Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita orang Islam minum kopi yang diistilahkan sebagai “Barrel-aged Coffee beans” yang mana biji kopi diperam seperti kaedah fermentasi di dalam bekas arak bagi tujuan mendapatkan aroma bekas tersebut walaupun peratusan alkoholnya sifar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu “barrel-aged coffee beans” ini. Ringkasnya, kopi tuaan dalam tong (barrel-aged coffee) adalah kopi yang telah disimpan atau diperam selama beberapa tempoh tertentu dalam tong minuman keras yang sudah tidak digunakan seperti tong whiskey, bourbon, dan rum. Biji kopi ini disimpan dalam tong tersebut selama beberapa minggu, secara perlahan-lahan mengembangkan/menghasilkan lebih banyak rasa.

Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, kopi ini disimpan dalam tong minuman keras yang tidak digunakan lagi. Jadi, di sinilah biji kopi mendapat semua rasa unik mereka. Biji kopi yang disimpan/diperam dalam tong adalah biji kopi hijau yang belum dipanggang. Biji kopi hijau ini dimasukkan ke dalam tong minuman keras yang sudah tidak digunakan dan dibiarkan di sana untuk beberapa waktu, kebanyakan masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 minggu.

Semasa berada di dalam tong, biji kopi hijau menyerap semua rasa yang tertinggal dalam tong kayu tersebut. Di sinilah semua ciri-ciri rasa dikembangkan. Malah, terdapat beberapa pemanggang kopi di luar sana yang mengusia/memeram biji kopi mereka untuk tempoh yang lebih lama.[1]

Hasilnya, kopi tuaan dalam tong bourbon (bourbon barrel-aged coffee), kopi tuaan dalam tong rai (rye barrel-aged coffee), dan lain-lain. Tiada minuman keras dalam tong-tong tersebut ketika ia dituangkan biji kopi, tetapi ketika biji-biji kopi tersebut berada dalam tong-tong kosong ini, kayu oak memberikan rasa kepada biji kopi, sama seperti ia memberikan rasa kepada minuman keras yang disimpannya sebelum ini, memberikan biji-biji kopi rasa yang baru, hasil daripada transformasinya yang luar biasa. Ia adalah hadiah yang hebat untuk seseorang yang gemar minuman whiskey, bourbon, atau kopi.[2]

Keduanya, pengharaman arak dapat dilihat melalui firman Allah SWT:

 إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Perkataan al-Rijs (الرِّجْسُ) dari segi bahasa merujuk kepada sesuatu yang kotor dan berbau busuk. Adapun minuman-minuman lain yang diperselisihi oleh fuqaha tentangnya, hukum pengharamannya di sisi mereka adalah mengikut hukum kenajisan bagi minuman tersebut. Manakala sebahagian fuqaha’ seperti Rabi‘ah guru kepada Imam Malik, al-San‘ani dan al-Syaukani berpendapat bahawa ia adalah suci dengan berpegang kepada hukum asalnya, dan memahami makna rijs (الرِّجْسُ) dalam ayat tersebut merujuk kepada kotoran maknawi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/27; 40/93-94).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa arak adalah najis di sisi kami (mazhab al-Syafi‘i) dan di sisi Imam Malik, Abu Hanifah, Ahmad serta seluruh ulama melainkan apa yang dinukilkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib dan selainnya daripada Rabi‘ah guru kepada Imam Malik dan Daud bahawa kedua-duanya berpendapat ia adalah suci sekalipun dihukumkan sebagai haram seperti racun yang merupakan tumbuhan dan begitu juga seperti ganja yang memabukkan.

Namun, al-Syeikh Abu Hamid menukilkan bahawa telah berlaku  ijma‘ ulama berkenaan kenajisannya. Begitu juga para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berhujah berdasarkan kepada ayat di atas — iaitu ayat 90 Surah al-Ma’idah. Mereka menyebutkan bahawa tidaklah menjejaskan dengan meletakkan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah setara dengan arak, dalam keadaan benda-benda itu dihukumkan sebagai suci. Hal ini kerana ketiga-tiga benda itu sudah terkeluar daripada dihukumkan sebagai najis berdasarkan ijma‘. Maka yang berbaki atau tinggal lagi hanyalah arak sebagaimana yang telah disebutkan — iaitu dihukumkan sebagai najis. Kemudian, tidak ada dalil yang jelas dalam ayat tersebut yang menunjukkan kepada perkara tersebut. Ini kerana al-Rijs (الرِّجْسُ) di sisi ahli bahasa bermaksud kotoran dan tidak memestikan perkara itu menjadikannya dihukumkan sebagai najis. Begitu juga perintah untuk menjauhinya tidak memestikan ia dikira sebagai najis.

Adapun perkataan pengarang (iaitu al-Syirazi), “Ia haram untuk diminum tanpa sebarang darurat, maka ia adalah najis seperti darah.” Menurut Imam al-Nawawi, kenyataan ini tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan kepada perkara tersebut berdasarkan kepada dua alasan. Pertamanya, ia terbatal dengan air mani, hingus dan selainnya.  Keduanya, ‘illah yang melarang/mengharamkan pengambilan (meminum) arak dan darah adalah berbeza. Darah dilarang daripada diminum kerana ia dianggap sebagai istikhbath (benda-benda yang kotor dan jijik). Manakala arak pula dilarang daripada diminum kerana ia membawa kepada timbulnya permusuhan dan kebencian serta berpaling daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat sebagaimana dinyatakan secara jelas dalam ayat al-Quran. Pendapat yang aqrab (dekat dengan kebenaran) adalah sebagaimana pendapat yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali bahawa arak dihukumkan sebagai najis bagi tujuan menampakkannya sebagai berat (taghlizan) dan menjauhkannya daripada manusia sebagaimana diqiyaskan ke atas anjing dan apa yang dijilatnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/563-564).

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan, secara umumnya, meminum kopi adalah termasuk dalam perkara yang diharuskan. Ini kerana hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Meskipun begitu, persoalan di atas, kami melihatnya berkait rapat dengan penggunaan bekas atau tong yang pernah digunakan untuk menyimpan arak. Seperti mana yang kami telah nyatakan di atas, arak adalah haram dan dilarang keras dalam Islam serta ia dihukumkan sebagai najis. Oleh itu, penggunaan bekas atau botol arak untuk menyimpan makanan dan sebagainya adalah tidak dibolehkan kecuali setelah proses pembersihan dilakukan dan dipastikan tiada lagi kesan-kesan arak yang ada.

Hal ini sebagaimana yang diriwayat oleh  Abu Tha‘labah, katanya:

إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ، وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ، وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا، فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan bekas-bekas minuman mereka. (Justeru, bolehkah kami menggunakan bekas-bekas itu)? Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika engkau dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain, maka makan dan minumlah menggunakannya. Jika engkau tidak dapat selainnya, maka cucilah ia dengan air, kemudian makan dan minumlah (dengan menggunakannya).’”

Riwayat Abu Daud (3839)

Al-Khattabi menyebutkan, hukum asal dalam perkara ini adalah jika diketahui bahawa orang bukan Islam itu memasak daging babi dalam periuk-periuk mereka dan meminum arak menggunakan gelas-gelas mereka, maka tidak boleh menggunakan perkakas-perkakas itu melainkan setelah dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/257.)

Begitu juga turut dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa hukum asal dalam menyucikan bekas-bekas arak adalah dengan membasuhnya. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan Maliki dalam pendapat yang sahih di sisi mereka. Begitu juga pandangan mazhab Syafi‘i, dan Syeikh Abu al-Faraj al-Maqdisi al-Hanbali.

Dalam hal ini, mazhab Hanafi mengatakan, bekas tersebut suci dengan membasuhnya tiga kali sehingga tiada lagi bau arak atau kesannya yang tertinggal. Jika masih terdapat bau arak, tidak dibenarkan meletakkan cecair lain di dalamnya kecuali cuka; kerana dengan meletakkan cuka di dalamnya, bekas itu menjadi suci walaupun tidak dibasuh, kerana arak yang ada di dalamnya akan berubah menjadi cuka. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/112)

Justeru, penggunaan bekas arak tanpa pembersihan yang sempurna boleh menyebabkan makanan atau minuman tersebut menjadi tidak suci untuk dimakan atau diminum oleh umat Islam lebih-lebih lagi bercampur dengan sesuatu yang haram. Oleh yang demikian, hendaklah memastikan bekas tersebut dibersihkan dan tidak meninggalkan kesan-kesan arak sebelum ia digunakan kembali bagi tujuan-tujuan yang lain.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa biji-biji kopi itu disimpan/diperam di dalam bekas tong-tong arak supaya ia terkesan atau dipengaruhi oleh kesan-kesan arak di dalam tong tersebut. Justeru, kami berpendapat bahawa meminum kopi yang menggunakan biji-biji yang diproses sedemikian bagi mendapatkan kelazatan pada aroma dan rasa kopi yang telah dipengaruhi oleh kesan-kesan arak di dalam tong itu adalah haram dan dilarang. Ini kerana sebagai seorang Muslim, kita dilarang keras untuk terlibat dengan apa-apa perkara berkaitan dengan arak, di samping arak itu juga dihukumkan sebagai najis.

Tambahan lagi, secara tidak langsung dikhuatiri bahawa proses pemerapan atau penyimpanan biji-biji kopi dalam bekas tong-tong arak telah mengakibatkan percampuran antara perkara yang halal dengan perkara yang haram, sekali gus menjadikan biji-biji kopi turut dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan atau diminum.

Dalam hal ini terdapat kaedah menyebutkan:

أَنَّ الْأَشْيَاءَ الْمُحَرَّمَةَ إِذَا خَالَطَتْ الْحَلَالَ حَرُمَ الْحَلَالُ

Maksudnya: “Sesuatu yang diharamkan apabila bercampur dengan sesuatu yang halal, maka sesuatu yang halal itu menjadi haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

Apatah lagi, kita juga sama sekali tidak boleh melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan arak khususnya kepada umat Islam, lebih-lebih lagi dengan penggunaan tong-tong arak, atau nama-nama arak yang diletakkan sekali dengan kopi sekalipun hakikatnya ia bukanlah minuman keras seperti bourbon barrel-aged coffee, rye barrel-aged coffee dan lain-lain seumpamanya. Perbuatan itu hanya akan menimbulkan lagi kekeliruan, di samping menyentuh sensitiviti umat Islam. Jadilah seorang pengguna Muslim yang bijak dengan menjauhkan diri daripada apa jua bentuk produk yang meragukan. Lebih-lebih lagi produk yang jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://yourdreamcoffee.com/barrel-aged-coffee/. Diakses pada 22 Julai 2024.

[2] Lihat https://themorningdram.com/pages/what-is-barrel-aged-coffee. Diakses pada 22 Julai 2024.

Leave a Reply