Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seorang wanita itu, memaparkan mukanya ketika bermesyuarat di atas talian yang dihadiri oleh ahli-ahli mesyuarat, lelaki dan perempuan? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menutup aurat adalah wajib, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Bahkan agama Islam sangat menekankan kepada penganutnya agar menjaga batas-batas yang telah ditetapkan. Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan, batas aurat bagi seorang perempuan yang merdeka semasa dalam solat, mahupun luar solat (iaitu dengan lelaki ajnabi) adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua telapak tangan sama ada bahagian luar atau bahagian dalam sehingga pergelangan kedua-duanya. Kemudian, beliau menukilkan kenyataan daripada Ibn Abbas R.Anhuma dan selainnya yang mengatakan bahawa:

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya:Apa yang zahir daripadanya (perempuan itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat kepada kedua-duanya kerana biasanya  kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Selain itu, al-Kasani ada menyebutkan bahawa muka dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat. Ia adalah kelonggaran yang diberikan oleh Allah SWT berdasarkan kepada firman-Nya dalam surah al-Nur ayat 31. Selain itu juga, diharuskan bagi mereka mendedahkan muka dan kedua telapak tangannya kerana mereka berhajat kepada jual beli, mengambil dan memberi. Oleh itu, secara adatnya, semua perkara itu tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan mendedahkan muka dan juga kedua telapak tangan. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/121-122)

Di samping itu, al-Dardir turut menyatakan bahawa aurat wanita dengan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat sekalipun diwajibkan ke atas perempuan berkenaan untuk menutup kedua-duanya kerana dikhuatiri timbulnya fitnah. Al-Sawi mengulas kenyataan tersebut dengan menyebutkan bahawa diharuskan untuk melihat kedua-duanya (muka dan telapak tangan) serta tidak ada beza antara melihat bahagian luar atau bahagian dalam, selagi mana bukan dengan tujuan untuk bersedap-sedap — yakni bersyahwat. Sekiranya tidak, maka haram untuk melihatnya. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/289)

Justeru, jelaslah bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya selagi mana tidak menimbulkan fitnah. Oleh yang demikian, diharuskan bagi seorang wanita mendedahkan mukanya ketika bermesyuarat atas talian selagi mana perkara tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah dan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita Muslimah. Hal ini kerana muka wanita bukanlah aurat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulama. Malah, Ibn Qudamah secara jelas menyebutkan bahawa tiada perselisihan antara para ulama mengenai keharusan melihat wajah wanita kerana ia bukanlah aurat. (Lihat al-Mughni, 7/97)

Begitu juga, Abu Said al-Khadimi menyatakan bahawa seorang lelaki tidak dibenarkan bercakap dengan seorang wanita ajnabiyyah tanpa sebarang keperluan kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah. Akan tetapi sekiranya ada keperluan seperti penyaksian, jual beli atau berdakwah, maka ia diharuskan — yakni dibenarkan. (Lihat Bariqah Mahmudiyah, 4/7)

Malah, Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa dibolehkan bagi seorang lelaki memberi salam kepada wanita atau sebaliknya, dengan syarat selamat daripada timbulnya fitnah — yakni tohmahan, syak wasangka dan seumpamanya. (Lihat Fath al-Bari, 11/33)

Justeru, hukum yang sama terpakai bagi isu ini yakni memaparkan muka dalam mesyuarat atas talian serta melibatkan interaksi sesama ahli-ahli mesyuarat yang terdiri dalam kalangan lelaki dan perempuan, selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, dengan mengambil kira keadaan realiti dan waqi‘ negara Malaysia, kami berpendapat diharuskan bagi seorang wanita itu memaparkan mukanya ketika bermesyuarat atas talian (meeting online) dengan syarat menutup aurat. Begitu juga, ia adalah selagi mana perkara tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah dan menjatuhkan maruah serta adab-adabnya sebagai seorang wanita Muslimah.

Keharusan ini juga adalah selepas mengambil kira, kebiasaannya dengan memaparkan muka ketika bermesyuarat atas talian adalah lebih memudahkan dan melicinkan perjalanan mesyuarat tersebut. Hal ini kerana dengan melihat dan mendengar, adalah lebih memudahkan proses perbincangan berlangsung berbanding hanya dengan mendengar sahaja semata-mata. Walau bagaimanapun, kami juga ingin mengesyorkan jika dapat dielakkan daripada memaparkan muka ketika bermesyuarat atas talian adalah lebih baik kerana ia lebih selamat (ahwat) dan jauh daripada fitnah.

Kami akhiri dengan satu kata-kata daripada ulama terdahulu:

مَنْ حَفِظَ بَصَرَهُ نَوَّرَ اللهُ بَصِيرَتَهَ وَقَلْبَهُ

Maksudnya:Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari — yakni memberi petunjuk — pada pandangannya dan juga hatinya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2343)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

Leave a Reply