Sale!
Original price was: RM28.00.Current price is: RM20.00.
Sale!
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
Sale!

Buku Fizikal

Taufan Al-Aqsa

Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM20.00.Current price is: RM10.00.
Sale!
Original price was: RM40.00.Current price is: RM30.00.
Sale!

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Sale!
Original price was: RM70.00.Current price is: RM60.00.

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Kebanyakan restoran di Perancis ada menyediakan menu masakan escargot. Justeru, persoalan saya, adakah ia halal untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah Ma’idah: 4)

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[1]

Definisi escargot

Escargot ialah apa yang biasa dipanggil siput apabila seseorang itu merancang untuk memakannya. Restoran Perancis tradisional selalunya memasukkan escargot dalam menu mereka. Idea makan siput mungkin membuat anda berasa sedikit mual, tetapi hidangan itu mungkin akan mengejutkan anda. Escargot biasanya dimasak dalam sos mentega yang kaya dan berbau bawang putih, dan ia lazat. Siput yang digunakan untuk escargot sangat besar, dan hidangan itu biasanya dihidangkan sebagai pembuka selera. Escargot berasal daripada perkataan Perancis yang merujuk kepada ‘siput’.[2] Secara spesifiknya, siput yang digunakan dalam ‘masakan escargot’ ini mungkin tergolong dalam salah satu daripada dua spesies iaitu sama ada Helix pomatia atau Helix aspersa.

Gambar di atas: Siput daripada spesies Helix pomatia

Dikatakan siput adalah sumber daging yang cukup sihat, rendah lemak dan tinggi protein. Selain itu, terdapat pendapat menyebutkan bahawa siput sebenarnya bukan serangga. Sebaliknya, Britannica menyenaraikannya sebagai moluska, yang menjadikan mereka lebih berkait rapat dengan kerang, tiram dan sotong berbanding haiwan yang mempunyai kaki yang berbilang dan merangkak. Escargot atau siput yang digunakan dalam masakan ini boleh didapatkan melalui pembelian secara atas talian ataupun dibeli di sebahagian pasar makanan laut, sama ada yang sudah diproses (yakni dalam tin) atau masih hidup (yakni siput segar). Sekalipun begitu, spesies siput yang boleh digunakan dalam ‘masakan escargot’ tidak terhad kepada jenis Helix pomatia dan Helix aspersa sahaja. Hampir mana-mana siput yang cukup besar yang dijumpai di taman-taman, boleh digunakan dan dimakan jika disediakan dengan betul.[3]

Gambar di atas: Siput daripada spesies Helix aspersa

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa masakan escargot itu adalah berasaskan kepada siput darat, yang dikenali dalam kalangan masyarakat kita sebagai siput babi. Siput ialah haiwan yang badan lembutnya biasanya dilitupi cangkerang berlingkar. Siput merayap menggunakan organ berotot yang kuat yang dikenali sebagai kaki. Badannya mempunyai kepala berserta tentakel, mata, mulut dan gigi yang halus. Mungkin terdapat lebih daripada 80000 jenis siput. Sesetengahnya lebih kecil daripada saiz kepala jarum peniti. Yang lain membesar sehingga 60 sentimeter panjangnya. Siput hidup hampir di merata tempat — di hutan, gurun, sungai, kolam, dan semua bahagian lautan. Banyak siput yang hidup di darat memakan tumbuhan yang reput. Siput yang hidup di sungai dan tasik memakan tumbuhan air dan haiwan yang mati. Sesetengah siput laut memakan rumpai laut, dan sesetengah memakan lain-lain haiwan laut. Beberapa siput laut adalah parasit dan hidup dalam badan tapak sulaiman atau di dalam karang.

Gambar di atas: Siput segar (fresh snail) dari ladang sedang dimasukkan ke dalam kotak untuk dijual

Siput boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan, mengikut tempat ia tinggal; di darat, dalam air tawar, atau dalam air masin. Banyak siput yang hidup di darat mempunyai kedua-dua organ seks jantan dan betina. Siput darat terdapat di tempat yang lembap, redup — di bawah kayu dan batu, di tepi kolam dan sungai, dan di hutan. Kebanyakan siput darat hidup di atas tanah. Tetapi, di hutan tropika, banyak jenis siput yang besar, berwarna-warni terdapat di atas pokok. Semua siput darat mempunyai paru-paru. Kebanyakan siput adalah makanan penting bagi ikan, burung, dan krustasia seperti udang krai dan udang kara. Ramai orang menganggap siput taman Helix, yang dikenal sebagai escargot, sebagai makanan istimewa. Siput turban di Australia digunakan untuk membuat butang kemeja bak mutiara. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 20/106-108)

Hukum memakan escargot (siput babi)

Secara umumnya, para ulama berselisih pendapat mengenai hukum memakan escargot atau siput yang dikenali dalam masyarakat kita sebagai siput babi ini, kepada dua pendapat.

Pendapat pertama, siput yang hidup di darat adalah haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti lalat, semut, cicak dan seumpamanya. Hal ini kerana ia dianggap jijik dan kotor, serta tabiat semula jadi manusia menjauhinya. Ini merupakan pendapat dalam mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan Daud sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16)

Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi “الطَّيِّبَاتِ” ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan “الْخَبَائِثَ” pula bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83)

Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Begitu juga, Ibn Hazm al-Zahiri juga berpendapat bahawa tidak halal untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam jenisnya kerana haiwan-haiwan itu tidak boleh disembelih. Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada haiwan tersebut sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram untuk dimakan kerana terdapatnya halangan bagi memakannya — yakni tidak boleh disembelih — kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (Lihat al-Muhalla, 6/77)

Pendapat kedua, semua hasyarat atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti siput daratan adalah halal dimakan. Ini merupakan pendapat Imam Malik seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16)

Terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”

Riwayat Abu Dawud (3798)

Tambahan lagi, Imam Malik pernah ditanya berkenaan sejenis haiwan yang disebut sebagai siput (halazun) yang terdapat di padang pasir dan melekat di pokok-pokok. Adakah ia boleh dimakan? Beliau menjawab dengan berpendapat bahawa hukumnya adalah seperti belalang. Sekiranya ia masih hidup, kemudian ia dimatikan dengan cara direbus atau dipanggang, maka tidak mengapa memakannya. Sekiranya ia telah mati (yakni mati dengan sendirinya), maka ia tidak boleh dimakan — kerana dianggap menjadi bangkai. (Lihat al-Mudawwanah, 1/542)

Selain itu juga, Abu al-Walid al-Baji turut menyebutkan:

فَحُكْمُ الْحَلَزُونِ حُكْمُ الْجَرَادِ قَالَ مَالِكٌ: ذَكَاتُهُ بِالسَّلْقِ أَوْ يُغْرَزُ بِالشَّوْكِ وَالْإِبَرِ حَتَّى يَمُوتَ مِنْ ذَلِكَ وَيُسَمَّى اللَّهُ تَعَالَى عِنْدَ ذَلِكَ كَمَا يُسَمَّى عِنْدَ قَطْفِ رُءُوسِ الْجَرَادِ

Maksudnya: “Hukum siput adalah sebagaimana hukum belalang. Imam Malik berkata: ‘Sembelihannya adalah dengan cara merebusnya atau mencucuknya dengan duri atau jarum sehingga ia mati disebabkan perkara tersebut, sambil disebutkan nama Allah — yakni basmalah — seperti mana disebutkan juga basmalah ketika mencabut kepala belalang.” (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 3/110)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa escargot — atau siput babi — adalah haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis hasyarat yang dianggap jijik dan kotor, serta tabiat semula jadi manusia menjauhinya sebagaimana pendapat jumhur ulama.

Tambahan pula, Imam al-Nawawi ada menjawab mereka yang menjadikan riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah sebagai hujah bagi menghalalkan hasyarat, dengan menyebutkan bahawa perkataannya yang mengatakan beliau tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat, tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/17) Apatah lagi siput babi tidak dianggap sebagai makanan yang baik oleh kebanyakan masyarakat Islam di negara kita, sebaliknya ia dilihat sebagai sesuatu yang jijik dan kotor.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 2 Mac 2022.

[2] Lihat https://www.vocabulary.com/dictionary/escargot. Diakses pada 2 Mac 2022.

[3] Lihat https://www.mashed.com/197900/what-is-escargot-and-how-is-it-served/. Diakses pada 2 Mac 2022.

Leave a Reply