Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, sekiranya tertinggal solat sunnat Dhuha adakah dibolehkan mengqadha’nya kembali. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :

 أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya: “Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat Muslim (721)

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa solat dhuha ini dituntut oleh Rasulullah SAW. Dua rakaat solat dhuha yang disebutkan di dalam hadith ini menjelaskan berkenaan bilangan rakaat paling ringkas bagi solat dhuha. Meskipun begitu, ia tidaklah terhad kepada dua rakaat sahaja, bahkan para fuqaha al-Syafi’iyyah menjelaskan bahawa bilangan rakaat paling afdhal bagi solat dhuha adalah sebanyak 8 rakaat manakala bilangan rakaat paling maksima adalah sebanyak 12 rakaat seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Imam al-Nawawi turut berkata: Sesungguhnya Nabi SAW melakukan solat dhuha ini pada sebahagian waktu dan baginda meninggalkannya pada sebahagian waktu yang lain, takut-takut orang ramai menyangka ia sebagai wajib atau takut-takut ia difardhukan ke atas mereka. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/37 )

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam mazhab Syafi‘i adalah disunatkan sesiapa yang terlepas dari mengerjakan solat sunat Dhuha menggantikan balik. Ini kerana Solat sunat Dhuha adalam termasuk dalam kategori solat sunat yang  dituntut.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pada asasnya solat sunat itu terbahagi kepada dua, iaitu:

  • Solat sunat yang tidak terikat dengan waktu, dan dilakukan sempena kejadian dan keadaan tertentu, seperti gerhana, meminta hujan dan tahiyyatul masjid. Solat sunat jenis ini tidak boleh diqadha jika tertinggal.
  • Solat sunat yang terikat dengan waktu, seperti solat sunat dua hari raya dan solat sunat rawatib, dan terdapat tiga pandangan bagi solat sunat jenis kedua ini. Pandangan yang paling tepat ialah sunat untuk qadha jika tertinggal.

Pandangan ini juga sepertimana pandangan yang dipegang oleh Muhammad bin al-Hasan dan Al-Muzani. Begitu juga ia menjadi pendapat yang dipegang oleh Imam Ahmad seperti yang diiqrarkan oleh Imam al-Mardawi dan Ibn Taimiyyah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/41; al-Insaf, 2/187; Majmu’ al-Fatawa, 23/127). Sebaliknya, menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Qadhi Abu Yusuf pula, solat sunat tidak boleh diqadha’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/43).

Mereka yang berpandangan bahawa sunat untuk qadha’ solat sunnat muakkad jika tertinggal adalah berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia menggantikannya setelah matahari terbit.”

Riwayat al-Tirmizi (423)

Jika dia tertinggal dua rakaat fajar, disunatkan untuk menggantikannya secara bersendirian atau bersama dengan solat Subuh jika terlewat, kerana Rasulullah SAW pernah menggantinya bersama dengan solat Subuh ketika Baginda keluar dari lembah. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib  ‘ala Targhib wa Tarhib, 4/143)

Justeru, berdasarkan hadith dan pandangan ulama, qadha’ solat sunat seperti Solat Dhuha dan solat-solat muakkad lain adalah disunatkan kerana ganjaran pahalanya yang besar. Namun, jika tidak menggantikannya, ia tidak dianggap berdosa. Oleh itu, adalah baik untuk menggantikannya semula, dan yang terbaik adalah melakukannya pada waktunya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam

Leave a Reply