Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada soalan. Bolehkah kita mandi wajib membasuh kepala kemudian syampu kepala. Selepas syampu kepala kita sambung mandi wajib ke bahagian badan hingga ke kaki? Maksudnya, tidak berterusan meratakan air ke seluruh badan, boleh atau tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 222)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan untuk memisahkan basuhan mandi wajib dengan meletakkan sabun badan atau kepala; kerana muwalat dan tatabu‘ (berturut-turut) dalam membasuh anggota wuduk adalah tidak diwajibkan, hanya disunatkan seperti wuduk juga.

Ini kerana mandi Wajib yang disebut sebagai al-ghusl (الْغُسْلُ) hanya mempunyai dua rukun sahaja iaitu:

  1. Niat untuk mengangkat hadas besar ketika kali pertama membasuh mana-mana anggota,
  2. Meratakan air ke seluruh anggota badan.

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan: “(Imam al-Nawawi berkata: (Niat) diiringi basuhan kali pertama) iaitu kali pertama basuhan air dijiruskan kepada badan; sama ada di arah atas atau bawah, tiada tertib yang wajib padanya. Jika niat itu diniatkan selepas menjirus bahagian tersebut, maka hendaklah membasuh semula bahagian itu (dengan niat).” (Lihat Mughni al-Muhtaj fi Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 1/218)

Muwalat dan al-tatabu‘ (berturut-turut) tidak disyaratkan atau diwajibkan bagi mandi wajib dan wuduk, namun ia merupakan perkara sunat ketika berwuduk. Maka, boleh juga diqiaskan dengan mandi wajib. Sunat juga untuk melakukan muwalat (berturut-turut) ketika mandi wajib.

Imam Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Isyn berkata: “Antara sunat wuduk juga adalah al-tatabu‘ antara setiap perbuatan wuduk, iaitu dilakukan secara berturut-turut, dengan erti terus membasuh anggota selepasnya sebelum anggota sebelumnya kering, untuk menuruti sunnah Rasulullah SAW yang melaksanakannya sedemikian.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 103)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply