Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kalau org tua dah uzur sebab tua, dia masa muda dulu ada tertinggal puasa, sekarang dia nak puasa qadha tetapi tidak larat sudah. Bagaimana cara nak ganti puasa dia. Adakah boleh ganti dengan bayar fidyah sahaja atau bolehkah anaknya ganti puasa bagi pihak dia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;

(Surah al-Baqarah: 184)

Begitu juga, firman Allah SWT:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut: Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni, 14/212)

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, kami membahagikan jawapan kepada dua situasi:

  1. jika sekiranya si ayah mertua masih hidup, maka hendaklah difidyahkan. Iaitu secupak bagi setiap hari yang ditinggalkan, dan tidak perlu qadha’ kerana uzur serta terlalu tua, yang tidak mungkin dan mampu untuk berpuasa.
  2. Jika sekiranya sudah meninggal dunia, maka berhak kepada wali atau kaum kerabat untuk berpuasa ganti bagi baki hari yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan. Hal in berdasarkan nas hadith:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat al-Bukhari (1952)

Perkataan wali di sini ditafsirkan oleh ulama fiqh adalah aqriba’ atau kaum keluarga dan sanak saudara. Inilah pendapat yang mukhtar dan terpilih dalam mazhab Syafi’i mengikut Imam al-Nawawi walaupun yang masyhur dengan dibayar fidyah.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply