Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya berumur 30 tahun dan mempunyai uban di janggut. Bolehkah saya memakai inai? Jika boleh inai yang bagaimana yang boleh dipakai? Adakah brand tertentu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami katakan bahawa secara umumnya, kita digalakkan dan disunatkan untuk mewarnakan rambut dan janggut. Ini adalah seperti mana riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3462) dan Muslim (2103)

Begitu juga dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya:Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (1752)

Dapat difahami daripada hadith-hadith ini bahawa ‘illah syarak dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah untuk menyelisihi ahli kitab. Oleh sebab itu, terdapatnya penegasan bahawa ia suatu perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk melakukannya. Selain itu, sunnah ini (mewarnakan rambut dan janggut) sangat diambil berat oleh ulama salaf. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/172).

Keduanya, seseorang itu digalakkan mewarnakan rambut dan janggut dengan hinna’ dan katam berdasarkan hadith, “غَيِّرُوا الشَّيْبَ” (iaitu ubahlah warna uban) dan ia adalah suatu perintah yang menunjukkan kepada galakkan (sunat). Begitu juga terdapat hadith lain, daripada riwayat Jabir R.A, katanya: Abu Quhafah[1] yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari pembukaan kota Makkah, lalu Baginda bersabda:

غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksudnya:Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.”

Riwayat Muslim (2102)

Ketiganya, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/279-280) bahawa mewarnakan rambut dan janggut boleh dengan hinna’ (inai),[2] hinna’ bersama katam,[3] wars,[4] za‘faran, warna hitam dan lain-lain.

Selain daripada itu, terdapat hadith bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَحْسَنَ مَا غَيَّرْتُمْ بِهِ الشَّيْبَ الْحِنَّاءُ وَالْكَتَمُ

Maksudnya:Sesungguhnya sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mengubah warna uban ialah pohon hinna’ (inai) dan katam.”

Riwayat Ibn Hibban (5474) dan al-Tirmizi (4991)

Dapat difahami daripada hadith di atas bahawa bahawa hinna’ (inai) dan katam adalah antara pewarna terbaik untuk mengubah warna uban. Akan tetapi bahan untuk mewarnakan uban tersebut tidak hanya terhad kepada kedua-dua bahan itu sahaja, malah terdapat juga bahan pewarna lain yang sama fungsinya yang turut boleh digunakan dalam asal-usul kecantikan. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Anas R.A, katanya: “Abu Bakar mewarnakan (rambut dan janggutnya) dengan hinna’ (inai) dan katam. Manakala Umar pula mewarnakan (rambut dan janggutnya) hanya dengan hinna’ (inai).”

Begitu juga mewarnakan rambut dan janggut dengan menggunakan bahan wars dan za‘faran. Ia juga termasuk dalam hukum asal galakkan (sunat) itu sebagaimana mewarnakannya dengan bahan daripada hinna’ dan katam. Malah terdapat sebahagian sahabat yang mewarnakan rambut dan janggut mereka dengan kedua-dua bahan tersebut. Abu Malik al-Asyja‘i meriwayatkan daripada bapanya, katanya:

كَانَ خِضَابُنَا مَعَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْوَرْسَ وَالزَّعْفَرَانَ

Maksudnya:Bahan pewarna yang kami gunakan (untuk mewarnakan rambut dan janggut) bersama Rasulullah SAW ialah wars dan za‘faran.”

Riwayat Ahmad (15882)[5]

Begitu juga hadith daripada al-Hakam bin ‘Amr al-Ghifari, katanya:

دَخَلْتُ أَنَا وَأَخِي رَافِعُ بْنُ عَمْرٍو عَلَى أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، وَأَنَا مَخْضُوبٌ بِالْحِنَّاءِ، وَأَخِي مَخْضُوبٌ بِالصُّفْرَةِ، فَقَالَ لِي عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: هَذَا خِضَابُ الْإِسْلَامِ، وَقَالَ لِأَخِي رَافِعٍ: هَذَا خِضَابُ الْإِيمَانِ

Maksudnya:Aku dan saudaraku Rafi‘ bin ‘Amr masuk menemui Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab, dalam keadaan (rambut dan janggutku) diwarnakan dengan (warna) hinna’, manakala saudaraku pula (rambut dan janggutnya) diwarnakan dengan warna kekuning-kuningan. Lalu Umar bin al-Khattab berkata kepadaku: ‘Ini adalah pewarna Islam,’ dan berkata kepada saudaraku Rafi‘: ‘Ini adalah pewarna Iman.’”

Riwayat Ahmad (20660)[6]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, jelaslah bahawa mewarnakan janggut yang beruban termasuk dalam perkara yang digalakkan (sunat) dalam agama. Begitu juga seseorang itu boleh mewarnakan janggutnya sama ada dengan menggunakan inai atau apa sahaja bahan pewarna atau produk pewarna rambut yang ada di pasaran dengan syarat ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama seperti tidak menghalang air dan bahan-bahan pewarna yang ingin digunakan mestilah bukan bahan yang mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan atau memberikan risiko dan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Nota Hujung:

[1] Beliau ialah bapa kepada Abu Bakar; nama sebenarnya ialah Uthman dan memeluk Islam semasa pembukaan Makkah.

[2] Hinna’ ialah sejenis pokok yang daun dan batangnya seperti daun dan batang delima, bunganya pula berwarna putih, daunnya diambil untuk dijadikan pewarna merah. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/الْحِنَّاءِ/. Diakses pada 27 April 2023).

[3] Katam ialah sejenis tumbuhan yang dicampur dengan daun wasmah (dikenali juga sebagai daun Nil), lalu digunakan untuk mewarnakan rambut hitam. Namun, ada yang berpendapat, ia adalah wasmah. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2827).

[4] Wars ialah sejenis tumbuhan yang ditanam di Yaman dan India. Buahnya apabila masak, ditutup dengan kelenjar kuning, dan terdapat sedikit bulu di atasnya, yang digunakan untuk mewarna pakaian. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/الورس/. Diakses pada 28 April 2023). Ia adalah tumbuhan seperti bijan, dan mempunyai bau yang harum. Ia menjadi bahan pewarna antara warna merah dan kuning. (Lihat Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, 1/189).

[5] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (25/216) menilai sanadnya sebagai sahih. Beliau juga menyatakan, semua perawinya adalah thiqah dan merupakan perawi kitab al-Sahih melainkan Bakr bin Isa dan dia daripada perawi sunan al-Nasa’i dan dia adalah thiqah.

[6] Hadith al-Hakam bin ‘Amr al-Ghifari, diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Di dalamnya terdapat perawi bernama ‘Abd al-Rahman bin Habib, dan dia dinilai sebagai thiqah oleh Ibn Ma‘in tetapi dinilai sebagai dha’if oleh Imam Ahmad. Manakala baki perawi-perawinya yang lain adalah thiqah. (Lihat Majma‘ al-Zawa’id, 5/159).

Leave a Reply