Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada sebahagian orang mendakwa Solat Jumaat hanya sunat sahaja kerana tidak disebutkan sebagai salah satu rukun Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ketahuilah bahawa Solat Jumaat itu hukumnya adalah fardhu berdasarkan kepada dalil al-Kitab, al-Sunnah dan persepakatan ulama. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu dipanggil untuk solat pada hari Jumaat maka pergilah kamu untuk solat bagi mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Itu adalah yang terbaik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Kalimah (فَاسْعَوْا) atau “pergilah” ini adalah kata perintah yang membawa maksud wajib, dan kewajipan untuk pergi itu sudah pasti untuk menuju kepada perkara yang diwajibkan juga iaitu Solat Jumaat. Larangan untuk berjual-beli ketika itu pula agar manusia tidak disibukkan dengannya sehingga tidak pergi Solat Jumaat. Sekiranya benar hukum solat ini hanyalah sunat dan bukan fardhu, maka mengapa perlu dilarang untuk berjual-beli semata-mata untuk solat tersebut. (Lihat al-Mughni, 2/218)

Ini juga telah jelas berdasarkan hadith Tariq bin Syihab R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ، إِلَّا أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat merupakan hak yang wajib ke atas setiap orang Islam secara berjemaah, kecuali empat orang: Hamba yang dimiliki, kaum wanita, anak-anak kecil, dan orang yang sakit.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Hadith ini secara tidak langsung menafikan dakwaan sebahagian pihak yang sengaja menimbulkan kekeliruan tentang hukum Solat Jumaat. Apabila Solat Jumaat tidak disebutkan dalam hadith Abdullah bin ‘Umar R.A sebagai salah satu rukun Islam, mereka menyelewengkan kefahaman terhadap hadith tersebut dengan mendakwa bahawa Solat Jumaat sekadar sunat sahaja. Rasulullah SAW menggariskan rukun-rukun Islam dalam sabdanya:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan  Nabi Muhammad itu ialah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)

Mereka yang tidak memahami kaedah Usul al-Fiqh dengan baik perlu mendapat bimbingan para guru sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan hukum dalam persoalan hukum-hakam agama. Apabila perkataan “Solat Jumaat” tidak disebutkan secara jelas dalam hadith ini, ia tidak bermakna bahawa solat tersebut tidak diwajibkan ke atas kaum Muslimin. Lafaz solat (الصَّلاَةُ) dalam hadith ini adalah isim jins (kata nama Am) yang dimulai dengan huruf alif dan lam (الـــ), maka ia adalah lafaz yang bersifat umum merangkumi banyak solat-solat yang difardhukan. Kemudian, hadith Tariq bin Syihab R.A ini datang dengan lafaz khusus, iaitu Solat Jumaat sebagai salah satu solat yang difardhukan itu.

Seterusnya, kewajipan Solat Jumaat ini disokong lagi dengan persepakatan para ulama. Imam Ibn al-Munzir berkata: “Ulama bersepakat bahawa Solat Jumaat itu diwajibkan ke atas semua orang lelaki yang merdeka, telah mencapai usia baligh, bermukim, dan tidak mempunyai sebarang keuzuran.” Imam Ibn ‘Abd al-Bar juga menukilkan perkara yang sama, katanya, ulama Islam bersepakat akan kefardhuan Solat Jumaat ke atas mereka yang merdeka, baligh, lelaki, tahu masuknya waktu dan dia termasuk dalam kalangan mukim setempat. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 40; al-Istizkar, 2/56)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Solat Jumaat ini adalah fardhu ain ke atas setiap lelaki mukallaf kecuali orang yang uzur, inilah yang dipegang oleh Mazhab al-Syafi‘i, dan ia disebutkan sendiri oleh Imam al-Syafi‘i dalam karya-karya beliau. Ini juga yang diputuskan oleh fuqaha’ mazhab dari banyak aliran. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/483)

Sekiranya ada dakwaan sebahagian pihak bahawa Solat Jumaat tidak termasuk dalam kefardhuan solat lima waktu yang menjadi asas rukun Islam, maka dakwaan ini juga tertolak kerana Solat Jumaat ini merupakan ganti kepada Solat Zohor yang didirikan pada hari Jumaat. Secara tidak langsung, ia juga termasuk dalam asas rukun Islam yang disebutkan dalam hadith tersebut. Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah Ibn Baz berkata, telah diketahui dalam Islam secara pasti dengan hujah dalil-dalil syara‘ bahawa Allah SWT tidak mentaklifkan pada hari Jumaat semasa masuknya waktu Zohor, melainkan satu sahaja solat fardhu yang perlu dikerjakan bagi lelaki yang bermukim, merdeka dan mukallaf. Solat fardhu tersebut adalah Solat Jumaat.

Sekiranya dia melakukannya, maka dia tidak perlu lagi mendirikan Solat Zohor, bahkan Solat Jumaat itu yang diwajibkan pada waktu tersebut. Rasulullah SAW dan para sahabat baginda serta salafussoleh terdahulu tidak pernah mendirikan solat fardhu lain selepas Solat Jumaat. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 12/363)

Sangkaan Solat Jumaat Bukan Fardhu Ain

Mereka yang menyangkan bahawa Solat Jumaat ini bukan sebahagian dari fardhu ain ini bukanlah menafikan kewajipannya kerana sengaja ingin menentang hukum syara‘ atau takabbur. Akan tetapi, ia terbina atas salah faham yang kemudiannya dijawab semula oleh para ilmuwan mazhab masing-masing. Secara umumnya, mereka boleh dibahagikan kepada dua pihak:

  • Pihak yang menyangka hukum Solat Jumaat adalah fardhu kifayah.

Imam al-Nawawi menukilkan beberapa salah faham seperti yang dihikayatkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, Ibn al-Sabbagh dan lain-lain. Sebahagian pihak menyangka Imam al-Syafi‘i berpandangan hukum Solat Jumaat adalah fardhu kifayah.

Sebab kekeliruan ini timbul apabila mereka membaca kalam imam al-Syafi‘i: “Sesiapa yang diwajibkan Solat Jumaat, maka diwajibkan juga ke atasnya Solat Raya.” Makna sebenar kalam Imam al-Syafi‘i ini adalah, sesiapa yang diperintahkan untuk mengerjakan Solat Jumaat secara wajib, maka dia sudah pasti dituntut juga untuk mengerjakan Solat Raya. Al-Qadhi Abu al-Tayyib dan lain-lain bersepakat bahawa pandangan yang mengatakan hukumnya adalah fardhu kifayah ini telah tersilap faham. Al-Qadhi Abu Ishaq al-Marwazi pula berkata: “Tidak halal untuk dinukilkan pandangan ini (Solat Jumaat fardhu kifayah) dari al-Syafi‘i, bahkan tidak ada perselisihan bahawa Mazhab al-Syafi‘i berpendapat Solat jumaat ini fardhu ain.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/483)

Antara yang tersilap dalam menukilkan hukum Solat jumaat ini adalah Imam al-Khattabi al-Maliki. Imam al-‘Iraqi berkata, dakwaan al-Khattabi bahawa kebanyakan fuqaha’ mengatakan Solat Jumaat itu fardhu kifayah perlu diteliti semula, kerana mazhab imam yang empat telah bersepakat bahawa hukumnya fardhu ain, dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh fuqaha’ masing-masing. (Lihat Nail al-Autar, 3/266)

  • Pihak yang menyangka hukum Solat Jumaat adalah sunat.

Kekeliruan ini timbul apabila mereka tersilap dalam memahami istilah “sunnah” di sisi Imam Malik.

Imam Ibn Wahb al-Fihri pernah menukilkan kesaksian Imam Malik bahawa Solat Jumaat ini hukumnya sunat. Imam Ibn al-‘Arabi mengatakan, terdapat dua takwilan dalam memahami istilah “sunnah” di sisi Imam Malik:

  • Sunnah yang dimaksudkan adalah fardhu.
  • Sunnah yang dimaksudkan berdasarkan kepada sifatnya, dan solat-solat lain yang ditetapkan oleh syara‘ tidak termasuk dalam hukum ini. Terdapat satu riwayat Ibn Wahb dari Imam Malik: Solat Jumaat ditetapkan ke atas semua orang yang mendengar azan Jumaat. (Lihat Nail al-Autar, 3/266)

Menafikan Kewajipan Solat Jumaat

Ada juga sebahagian individu dengan sengaja menafikan kewajipan Solat Jumaat, bukan kerana kesilapan dalam ijtihad atau penelitian mereka, sebaliknya penafian tersebut kerana ingkar dan bagi memenuhi kehendak dasar hawa nafsu yang malas untuk mendirikannya.

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata, ulama Muslimin bersepakat bahawa sesiapa yang mengingkari kewajipan solat, dia dihukumkan sebagai kafir dan murtad; kerana kewajipan ini thabit berdasarkan dalil-dalil qat‘i daripada al-Quran, al-Sunnah dan persepakatan ulama. Adapun mereka yang meninggalkannya kerana malas atau memandang remeh, dia adalah telah melakukan maksiat dan dihukumkan fasiq, kecuali sekiranya dia baru sahaja memeluk Islam atau dia tidak duduk di dalam komuniti orang Islam sehingga tidak sampa kepadanya akan kewajipan solat. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/658)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ringkas ini, kami katakan bahawa hukum Solat Jumaat bagi lelaki yang mencukupi syarat-syarat adalah fardhu ain. Sebarang dakwaan bahawa hukumnya adalah fardhu kifayah atau sunat, maka ia mungkin terbina di atas ijtihad yang silap. Mereka tidaklah berdosa kerana telah berusaha untuk mendapatkan hukum yang sebenar dalam masalah ini. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اجْتَهَدَ فَأَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِنْ اجْتَهَدَ فَأَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Apabila seseorang berijtihad dan benar ijtihadnya, maka baginya dua ganjaran. Dan sekiranya dia berijtihad dan tersilap, maka baginya satu ganjaran.”

Riwayat Abu Daud (3574), Ibn Majah (2314) dan Ahmad (17809)

Berbeza pula hukumnya jika orang yang mendakwa bahawa hukum Solat Jumaat ini bukan fardhu ain kerana sengaja menentang hukum yang telah ditetapkan oleh syara‘, maka orang tersebut dihukumkan murtad.

Semoga kita semua diberikan kefahaman yang benar dalam mengaplikasikan hukum-hakam Islam. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply