Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami beberapa ayat dalam al-Quran yang menyatakan bahawa al-Quran al-Karim adalah pelita hidup bagi umat islam.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi hidayah ke jalan yang amat lurus dan menyampaikan berita gembira kepada para mukmin yang mengerjakan amalan soleh bahawa mereka akan memperoleh pahala yang amat besar.”

(Surah al-Isra’: 9)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT memuji Kitab-Nya yang Mulia, iaitu al-Quran, yang diturunkan-Nya kepada Rasul-Nya, Muhammad SAW. Al-Quran dipuji kerana memberikan petunjuk kepada jalan yang paling lurus dan menjelaskan dengan jelas jalan-jalan yang benar. Allah memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman yang melakukan amal perbuatan yang baik, bahawa mereka akan memperoleh pahala yang besar pada Hari Kiamat. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 5/45)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa al-Quran adalah mukjizat ilahi yang sering dinisbahkan kepada “Pelita Hidup”. Ini kerana al-Quran adalah kitab suci yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang mampu menerangi kehidupan umat di dunia dan di akhirat.  Ia juga sebagai petunjuk yang mengeluarkan umat dari kegelapan kepada cahaya hidayah.

Ungkapan al-Quran sebagai Pelita Hidup mengandungi beberapa makna yang mendalam. Kami perincikan sebagaimana yang berikut:

  • Sumber Hidayah dan pembawa berita gembira

Allah menjadikan al-Quran sebagai sumbar hidayah kepada umat manusia dan pembawa berita gembira bagi kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Allah SWT berfirman:

إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi hidayah ke jalan yang amat lurus dan menyampaikan berita gembira kepada para mukmin yang mengerjakan amalan soleh bahawa mereka akan memperoleh pahala yang amat besar.”

(Surah al-Isra’: 9)

Abu Bakar al-Jazair menyatakan bahawa: Allah SWT menyatakan bahawa Al-Quran yang mulia ini yang telah diturunkan kepada hamba dan Rasul-Nya Muhammad SAW, yang telah diperjalankan pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, memberikan petunjuk dengan dalil-dalil, hujah-hujah, syariat-syariat, dan nasihat-nasihat kepada jalan yang paling lurus, iaitu jalan yang paling adil dan tepat berbanding semua jalan lain. Itulah agama yang benar iaitu Islam, jalan kebahagiaan dan kesempurnaan di dunia dan  akhirat.  Begitu juga Al-Quran memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 3/179)

  • Sumber Kebahagiaan

Al-Quran membawa kebahagiaan dan mendatangkan ketenangan, ketenteraman, dan kehidupan yang baik. Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Maksudnya:  “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

(Surah Taha: 124)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, iaitu kitab-Ku yang mengandungi segala perkara yang tinggi nilainya, dan meninggalkannya dengan sikap berpaling daripadanya, atau yang lebih buruk daripada itu, iaitu dengan sikap mengingkarinya dan tidak beriman kepadanya, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit  iaitu sebagai balasannya. Kami akan menjadikan kehidupannya sempit dan penuh kesulitan, dan itu tidak lain melainkan azab.

Kehidupan yang sempit itu ditafsirkan sebagai azab kubur, di mana kuburnya akan menjadi sempit dan dia akan dihimpit serta diseksa di dalamnya, sebagai balasan kerana berpaling daripada peringatan Tuhannya. Ini adalah salah satu daripada ayat-ayat yang menunjukkan adanya azab kubur. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.515 )

Begitu juga beliau menyebutkan bahawa: dikatakan yang dimaksudkan dengan mengingati Allah adalah kitab-Nya yang diturunkan sebagai peringatan bagi orang-orang beriman. Maka, makna ketenangan hati dengan mengingati Allah adalah bahawa apabila mereka memahami makna-makna al-Quran dan hukum-hukumnya, mereka menjadi tenteram dengannya, kerana ia menunjukkan kebenaran yang nyata yang disokong oleh bukti dan dalil. Dengan demikian, hati menjadi tenteram. Hati tidak akan tenteram kecuali dengan keyakinan dan ilmu. Yang demikian terdapat dalam kitab Allah dengan bentuk yang paling sempurna dan lengkap. Adapun selain daripada kitab itu yang tidak merujuk kepadanya, hati tidak akan tenteram dengannya, malah hati akan sentiasa bimbang dengan pertentangan dalil dan perbezaan hukum. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 417)

  • Solusi masalah kehidupan umat

Al-Quran menawarkan penyelesaian praktikal kepada pelbagai masalah, seperti penyelesaian konflik, pengurusan kewangan, dan hubungan keluarga. Ia memberikan panduan tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam kehidupan manusia. Antaranya adalah firman Allah SWT:

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-Nisa: 35)

Justeru, berdasarkan penerangan di atas jelaslah kepada kita bahawa al-Quran adalah petunjuk kehidupan dan sumber solusi bagi kehidupan umat. Oleh sebab itu, al-Quran dinisbahkan sebagai “Pelita Hidup”. Oleh yang demikian, sebagai umat islam sewajarnya menjadikan al-Quran sebagai panduan bagi kehidupan dengan sentiasa mempelajari dan mentadabbur ayat-ayatnya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam

Leave a Reply