Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Wajibkah saya membayar zakat simpanan sedangkan saya seorang ibu tunggal tiada pendapatan. Saya perlu membeli ubat (breast cancer) dan masih menanggung anak yang masih belajar? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَیَأۡكُلُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَیَصُدُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِینَ یَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا یُنفِقُونَهَا فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ramai dalam kalangan pendeta Yahudi dan paderi Nasrani itu mereka makan harta orang ramai dengan cara yang batil dan menghalang jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tanpa menyedekahkannya ke jalan Allah; maka sampaikanlah khabar gembira buat mereka dengan azab seksa neraka yang amat pedih!”

(Surah al-Taubah: 34)

Imam al-Ramli mengatakan: “Ini adalah dalil kewajipan zakat pada harta wang yang dimiliki, seterusnya adalah ijma‘ (persepakatan) umat Islam atas perlaksanaannya. Perkataan يَكْنِزُونَ berasal daripada perkataan الْكَنْزُ yang bermaksud: setiap harta yang disimpan sahaja, dan tidak dizakatkan. Allah mengecam perbuatan tersebut. Sesiapa yang menyimpan sahaja harta tanpa menyalurkannya, maka dia telah menafikan hikmat wang diciptakan.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/84)

Secara umumnya, terdapat beberapa syarat bagi wajib zakat. Di antaranya ialah:

  • Islam: Justeru, zakat tidak dikenakan kepada orang kafir sekalipun mereka turut diperintahkan untuknya dan diazab kerana meninggalkannya.
  • Memiliki nisab.
  • Cukup haul. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/286).

Tiga syarat ini ada dijelaskan dengan lebih terperinci oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji sebagaimana berikut:

Pertamanya, Islam. Orang kafir tidak diwajibkan berzakat. Ini berdasarkan hadith Mu‘az R.A sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas. Kewajipan berzakat dituntut setelah mereka menerima dakwah dan masuk Islam. Ini berdasarkan kata-kata Abu Bakar R.A:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِى فَرَضَها رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Ini adalah kewajipan berzakat yang telah difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam.

            Riwayat al-Bukhari (1386)

Perkataan “ke atas orang Islam” itu jelas menunjukkan bahawa orang kafir tidak dituntut berzakat. Bagaimanapun, zakat yang tidak wajib ke atas orang kafir itu ialah zakat harta. Namun begitu, bagi zakat fitrah pula, mereka wajib mengeluarkannya untuk keluarga mereka yang beragama Islam serta yang berada di bawah tanggungannya.

Keduanya, memiliki nisab. Nisab ialah had minimum harta yang dimiliki.

Ketiganya, cukup setahun haul (حول) Qamariah memiliki nisab. Zakat tidak wajib dikeluarkan kecuali setelah genap setahun memilikinya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.

Riwayat Abu Daud (1573)

Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat tanaman, buah-buahan dan galian serta tidak disyaratkan genap setahun memilikinya. Oleh itu, zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/16-17).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya wang simpanan termasuk dalam jenis harta yang wajib dikeluarkan zakat apabila ia memenuhi syarat-syaratnya iaitu cukup nisab dan haul. Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).[1] Dalam erti kata lain, nisab zakat wang simpanan sama bersamaan nilai 85 gram emas zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.[2]

Dalilnya adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.

Riwayat Abu Daud (1572)

Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (21/29-30), para fuqaha bersepakat bahawa nisab emas yang menjadikannya wajib dikeluarkan zakat adalah 20 dinar, jika genap 20 dinar maka zakatnya adalah 2.5 %.

Kesimpulannya

Justeru, kami katakan bahawa wang simpanan wajib dikeluarkan zakat jika cukup nisab dan haulnya dengan kadar 2.5% daripada jumlah akhir baki simpanan di akhir haul. Ini kerana zakat harta diwajibkan apabila telah cukup syaratnya, tanpa mengira seseorang yang mengeluarkan zakat itu sedang menghidap penyakit apa, mahupun apa status pekerjaannya atau berapa ramai tanggungannya. Selagi dia mempunyai simpanan harta berupa wang ringgit, apabila cukup syaratnya; wajib zakat ke atas harta tersebut. Kaedah pengiraan zakat dan pembayaran boleh didapati di Pusat Pungutan Zakat negeri masing-masing.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami doakan kepada pembayar zakat:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.

[2] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-wang-simpanan/. Diakses pada 25 April 2024.

Leave a Reply