Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum berpuasa setiap hari kecuali pada hari yang dilarang?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Puasa sepanjang tahun atau juga disebutkan sebagai siyam al-dahr (صِيَامُ الدَّهْرِ) ini adalah puasa yang dilakukan pada setiap hari kecuali pada hari yang tidak sah padanya hukum berpuasa, iaitu dua hari Raya Aidilfitri, Raya Aidil Adha, dan hari-hari Tasyriq. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/388)

Puasa yang dimaksudkan di sini bukanlah seperti puasa wisal, yakni tidak berbuka pada malam hari dan meneruskan berpuasa untuk keesokan harinya. Puasa sepanjang tahun ini, apabila seseorang itu berpuasa pada setiap hari kecuali hari-hari yang dilarang, dia tetap berbuka pada malam harinya, kemudian diteruskan pula dengan berpuasa pada keesokan harinya.

Hukum berpuasa sepanjang tahun ini diperselisihi hukumnya di sisi fuqaha’, dan mereka terbahagi kepada dua kelompok utama:

Pertama: Pandangan yang Melarang Puasa Sepanjang Tahun

Mereka yang melarang ini, boleh jadi larangan tersebut dengan maksud makruh seperti yang disebutkan oleh Mazhab al-Hanafi, dan ia juga pendapat yang dipilih Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan pihak al-Lajnah al-Da’imah (23/221).

Ia dihukumkan makruh kerana boleh menyebabkan seseorang itu lemah dan menjadi tabiat baginya, sedangkan bentuk ibadah itu berbeza dengan adat kebiasaan. Perbuatan ini juga menyusahkan pada hakikatnya. (Lihat al-Dur al-Manthur, 2/84; Fath al-Qadir, 2/350; al-Mughni, 3/53)

Dan boleh jadi juga, larangan ini dengan maksud haram, seperti yang dipegang oleh Imam Ibn Hazm al-Zahiri. (Lihat al-Muhalla, 4/41)

Mereka yang melarang ini berhujah dengan beberapa dalil syara‘, antaranya:

Disebutkan dalam hadith Abdullah bin ‘Amru R.A, ‘Ata’ (salah seorang perawi dalam rantaian sanad hadith ini) ada menyebutkan:

لاَ أَدْرِي كَيْفَ ذَكَرَ صِيَامَ الأَبَدِ – قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ صَامَ مَنْ صَامَ الأَبَدَ. مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: “Aku tidak tahu bagaimana Baginda menyebut: ‘Puasa seumur hidup.’ (Cuma aku ingat) Baginda bersabda: ‘Tidak ada puasa bagi seorang yang berpuasa selama-lamanya,’ Baginda mengatakan sebanyak dua kali.”

Riwayat al-Bukhari (1977) dan Muslim (1159)

Diriwayatkan pula dalam hadith Anas bin Malik R.A:

جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا: وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ. قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا. فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ، إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Tiga orang datang ke rumah para isteri Nabi SAW, bertanya mengenai ibadah Nabi SAW. Apabila diberitahu, maka seakan-akan mereka menganggap ibadah Nabi sedikit. Oleh itu mereka berkata: ‘Apakah kedudukan kita dibandingkan dengan Rasulullah SAW? Sesungguhnya telah diampunkan buatnya dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.’ Salah seorang daripada mereka berkata: ‘Adapun aku, sesungguhnya aku akan menunaikan solat malam buat selama-lamanya dan tidak tidur.’ Manakala yang lain pula berkata: ‘Aku akan berpuasa setahun penuh dan tidak akan berbuka.’ Dan yang seorang lagi berkata: ‘Aku akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin buat selama-lamanya.’ Setelah itu, Rasulullah SAW datang, lalu bersabda: ‘Kamu yang telah mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut daripada kalangan kamu kepada Allah, dan juga orang yang paling bertaqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan meninggalkan puasa, aku juga mendirikan solat malam dan tidur, dan aku juga menikahi wanita. Oleh itu, sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, maka dia bukan daripada kalanganku’.”

Riwayat al-Bukhari (5063) dan Muslim (1401)

Apabila Rasulullah SAW sendiri menyebutkan bahawa berpuasa dan berbuka (tidak berpuasa) itu adalah sebahagian dari sunnahnya, maka sesiapa yang sengaja untuk berpuasa sepanjang tahun ini telah pun menyelisihi sunnah Baginda SAW.

Saidina ‘Umar bin al-Khattab R.A juga pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ، كَيْفَ بِمَنْ يَصُومُ الدَّهْرَ كُلَّهُ؟ قَالَ: لَا صَامَ وَلَا أَفْطَرَ

Maksudnya: “‘Wahai Rasulullah, bagaimana dengan orang yang puasa setiap hari sepanjang tahun?’ Baginda SAW menjawab: ‘Dia tidak berpuasa dan dia tidak juga dikira berbuka puasa’.”

Riwayat Muslim (1162)

Rasulullah SAW juga pernah berkata kepada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.A:

يَا عَبْدَ اللَّهِ، أَلَمْ أُخْبَرْ أَنَّكَ تَصُومُ النَّهَارَ، وَتَقُومُ اللَّيْلَ؟ فَقُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: فَلاَ تَفْعَلْ، صُمْ وَأَفْطِرْ، وَقُمْ وَنَمْ، فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَإِنَّ بِحَسْبِكَ أَنْ تَصُومَ كُلَّ شَهْرٍ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ، فَإِنَّ لَكَ بِكُلِّ حَسَنَةٍ عَشْرَ أَمْثَالِهَا، فَإِنَّ ذَلِكَ صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ. فَشَدَّدْتُ، فَشُدِّدَ عَلَيَّ. قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أَجِدُ قُوَّةً، قَالَ: فَصُمْ صِيَامَ نَبِيِّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ وَلاَ تَزِدْ عَلَيْهِ. قُلْتُ: وَمَا كَانَ صِيَامُ نَبِيِّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ؟ قَالَ: نِصْفَ الدَّهْرِ. قَالَ: فَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يَقُولُ بَعْدَ مَا كَبِرَ: يَا لَيْتَنِي قَبِلْتُ رُخْصَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “‘Wahai Abdullah! Benarkah berita yang sampai kepadaku bahawa engkau berpuasa pada siang hari dan solat pada malam hari?’ Aku berkata: ‘Benar, wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Jangan kamu lakukan itu, berpuasalah dan berbukalah (pada sebahagian hari yang lain), solat dan tidurlah  kerana sesungguhnya tubuh badanmu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua matamu mempunyai hak ke atas kamu, isterimu mempunyai hak ke atas kamu, dan orang yang mengunjungimu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagimu berpuasa selama tiga hari setiap bulan, dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu lakukan yang demikian, ia (pahalanya) adalah sama seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (Abdullah berkata): ‘Aku telah mengambil pilihan yang berat, maka aku telah terbeban.’  Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku mampu untuk melakukannya (puasa sepanjang tahun dan solat sepanjang malam).’ Baginda bersabda: ‘Maka berpuasalah seperti puasa Nabi Allah, Daud A.S dan jangan lebih daripada itu.’ Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Bagaimanakah puasa Nabi Allah, Daud A.S?’ Baginda menjawab: ‘Berpuasa setengah tahun (iaitu puasa selang sehari).’ Abu Salamah berkata: Abdullah berkata setelah usianya lanjut: ‘Alangkah baiknya jika aku menerima keringanan daripada Nabi SAW’.”

Riwayat al-Bukhari (1975) dan Muslim (1159)

Kemudian, datang beberapa kritikan dari kelompok yang tidak bersetuju dengan hujah larangan ini, dan mereka bawakan sudut pandang mereka dalam noktah-noktah berikut:

  • Apa yang dimaksudkan dalam hadith Anas bin Malik R.A yang menceritakan tentang 3 orang bertemu Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, puasa yang mereka maksudkan itu adalah termasuk sekali puasa pada dua hari raya dan juga hari-hari Tasyriq. Perkara ini sememangnya haram menurut persepakatan fuqaha’.
  • Manakala dalam hadith Abdullah bin ‘Amru R.A, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada puasa bagi seorang yang berpuasa selama-lamanya,” ini boleh ditakwilkan dengan makna: “Orang yang berpuasa selamanya itu tidak merasai kesusahan yang dirasai orang lain, kerana dia sudah terbiasa berpuasa dan merasakan senang.” Dalam erti kata lain, orang itu tidak mendapati sebarang kesusahan yang besar untuk berpuasa, bahkan dia mendapat ganjaran atas puasa tersebut.
  • Hadith Abdullah bin ‘Amru ini juga berkemungkinan hanya khusus bagi mereka yang mungkin akan ditimpa kemudaratan apabila berpuasa sepanjang tahun. Kalam beliau pada riwayat yang lain menyokong hujah ini, ketika mana Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman berkata dalam riwayat al-Bukhari (1975):

فَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يَقُولُ بَعْدَ مَا كَبِرَ: يَا لَيْتَنِي قَبِلْتُ رُخْصَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Abdullah berkata setelah usianya lanjut: ‘Alangkah baiknya jika aku menerima keringanan daripada Nabi SAW’.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/443; Fath al-Bari, 4/222-224; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/28)

Kedua: Pandangan yang Mengharuskan Puasa Sepanjang Tahun

Ini merupakan pandangan fuqaha’ al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah, dan al-Hanabilah. Fuqaha’ al-Malikiyyah dan al-Syafi‘iyyah secara jelas menggunakan lafaz istihbab (الاِسْتِحْبَابُ), manakala al-Hanabilah di dalam penulisan mereka menyatakan keharusan dengan lafaz jawaz (الجَوَازُ).

Keharusan ini tidak datang secara mutlak, sebaliknya ia diikat dengan syarat tertentu, iaitu puasa tersebut tidak mengakibatkan seseorang itu tidak mampu untuk menyempurnakan hak-hak serta kewajipannya, atau tidak juga menyebabkan seseorang itu mendapat mudarat. Sekiranya ia boleh membawa kepada perkara-perkara ini, maka hukumnya adalah makruh di sisi fuqaha’ al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah, manakala fuqaha’ al-Malikiyyah tetap mengharuskannya secara mutlak.

Imam al-Nawawi berkata: “Puasa sepanjang tahun ini – kecuali pada hari raya dan hari Tasyriq – hukumnya makruh bagi sesiapa yang khuatir akan ditimpa mudarat atau tidak dapat menyempurnakan haknya. Dan hukumnya harus bagi selainnya (orang yang tidak ditimpa mudarat dan dapat sempurnakan hak diri).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/459)

Imam Mansur al-Buhuti pula mengatakan, harus untuk puasa sepanjang tahun dan tidak makruh hukumnya; sekiranya ia tidak menyebabkan seseorang itu meninggalkan haknya, dan tidak juga menyebabkan dirinya ditimpa mudarat, serta dia tidak berpuasa pada dua hari raya dan hari-hari Tasyriq. Jika dia puasa pada 5 hari tersebut, maka hukumnya haram. (Lihat Kasyaf al-Qina‘, 2/342)

Imam Syamsuddin al-Hattab dari kalangan al-Malikiyyah pula berkata, puasa sepanjang tahun ini hukumnya harus. Bahkan dinukilkan daripada Imam Malik, puasa begini lebih afdhal jika ia tidak menyebabkan seseorang itu lemah dari melakukan sebarang amal kebaikan. (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/443)

Mereka yang mengharuskan ini berhujah dengan beberapa dalil, antaranya:

Umum ayat-ayat al-Quran dan nas-nas hadith tentang kebaikan melakukan ibadah dan amal kebaikan, seperti firman-Nya:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya.”

(Surah al-An‘am: 160)

Dalam sebuah hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh (perjalanan) tujuh puluh tahun.”

Riwayat al-Bukhari (2840) dan Muslim (1153)

Kemudian, mereka yang membenarkan ini berhujah pula dengan hadith Abu Musa al-Asy‘ari R.A:

مَنْ صَامَ الدَّهْرَ ضُيِّقَتْ عَلَيْهِ جَهَنَّمُ هَكَذَا، وَقَبَضَ كَفَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa sepanjang tahun, maka neraka Jahannam akan disempitkan darinya begini – Baginda pun menggenggam tangannya –.”

Riwayat Ahmad (19713)

Imam al-Nawawi juga ada berhujah dengan hadith ini, kemudian beliau berkata: “Maksud disempitkan itu, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/442)

Diriwayatkan juga daripada Ummul mukminin ‘Aisyah R.Anha bahawa Hamzah bin ‘Amru al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ini seorang lelaki yang suka berpuasa, adakah aku boleh berpuasa semasa bermusafir?” Baginda SAW menjawab:

صُمْ إِنْ شِئْتَ، وَأَفْطِرْ إِنْ شِئْتَ

Maksudnya: “Jika engkau mahu, berpuasalah, dan jika engkau mahu, engkau boleh berbuka (tidak berpuasa).”

Riwayat al-Bukhari (1943) dan Muslim (1121)

Istidlal ini dikritik oleh mereka yang melarang puasa ini; kerana sebab-sebab berikut:

  • Ayat 160 dari Surah al-An‘am dan hadith Abu Sa‘id al-Khudri: kedua-dua dalil ini bersifat umum yang meliputi semua jenis puasa, sedangkan telah datang dalil-dalil lain yang khusus untuk puasa sepanjang tahun.
  • Riwayat hadith Abu Musa al-Asy‘ari secara marfu‘[1] adalah dha‘if, sebaliknya riwayat ini hanya sahih secara mauquf[2] Ini sebagaimana yang ditahqiq oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dan para pentahqiq lain. (Lihat Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, 32/484)
  • Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, soalan yang diajukan oleh Hamzah bin ‘Amru al-Aslami kepada Rasulullah SAW itu tentang puasa semasa bermusafir, bukan tentang puasa sepanjang tahun. Tidak semestinya suka berpuasa itu merujuk kepada puasa sepanjang tahun. Usamah bin Zaid R.A juga pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sangat suka untuk berpuasa seakan-akan tidak akan ada hari yang Baginda tidak berpuasa, sedangkan memang telah diketahui bahawa Baginda tidaklah berpuasa sehingga sepanjang tahun. (Lihat Fath al-Bari, 4/223)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada hujah dan kaedah istidlal yang dibawakan oleh kedua-dua pandangan ini, kami dapat simpulkan bahawa fuqaha’ empat mazhab yang muktabar tetap bersepakat pada satu perkara; iaitu puasa sepanjang tahun ini dibenarkan, selama mana ia tidak mendatangkan apa jua bentuk keburukan kepada individu tersebut, dan dia tidak berpuasa pada 2 hari raya dan hari-hari Tasyriq. Walaupun begitu, sebaik-baiknya, ikutlah cara Rasulullah SAW. Jika amat mampu, puasalah sehari dan berbukalah sehari sebagaimana Nabi Daud AS.

Sekiranya ia boleh mendatangkan mudarat, maka hukumnya adalah haram kerana Islam tidak membenarkan kita melakukan sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan tanpa sebarang sebab yang munasabah. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”

Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333)

Semoga penerangan ini dapat membungkam kekeliruan kita tentang hukum puasa al-dahr ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Marfu‘ bermaksud menyandarkan riwayat tersebut kepada Rasulullah SAW.

[2] Mauquf adalah riwayat yang disandarkan kepada sahabat Rasulullah SAW.

Leave a Reply