Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah maksud ungkapan “Ilmu tidak boleh diperolehi dengan kerehatan tubuh badan”? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ayat di atas menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang tidak alim. Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini, di mana Allah SWT mengangkat kedudukan orang beriman yang diberi ilmu pengetahuan lebih tinggi berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. ( Lihat Tafsir al-Qurtubi,17/299)

Selain itu, ilmu juga adalah jambatan untuk seseorang itu ke Syurga. Hal ini kerana ilmu merupakan perkara yang penting untuk memastikan seseorang itu beramal dengan benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Oleh yang demikian, terdapat satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.

Riwayat Muslim (2699)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, ungkapan tersebut merupakan kata-kata Abu Nasr Yahya bin Abu Kathir al-Yamani, seorang ulama besar dalam kalangan tabiin. Beliau menyebutkan bahawa:

لَا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الْجِسْمِ

Maksudnya:Seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan.” (Lihat Sahih Muslim, 2/105)

Menariknya, Imam Muslim – penyusun Sahih Muslim – telah memasukkan kata-kata hikmah ini bersama-sama hadith Abu Mas‘ud al-Badri, Aisyah dan Abdullah bin al-‘Amr R.Anhum berkaitan waktu-waktu solat yang lima. Seterusnya, persoalan yang timbul, mengapa Imam Muslim memasukkan kenyataan ini dalam Sahihnya?

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan, ramai yang bertanya berkenaan perkara ini sedangkan riwayat ini bukanlah hadith Nabi SAW dan bukan juga daripada syarat penulisan kitabnya. Beliau menceritakan bahawa sebahagian ulama menjawab, bahawa Imam Muslim begitu kagum dengan jalur-jalur periwayatan hadith-hadith waktu solat dan mengetahui kadar kepenatan atau kesusahan yang terpaksa ditanggung bagi mendapatkan riwayat-riwayat tersebut dan menghimpunkannya. Oleh sebab itu, beliau memasukkannya berada di antara hadith-hadith dalam kitabnya, tujuannya adalah untuk mengingatkan akan hal ini, yakni beliau tidak memperolehi apa yang beliau telah sebutkan dalam kitabnya — yakni daripada riwayat-riwayat tersebut — melainkan dengan kesusahan dan penat lelah ketika mencarinya — yakni menuntut ilmu — dan perkara ini amat jelas dan nyata. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim bi Fawa’id Muslim, 2/577-578)

Tambahan lagi, al-Suyuti turut menyebutnya dalam kitabnya dan beliau berkata: Ibn ‘Adi telah meriwayatkannya dalam al-Kamil dengan penambahan. Lafaznya daripada Yahya bin Abu Kathir, dikatakan:

مِيرَاثُ الْعِلْمِ خَيْرٌ مِنْ مِيرَاثِ الذَّهَبِ ، وَالنَّفْسُ الصَّالِحَةُ خَيْرٌ مِنَ اللُّؤْلُؤِ ، وَلا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الجَسَدِ

Maksudnya:Warisan ilmu itu lebih baik daripada warisan emas, jiwa yang solehah lebih baik daripada mutiara, dan tidaklah mampu diperolehi suatu ilmu itu dengan kerehatan tubuh badan.” (Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, 2/266; al-Kamil, 4/215; Hilyah al-Auliya’, 3/66)

Selain itu, Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad turut menyatakan bahawa athar yang diriwayatkan daripada Yahya bin Abu Kathir ini terdapat dalam kitab Solat ketika menyebutkan mengenai waktu-waktu solat dan selepas menyebutkan jalur-jalur hadith Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.A yang pelbagai, yang menjelaskan berkenaan waktu-waktu solat. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam syarahnya, boleh jadi Imam Muslim tatkala melihat jalur-jalur hadith Abdullah bin ‘Amr yang pelbagai ini, menyebabkannya teringat akan kepentingan menuntut ilmu dan menyibukkan diri dengannya serta jalur-jalur hadith yang banyak dan pelbagai ini, sesungguhnya ia diperolehi dengan kesusahan, kepayahan dan berpenat lelah.

Kemudian, Syeikh al-‘Abbad mengulasnya dengan mengatakan bahawa maknanya ialah sesiapa yang ingin memperoleh ilmu pengetahuan, maka sesungguhnya dia sesekali tidak akan memperolehnya dengan kerehatan dan bermalas-malas. Sebaliknya ia hanya dapat diperolehi dengan kerja keras dan bersungguh-sungguh, di samping kesusahan dan kepenatan yang terpaksa ditanggungnya. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 60/18)

Inilah sunnatullah dalam menuntut ilmu sebagaimana yang telah dilalui oleh para ulama kita, tidak kira dalam kalangan salaf mahupun khalaf. Kami tutup perbincangan ini dengan satu doa berpandukan nas Nabawi bagi mendapatkan ilmu bermanfaat:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya:Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Riwayat Ibn Majah (925)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama, serta kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu, seterusnya menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat.  Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

Leave a Reply