuk menyaluti dan mengilatkan permukaan sesebuah benda.

[2] Lihat: https://en.wikipedia.org/wiki/Nail_polish, Diakses pada 22 Oktober 2021.

[3] Lihat: http://www.differencebetween.info/difference-between-nail-paint-and-nail-polish, Diakses pada 22 Oktober 2021.

[4] Aseton (nama sistematik: propan-2-on) ialah sebatian organik dengan formula (CH3)2CO. Sebatian ini merupakan cecair tanpa warna, meruap, mudah bakar, dan merupakan keton teringkas.

[5] Lihat: https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/26485058/, Diakses pada 25 Oktober 2021; https://www.ewg.org/research/nailed/nail-polish-chemical-doubles-furniture-fire-retardant, Diakses pada 25 Oktober 2021; https://www.chicagotribune.com/investigations/ct-nail-polish-toxic-chemical-20151023-story.html, Diakses pada 26 Oktober 2021; https://www.ewg.org/skindeep/ingredients/706709-TRIPHENYL_PHOSPHATE/, Diakses pada 26 Oktober 2021.

[6] Lihat: https://www.familyhealthdiary.co.nz/natural-alternatives-to-conventional-nail-polish/, Diakses pada 26 Oktober 2021.

Leave a Reply