Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah itu minuman al-Nabiz dan apakah hukum meminumnya. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”

(Surah al-Baqarah:219)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).

Terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa al-nabiz adalah anggur kering yang direndam dalam air. Dikatakan nabiz ialah: rendaman kurma atau anggur dan seumpamanya. Asal perkataan nabiz adalah dari kata dasar  ‘meninggalkan‘ (meletakkan), dan dari situ dikatakan air yang direndam sesuatu untuk memaniskannya adalah nabiz. Diriwayatkan daripada Ibn  ‘Abbas bahawa beliau berakata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يُنْبَذُ لَهُ الزَّبيبُ في السِّقَاءِ، فَيَشْرَبُهُ يَوْمَهُ، وَالْغَدَ، وَبَعْدَ الْغَدِ، فَإِذَا كانَ مَسَاءُ الثَّالِثَةِ شَرِبَهُ وَسَقَاهُ، فَإنْ فَضَلَ شَيءٌ أَهْرَاقَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW akan merendamkan kismis dalam kantung air, lalu Baginda meminumnya pada hari itu, keesokan harinya, dan lusa. Jika tiba waktu petang hari ketiga, Baginda akan meminumnya dan memberikannya kepada orang lain. Jika ada yang masih berbaki, Baginda akan membuangnya.”

Riwayat Muslim (2004)

Hadith ini menjadi bukti bahawa dibolehkan meminum nabiz, iaitu air yang dicampurkan dengan kurma atau kismis untuk memaniskan air dan menghilangkan rasa masinnya, dengan syarat ia tidak mencapai tahap memabukkan, jika tidak, ia diharamkan. (Lihat Minhah al-A’llam fi Syarh Bulugh al-Maram, 8/525-526)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Dibolehkan meminum nabiz selagi ia manis, tidak berubah dan tidak menjadi masam, dan ia dibolehkan menurut ijma ‘umat. (Lihat al-Minhaj fi Syarh al-Nawawi  ‘Ala Muslim, 13/174)

Sebagai kesimpulannya, nabiz adalah minuman yang dibuat dengan merendam anggur atau kurma dalam air. Menurut hadith dan pandangan ulama, minuman ini dibenarkan selagi rasanya tidak berubah dan tidak menjadi masam. Jika rasanya berubah dan menjadi masam, ia diharamkan kerana boleh memabukkan seperti menuman arak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam

Leave a Reply