Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah golongan jin, iblis dan para malaikat mempunyai akal fikiran?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Jin, syaitan dan juga malaikat merupakan makhluk Allah SWT yang diciptakan dengan disertakan kepada mereka tanggungjawab atau taklif. Oleh yang demikian, kita dapat melihat dalam beberapa ayat, Allah SWT menyebutkan tentang mereka dengan disertai perintah untuk beribadah kepada-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Dalam ayat yang lain pula, Allah SWT menyifatkan malaikat sebagai hamba-hamba-Nya yang mentaati perintah:

وَقَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَلَدًۭا ۗ سُبْحَـٰنَهُۥ ۚ بَلْ عِبَادٌۭ مُّكْرَمُونَ (٢٦) لَا يَسْبِقُونَهُۥ بِٱلْقَوْلِ وَهُم بِأَمْرِهِۦ يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan mereka (yang musyrik) berkata: ‘(Allah) al-Rahman mempunyai anak.’ Maha Suci Allah, bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hamba-Nya yang dimuliakan. (26) Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya. (27)”

(Surah al-Anbiya’: 26-27)

Imam Ibn Kathir berkata dalam menafsirkan firman-Nya: “Hamba-hamba-Nya yang dimuliakan,” malaikat itulah hamba Allah SWT yang mulia di sisi-Nya. Mereka berada pada posisi yang tinggi dan kedudukan yang mulia, dan mereka taat kepada Allah SWT sama ada dari segi percakapan atau perbuatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/296)

Melihat kepada nas-nas syara‘ ini, jelas membuktikan bahawa golongan jin, syaitan dan malaikat juga termasuk dalam kalangan mukallaf untuk menuruti apa jua perintah yang diberikan oleh Allah SWT. Signifikannya kami bahaskan terlebih dahulu isu taklif ini, ia amat berkait rapat dengan ciri-ciri mukallaf yang telah digariskan oleh para ulama Usul al-Fiqh. Imam Abu al-Hasan ‘Ali al-Amidi menukilkan persepakatan ahli ilmu, antara syarat mukallaf adalah berakal dan dapat memahami taklif yang diberikan; kerana memberikan sebarang taklifan serta perintah kepada mereka yang tidak mempunyai akal dan tidak mampu memahaminya adalah perkara yang mustahil, seperti bangunan-bangunan atau binatang. (Lihat al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, 1/150)

Apabila jin, syaitan dan para malaikat termasuk dalam kategori mukallaf yang diperintahkan untuk mematuhi segala arahan dan meninggalkan segala larangan, maka mereka juga pasti mempunyai akal untuk berfikir dan membezakan antara yang baik dan buruk. Sekiranya tidak, bagaimana mungkin jin dan syaitan yang berbuat kufur terhadap Allah ‘Azza wa Jalla boleh dihukum atas dosa yang mereka lakukan, dan malaikat pula mendapat puji-pujian atas ketaatan. Akan tetapi, bagaimanakah sifat akal yang Allah SWT kurniakan kepada mereka itu, hanya Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Kuasa dalam menciptakannya.

Kesimpulan

Menurut kefahaman dan pembacaan kami yang terhad, kesemua makhluk Allah SWT yang diberikan taklifan untuk mengerjakan sesuatu atau meninggalkannya, mereka ini terdiri dari kalangan mereka yang disifatkan sebagai makhluk berakal, termasuklah golongan jin, syaitan, dan malaikat.

Dalam pada itu, kami juga mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan kepada kaum Muslimin sekalian agar tidak terlalu melampau dalam memikirkan perkara-perkara ghaib seperti ini; kerana dikhuatiri ia kelak menjadi salah satu asbab kemelesetan faham. Sebaliknya, berpadalah kita dengan apa yang dibawakan oleh syari‘at Islam kepada kita, dan selain dari itu.  Allah SWT berfirman:

قُل لَّا أَقُولُ لَكُمْ عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ ۚ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku.’ Bertanyalah (kepada mereka): ‘Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?’”

(Surah al-An‘am: 50)

Begitu juga dalam firman-Nya:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Katakanlah lagi: ‘Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!’”

(Surah al-Naml: 65)

Semoga kita semua diberikan kefahaman yang baik terhadap hukum-hakam Islam, seterusnya dapat beramal dengannya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply