Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah kaedah memberi salam di akhir solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan mengemukakan riwayat daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Maksudnya: “Kunci pertama untuk solat adalah bersuci. Yang menjadikan seseorang itu memasuki solatnya dan dilarang melakukan pembatal solat adalah Takbir, dan yang menghalalkannya (pengakhiran solat) adalah memberi salam.”

Riwayat Abu Daud (61) dan al-Tirmizi (3)

Imam al-Qadhi Hussain berkata: “Memberi salam di akhir solat adalah rukun solat yang wajib dilaksanakan di sisi kita mazhab al-Syafi‘i berdasarkan perkataan Nabi SAW: وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ – (Dan pengakhirannya adalah memberi Salam). Kita berbeza dengan mazhab Abu Hanifah yang tidak mensyaratkannya sebagai wajib, dan menyatakan: solat boleh sahaja diakhirkan dengan melakukan apa sahaja perkara yang membatalkan solat dalam keadaan sedar dan mempunyai pilihan.(Lihat al-Ta ‘liqah atau Syarh al-Mukhtasar, 2/786)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa amalan-amalan sunat yang dianjurkan ketika memberi salam telah dijelaskan oleh para ulama mazhab al-Syafi‘i dalam kitab-kitab muktamad mazhab, antaranya dijelaskan oleh Imam Sa‘id bin Muhammad ba ‘Ali ba ‘Isyn dalam kitab Busyra al-Karim. Kami ringkaskannya buat semua seperti berikut:

“Amalan-amalan sunnah ketika al-Taslim (memberi salam untuk keluar daripada solat):

  1. Memberi salam (yang pertama) adalah salah satu rukun solat. Hukumnya wajib. Tujuannya adalah untuk mengakhirkan solat selepas selesai melaksanakan semua rukunnya.
  2. Memberi salam yang kedua hukumnya adalah amalan sunat yang dituntut.
  3. Lafaz Salam yang sempurna adalah: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ – Assalamu‘alaikum warahmatullah, manakala penambahan وَبَرَكَاتُهُ – wabarakatuh hanya dilafazkan ketika solat jenazah sahaja.
  4. Disunatkan untuk menoleh kepala ke kanan pada salam pertama sehingga makmum di kanan boleh melihat pipi kanan Imam, dan menoleh kiri pada salam yang kedua sehingga makmum kiri boleh melihat pipi kiri Imam. Imam Abu Hamid al-Ghazali berkata dalam kitab al-Ihya’: bahkan sehingga makmum belakang boleh melihatnya.
  5. Hendaklah memulakan salam (menyebut: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ) dalam keadaan menghadap ke hadapan (arah kiblat), dan hanya menoleh kepala ketika menyebut: وَرَحْمَةُ اللهِ, untuk menghindari perbuatan al-iltifat (sesuka hati menoleh dengan pantas) di dalam solat.
  6. Disunatkan untuk berniat keluar solat ketika hendak memberi salam yang pertama, sepertimana diwajibkan berniat memasuki solat ketika melakukan takbiratul Ihram.
  7. Disunatkan untuk meniatkan salam yang diberikan itu kepada orang-orang yang berada di belah kanan dan kirinya; seperti para Malaikat, manusia dan jin Muslim.
  8. Dilarang untuk memanjangkan bacaan Salam. Beri salam dengan tempoh masa yang pendek dan singkat di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab al-Tuhfah.
  9. Disunatkan kepada orang di luar solat (termasuklah makmum yang di sebelah yang sudah selesai solat) untuk menjawab salam yang dilafazkan oleh orang yang sedang mengakhiri solatnya di atas keumuman dalil hadith arahan menjawab salam yang diberikan.”

(Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 243-244)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلّامُ وّمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَالْجَلَالِ وَالْإكْرَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkaulah Maha Sejahtera, daripada-Mu jualah kesejahteraan itu datang, betapa banyak keberkatan dari sisi-Mu, wahai Tuhan yang Maha Empunya Keagungan dan Kemuliaan.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply