Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan labi-labi? Ini kerana di sebahagian tempat, daging labi-labi dijadikan sebagai hidangan, bahkan dikatakan juga sangat berkhasiat dan bagus untuk kesihatan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Labi-labi

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan pengenalan ringkas mengenai labi-labi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, labi-labi ialah sejenis kura-kura, dedari, Trionyx cartilagineus.[1] Labi-labi atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai Softshell turtle merupakan sejenis haiwan seperti kura-kura dalam keluarga Trionychidae. Ahli dalam keluarga ini terdapat di Afrika, Asia, Amerika Utara, dan Asia Tenggara.[2]

(Sumber gambar di atas: https://cdn.britannica.com/59/99059-050-BB601706/species-softshell-turtles-Asia-spiny-turtle-North.jpg)

Secara ringkasnya, labi-labi, (famili Trionychidae), mana-mana daripada kira-kira 30 spesies penyu yang dicirikan oleh cengkerang yang pipih. Cengkerang mereka tidak mempunyai skut epidermal (sisik besar) yang biasa ditemui pada kebanyakan penyu, seperti penyu belimbing (Dermochelys coriacea), dan seni bina tulang cengkerang mereka dikurangkan.

Labi-labi mempunyai leher yang panjang dan kepala aerodinamik dengan muncung yang memanjang seperti proboscis, di mana lubang hidung terletak di hujungnya. Mereka sering tersembunyi di dalam lumpur, pasir, dan air cetek. Dengan memanjangkan kepala dan leher supaya muncung melayang di sepanjang permukaan, mereka boleh bernafas dengan cara seperti snorkel. Semua labi-labi adalah karnivor (pemakan daging). Mereka aktif mencari mangsa dan mengejarnya atau menyerang dengan menunggu. Bentuk rata/pipih mungkin kelihatan pelik untuk haiwan yang aktif, tetapi ia kelihatan sangat cekap dari sudut pandangan hidrodinamik. Didorong oleh empat kaki mereka — kedua-dua kaki hadapan dan kaki belakang berselaput yang kuat — labi-labi adalah perenang pantas.

14 genera labi-labi dibahagikan kepada dua kumpulan evolusi: subfamili Cyclanorbinae di selatan Asia, timur laut Afrika, dan sub-Sahara Afrika; dan subfamili Trionychinae di tenggara Amerika Utara, selatan Asia, dan Afrika. Labi-labi Cyclanorbine terdiri daripada dua genus Afrika (Cyclanorbis dan Cycloderma) dan satu genus (Lissemys) labi-labi India (Indian flapshell turtle) dan labi-labi Burma (Burmese flapshell turtle).

Labi-labi Trionychine lebih pelbagai dari segi biologi. Tiga spesies labi-labi Amerika Utara (Apalone) bersaiz sederhana, dan jantan dewasa membesar kira-kira dua pertiga saiz betina. Panjang cengkerang betina dewasa adalah antara 17 cm (7 inci) dalam A. mutica dan A. spinifera hingga 63 cm (25 inci) dalam A. ferox. Labi-labi Trionychine yang terbesar ialah labi-labi bermulut sempit (narrow-headed softshellChitra indica) dan labi-labi gergasi Asia (Asian giant softshellPelochelys bibroni) di Asia Tenggara; Cengkerang kedua-dua spesies mencapai panjang melebihi 1 meter (3.3 kaki).

Gambar di atas: Labi-labi Burma (Burmese flapshell turtle). (Sumber gambar: https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/1/17/Lissemys_scutata_2.jpg/1200px-Lissemys_scutata_2.jpg).

Labi-labi mungkin bertelur sekurang-kurangnya 2 telur, seperti pada labi-labi betina muda genus Lissemys, atau lebih daripada 100 telur, seperti dalam Trionyx triunguis berbadan besar. Tempoh perkembangan embrio berbeza-beza, antara 30 hari hingga hampir 300 hari, bergantung kepada spesies dan persekitaran di dalam sarang. Dengan menggunakan kaki belakangnya, labi-labi menggali sarang di tanah yang rapuh biasanya di kawasan berhampiran air.[3]

Selain itu, labi-labi boleh berada di luar air selama 6 hingga 8 jam sehari tanpa sebarang kesan buruk. Secara umumnya, penyu (labi-labi) boleh keluar dari air selama satu jam untuk setiap empat inci (10 cm) panjang cengkerang. Ini bermakna penyu kecil dengan panjang cengkerang empat inci (10 cm) secara teorinya boleh keluar dari air sehingga empat jam. Walau bagaimanapun, ini hanyalah garis panduan umum, dan di sana terdapat banyak lagi faktor lain yang mesti dipertimbangkan. Banyak faktor mesti dipertimbangkan semasa menentukan berapa lama labi-labi boleh keluar dari air. Jenis penyu, saiz penyu, suhu persekitaran, umur, dan kelembapan; semuanya memainkan peranan dalam menentukan berapa lama penyu boleh bertahan di luar air.

Begitu juga spesies labi-labi yang berbeza boleh kekal terendam untuk tempoh masa yang berbeza. Ada yang boleh berada di dalam air selama beberapa jam, manakala yang lain mesti muncul lebih kerap. Satu faktor yang mempengaruhi berapa lama labi-labi boleh kekal tenggelam di dalam air ialah suhu air. Air yang lebih sejuk akan menyebabkan ia lebih kerap muncul untuk memanaskan badan. Selain itu, jika penyu aktif semasa di dalam air, ia mesti muncul lebih kerap untuk bernafas. Faktor lain yang mempengaruhi berapa lama labi-labi boleh kekal tenggelam ialah saiz paru-parunya. Paru-paru yang lebih besar boleh menampung lebih banyak oksigen, membolehkan ia berada di dalam air lebih lama. Meskipun begitu, secara umumnya, kebanyakan labi-labi boleh kekal terendam selama 30 minit hingga beberapa jam.[4]

Memakan labi-labi

Sebagaimana yang kita ketahui, labi-labi tergolong dalam jenis/spesies kura-kura atau penyu. Para ulama berbeza pendapat berkenaan kehalalan daging labi-labi kepada sekurang-kurangnya dua pendapat.

Pendapat pertama, labi-labi haram dimakan. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (5/130) bahawa haram menurut mazhab al-Syafi‘i haiwan dua alam iaitu haiwan yang boleh hidup secara berterusan di darat dan di laut jika tidak mempunyai haiwan bandingannya di darat yang boleh dimakan. Mereka telah memberi contoh seperti katak, ketam, ular, nasnas, buaya, dan penyu. Pengharaman jenis dua alam ini adalah berdasarkan apa yang telah disebut oleh al-Rafi‘i dan al-Nawawi dalam al-Raudhah dan sebagaimana hukum asalnya, dan pendapat ini dipegang oleh al-Ramli.

Ini jelas disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini  dan al-Ramli bahawa penyu diharamkan untuk dimakan kerana ia dianggap jijik dan kotor. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/146; Nihayah al-Muhtaj, 8/152). Begitu juga Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari turut menyebutkan bahawa penyu haram dimakan kerana dagingnya dianggap jijik dan kotor.  Demikianlah juga ‘Abd al-Rahman al-Jaziri menyebutkan bahawa diharamkan memakan kura-kura darat atau laut yang dikenali juga sebagai penyu kerana ia mampu hidup di daratan dan lautan. Malah, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa pendapat yang tepat dalam mazhab Syafi‘i, penyu adalah diharamkan untuk dimakan. (Lihat Fath al-Wahhab, 2/235, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/7).

Pendapat kedua, labi-labi halal dimakan. Selain itu, terdapat dalam kalangan ulama yang menghalalkan dagingnya kerana ia termasuk dalam haiwan air. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Mengenai hal ini, Ibn Qudamah jelas menyebutkan dalam kitabnya, binatang buruan laut ialah haiwan yang hidup di dalam air, bertelur dan menetas di dalamnya seperti ikan, penyu, ketam dan seumpamanya. Dinukilkan daripada ‘Ata’ mengenai haiwan yang hidup di daratan seperti penyu dan ketam, maka ia menyerupai burung air — yakni dari segi hukum. Namun, Ibn Qudamah menolak pendapat tersebut dengan menyatakan bahawa penyu dan ketam itu bertelur di dalam air dan menetas di dalamnya, maka ia menyerupai ikan. Adapun burung air pula seperti itik dan seumpamanya merupakan binatang buruan darat berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. (Lihat al-Mughni, 3/316)

Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyatakan, segala haiwan yang hidup di darat yang terdiri daripada haiwan laut (hidupan air) tidak halal (dimakan) tanpa penyembelihan, seperti burung air, penyu, dan anjing laut, kecuali yang tidak mempunyai darah merah seperti ketam kerana sesungguhnya ia halal (dimakan) tanpa penyembelihan. Imam Ahmad berkata: “Ketam tidak mengapa.” Ditanyakan juga kepadanya: “Adakah ia perlu disembelih?” Beliau menjawab: “Tidak.” Ini kerana tujuan penyembelihan adalah untuk mengeluarkan darah daripadanya dan membersihkan dagingnya dengan menghilangkan darah tersebut. Maka, apabila haiwan itu sendiri tidak mempunyai darah merah, maka ia tidak lagi berhajat kepada penyembelihan tersebut. Adapun haiwan yang selainnya, tidak halal (dimakan) kecuali setelah disembelih. Imam Ahmad berkata: “Anjing laut perlu disembelih (bagi menghalalkannya), dan saya tidak melihat adanya masalah dengan penyu (untuk dimakan) jika ia disembelih, dan begitu juga penyu besar (bagi menghalalkannya) perlu disembelih.” (Lihat al-Mughni, tahqiq al-Turki, 13/344).

Tambahan lagi, Mustafa al-Suyuti al-Hanbali juga ada menyebutkan bahawa tidak dihalalkan haiwan yang dapat hidup di dalam air dan juga di daratan seperti anjing laut, burung air, penyu dan ketam kecuali dengan sembelihan. Imam Ahmad berkata:

كَلْبُ الْمَاءِ نَذْبَحُهُ، وَلَا نَرَى بَأْسًا بِالسُّلَحْفَاةِ إذَا ذُبِحَ إلْحَاقًا لِذَلِكَ بِحَيَوَانِ الْبَرِّ؛ كَكَوْنِهِ يَعِيشُ فِيهِ احْتِيَاطًا

Maksudnya:Anjing laut kami menyembelihnya (sebelum dimakan). Kami juga berpendapat bahawa tidak mengapa memakan penyu jika disembelih (terlebih dahulu) dengan menisbahkan perkara tersebut kepada haiwan darat kerana ia juga dapat hidup di daratan sebagai langkah berhati-hati.” ( Lihat Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayah al-Muntaha, 6/329.)

Begitu juga al-Buhuti menyebutkan bahawa haiwan air yang dapat juga hidup di daratan seperti anjing laut, burung air, penyu, ketam dan seumpamanya, maka haiwan-haiwan itu tidak halal untuk dimakan melainkan setelah disembelih terlebih dahulu. Selain itu, al-Damiri menukilkan daripada al-Rafi‘i bahawa pendapat yang kuat (rajih) adalah haram untuk dimakan kerana penyu termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik dan kotor, serta memakan ular. Selain daripada itu, dinukilkan daripada Ibn Hazm bahawa beliau berpendapat penyu halal dimakan tidak kira penyu darat mahupun penyu laut. ( Lihat Kassyaf al-Qina‘, 6/204).

Di samping itu, Abu al-Walid al-Baji ada menyatakan, menurutku penyu (yang tinggal di laut) adalah di antara haiwan yang dibolehkan bagi orang yang sedang berihram untuk menangkapnya menurut pendapat Imam Malik bahawa ia boleh dimakan tanpa berhajat kepada sembelihan, dan ia adalah penyu air. Namun, mengikut pendapat Ibn Nafi‘ bahawa ia tidak boleh dimakan tanpa disembelih, maka tidak dibenarkan bagi orang yang sedang berihram untuk menangkapnya (atau memburunya). Adapun penyu darat, dalam kitab al-Mabsut diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa orang yang sedang berihram tidak boleh menangkap/memburu penyu darat. (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 2/247).

Jelas dapat difahami daripada kenyataan al-Baji ini bahawa di sisi Imam Malik penyu, tidak kira penyu air atau penyu darat termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan.

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga setelah menyatakan pendapat dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang kami telah nukilkannya di atas, beliau kemudiannya telah membetulkan semula pendapatnya dalam kitab al-Majmu‘ bahawa semua haiwan yang tinggal di dalam air secara habitatnya[5] adalah halal bangkainya sekalipun ia boleh untuk hidup di atas daratan melainkan katak. Inilah pendapat yang muktamad di sisi al-Khatib dan Ibn Hajar al-Haitami, dan menambah pada katak — dengan memberi sebab — kerana padanya terdapat racun. Oleh itu, berdasarkan kepada pendapat ini, ketam, ular, nasnas, buaya dan penyu, jika kesemua haiwan ini tinggal di dalam air secara habitatnya, maka halal bangkainya dan tidak diambil kira kemampuannya untuk hidup di atas darat. Akan tetapi jika haiwan itu tinggal di atas daratan secara habitatnya,[6] maka haram bangkainya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/130; Lihat juga al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32-33).

Dalam erti kata lain, adanya kebarangkalian bahawa terdapat faktor lain yang mendorong kepada pengharaman kesemua haiwan dua alam yang disebutkan di atas seperti nas yang melarang, memberi mudarat kepada pemakannya atau lain-lain. Hal ini dapat difahami dengan lebih jelas melalui kenyataan daripada Dr. Muhammad al-Zuhaili yang menyebutkan bahawa katak haram dimakan kerana ada nas yang melarang untuk membunuhnya. Manakala ular dan ketam kerana racunnya serta kedua-duanya dianggap haiwan yang jijik. Selain itu juga diharamkan untuk memakan buaya kerana ia memburu dengan taringnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548-549).

Tambahan lagi, jika dilihat kepada habitat labi-labi itu sendiri, kebanyakan masanya banyak dihabiskan untuk berada di dalam air atau berdekatan dengan kawasan air. Ini kerana berada luar dari kawasan air boleh memberi mudarat kepadanya. Sehubungan dengan itu, ia boleh digolongkan sebagai termasuk dalam jenis haiwan/hidupan air. Ini jelas sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari yang menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566.)

Tambahan pula, labi-labi termasuk dalam jenis haiwan yang tidak disebutkan secara jelas dalam al-Quran mahupun sunnah berkenaan kehalalan mahupun keharamannya. Di sana terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Bahkan al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir ada menjelaskan berkenaan tiga kelompok haiwan yang terkait dengan hukum halal dan haram, di mana beliau menyatakan, adapun binatang darat ada dua jenis: Jenis yang melata (hidup di tanah) dan jenis yang terbang. Perbahasan dalam bab ini mencakupi binatang halal dan haram yang terbahagi menjadi tiga bahagian. Pertama, binatang yang ketentuan halalnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran atau sunnah (hadith). Kedua, binatang yang ketentuan haramnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran  atau sunnah (hadith). Ketiga, binatang yang ketentuan halal atau haramnya tidak ditentukan oleh nas al-Quran atau sunnah. Dalam hal ini, dua ayat (iaitu ayat 4 surah al-Ma’idah dan ayat 157 surah al-A‘raf) dan hadith Nabi SAW boleh dijadikan sebagai dasar/kayu ukur  dalam menentukan kehalalan atau keharamannya.

Adapun ayat yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah al-Ma’idah: 4)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa dijadikan yang baik-baik itu sebagai halal.

Manakala ayat kedua pula adalah firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa apa yang baik-baik itu dijadikan sebagai halal, manakala apa yang buruk itu dijadikan sebagai haram. Ayat ini lebih umum daripada ayat yang pertama kerana ayat pertama hanya khusus pada penghalalan yang baik-baik, sedangkan ayat ini merangkumi penghalalan yang baik-baik dan pengharaman yang buruk-buruk. Maka Dia menjadikan yang baik itu halal dan yang buruk itu haram. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/132).

Justeru, dapat difahami bahawa standard kehalalan sesuatu makanan atau minuman itu bergantung kepada sama ada ia tayyibat (benda yang baik-baik) ataupun tidak, begitu juga sebaliknya di mana makanan atau minuman itu dikira sebagai haram disebabkan oleh khaba’ith (benda yang buruk).

Demikianlah juga Imam al-Haramain al-Juwaini turut menyebutkan, di antara usul (atau asas) yang dapat dijadikan sebagai rujukan dalam soal penghalalan dan pengharaman sesuatu ialah apa yang dianggap baik dan dianggap buruk. Imam al-Syafi‘i telah menjadikannya sebagai dasar utama dan menetapkannya berdasarkan dengan firman Allah SWT (dalam surah al-Ma’idah ayat 4 yang bermaksud): “Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’” (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 18/210)

Malah, al-Suyuti juga ada menjelaskan berkenaan haiwan yang susah untuk ditentukan statusnya; sama ada ia halal atau haram sebagaimana beliau nyatakan bahawa haiwan yang susah untuk diketahui berkenaan kehalalan atau keharamannya, ada dua pendapat. Pendapat yang kuat di antara dua pendapat itu adalah halal hukumnya seperti mana dikatakan oleh al-Rafi‘i. Manakala al-Mutawalli pula berpendapat, haiwan seperti itu adalah haram untuk dimakan. Namun, Imam al-Nawawi menyelisihi pendapat ini dengan menyatakan, pendapat yang lebih dekat (dengan kebenaran) dan selari dengan pendapat Imam al-Syafi‘i adalah halal. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 60).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbahasan di atas, jelas bahawa labi-labi atau soft-shell turtle termasuk dalam kategori haiwan yang tidak terdapat nas syarak yang jelas mengenai pengharamannya mahupun kehalalannya. Bahkan para ulama berselisih pendapat berkenaan hal tersebut seperti mana yang kami telah nukilkan di atas. Namun, dalam hal ini, kami cenderung kepada pendapat bahawa labi-labi adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan bahawa ia memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Walau bagaimanapun, bagi menghalalkannya kami berpendapat, ia hendaklah disembelih seperti mana haiwan-haiwan darat yang lain. Inilah pendapat yang lebih selamat dan dilihat lebih berhati-hati (ihtiyat). Selain itu, pendapat ini juga adalah selari dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majelis Ulama Indonesia (no. 51 tahun 2019) bahawa bulus (labi-labi) adalah halal dimakan dengan syarat disembelih secara syar‘i.[7]

Apatah lagi, dikatakan bahawa daging labi-labi mempunyai khasiat seperti dapat meningkatkan sistem imun, menurunkan tekanan darah, dan menggalakkan umur panjang. Begitu juga dikatakan ia adalah sumber nutrien yang baik, termasuk protein, kalsium, vitamin A, B1, B2, B6 dan zink.[8] Selain itu, ia dipercayai dapat meningkatkan kolagen kulit. Oleh sebab itu, ia adalah hidangan yang sangat popular untuk wanita yang percaya memakan labi-labi akan mengekalkan penampilan muda mereka.[9] Firman Allah SWT:

 وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi “الطَّيِّبَاتِ” ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan “الْخَبَائِثَ” pula bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83).

Bahkan di sana terdapat kaedah fiqh yang menyebutkan:

الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ النَّافِعَةِ الإِبَاحَةُ وَفِي الْأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal sesuatu yang bermanfaat adalah harus/dibolehkan, manakala (hukum asal) sesuatu yang membahayakan pula adalah haram.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, hlm. 360).

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, apakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburu haiwan seperti labi-labi ini kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan makan haiwan tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=labi-labi. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Labi-labi. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[3] Lihat https://www.britannica.com/animal/softshell-turtle. Diakses pada 31 Oktober 2023.

[4] Lihat https://turtleworldinfo.com/how-long-can-softshell-turtles-be-out-of-water/#How_Long_Can_Softshell_Turtles_Be_Out_of_Water. Diakses pada 19 Julai 2024.

[5] Yakni kehidupannya lebih banyak di dalam air.

[6] Yakni kehidupannya lebih banyak di atas daratan.

[7] Lihat https://mui.or.id/baca/fatwa/hukum-mengonsumsi-daging-bulus. Diakses pada 19 Julai 2024.

[8] Lihat https://vovworld.vn/en-US/food-delight/a-menu-with-softshell-turtles-929966.vov. Diakses pada 19 Julai 2024.

[9] Lihat https://www.foodrepublic.com/1388125/steamed-softshell-turtle-no-waste-delicacy-china-vietnam/. Diakses pada 19 Julai 2024.

Leave a Reply