Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah perbuatan menghisap vape (rokok elektronik) atau rokok membatalkan wuduk yang masih ada? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah al-Baqarah (195)

Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Tambahan lagi, Syeikh al-Sa’di menyebut ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa menghisap rokok atau vape (rokok elektronik) adalah tidak membatalkan wuduk. Walau bagaimanapun, menghisap rokok adalah haram menurut fatwa ulama mazhab al-Syafi‘i.

Hal ini kerana perkara-perkara yang membatalkan wuduk di sisi mazhab al-Syafi‘i adalah seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Nawawi Banten al-Jawi adalah seperti berikut:

  1. Keluar sesuatu daripada lubang qubul dan dubur manusia yang masih hidup,
  2. Kehilangan akal kerana pengsan, pitam, gila dan mabuk,
  3. Tidur yang tidak tetap punggungnya,
  4. Menyentuh kemaluan sama ada hadapan dan belakang dengan tapak tangan,
  5. Persentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang dewasa, kecuali yang mahram.

(Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hlm. 26-28)

Berdasarkan senarai pembatal wuduk di atas, jelaskah kepada kita bahawa menghisap rokok atau vape bukanlah salah satu daripada perkara-perkara yang membatalkan wuduk seseorang.

Larangan Merokok

Meskipun tidak membatalkan wuduk, namun merokok adalah haram di sisi syarak. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke 41/1995 yang bersidang pada 29 Julai 1995 juga telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana terdapat kemudaratan.

Al-Habib ‘Abd al-Rahman bin Muhammad Ba ‘Alawi al-Hadrami al-Syafi‘i menyenaraikan para fuqaha’ mazhab al-Syafi‘i di Yaman yang mengharamkan rokok menerusi perkataan beliau: “Tembakau (rokok) sudah dimaklumi sebagai sesuatu yang paling buruk dan boleh mengkhayalkan dan berlakunya pembaziran harta. Tembakau bukanlah menjadi pilihan makanan, hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah.

Pengharaman mengenainya telah difatwakan oleh ulama tasawuf seperti al-Qutb Saidina al-Habib Abdullah al-Haddad, al-Allamah Ahmad al-Hadwan, sebagaimana yang disebut oleh Ahmad bin Umar bin Sumaith tentang pendapat keduanya dan ulama lain yang sependapat dengan mereka.

Begitu juga al-Habib Imam al-Husain bin Syeikh Abu Bakar bin Salim dengan panjang lebar membuat amaran keras mengenai tembakau, beliau (al-Habib) mengatakan: “Aku khuatir akan orang yang tidak bertaubat daripada merokok sebelum matinya, dia akan mati dalam keadaan su’ al-khatimah (mati yang berkesudahan buruk).” (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhis Fatawa ba‘dh A’immah al-Muta’akhkhirin, hlm. 260)

Apatah lagi, menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan dan kerosakan adalah diharamkan di dalam Islam. Ini merupakan dalil tunjang bagi mengharamkan segala perkara yang memudaratkan termasuklah rokok. Allah SWT berfirman:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ

Maksudnya: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah (untuk kebaikan diri kalian sendiri).”

Surah al-Baqarah (195)

Kita wajib menghindari budaya merokok dan menghisap rokok elektronik (vape) kerana ia terbukti boleh mendatang kemudaratan dan bahaya bagi kesihatan kita. Tubuh badan kita adalah amanah Allah SWT kepada kita yang wajib dijaga dan dipelihara sebaiknya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply