Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah memakai moisturizer ataupun sunscreen/sunblock semasa dalam tempoh haji? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.”

 (Surah ali-Imran: 97)

Imam Ibn Kathir  berkata: “Adapun الاسْتِطَاعَةُ (kemampuan) adalah kemampuan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/364)

Secara umumnya, pemakaian moisturizer adalah untuk melembapkan dan melembutkan kulit agar ia kelihatan sihat. Pelembap juga boleh membantu mengekalkan penghalang kulit, yang seterusnya membantu kulit mengekalkan kelembapan. Manakala sunscreen/sunblock pula ringkasnya bertujuan untuk melindungi kulit dari sinar UV.

Pemakaian moisturizer ataupun sunscreen/sunblock adalah termasuk dalam perkara pakaian dan perhiasan. Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan sama ada di badan, pakaian atau tempat, dan hukumnya berlanjutan sedemikian (yakni halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90). Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, ia juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Sehubungan dengan itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa pemakaian moisturizer ataupun sunscreen/sunblock  bagi seseorang dalam ihram adalah diharuskan selagi mana tiada dalil yang menunjukkan sebaliknya. Begitu juga penggunaannya itu, tujuannya adalah lebih kepada penjagaan kulit, dan bukanlah untuk berwangi-wangian kerana memakai wangi-wangian termasuk dalam larangan ihram.

Bahkan, jika pemakaian moisturizer ataupun sunscreen/sunblock itu menjadi suatu keperluan bagi mengelakkan kulit merekah dan hal-hal seumpamanya, maka penggunaannya adalah tetap diharuskan sekalipun ia mempunyai sedikit bau wangi kerana tujuan utamanya bukanlah untuk berwangi-wangian tetapi kerana keperluan tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

 

Leave a Reply