Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Islam menghalang dan mencegah seseorang daripada mencela mayat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”

(Surah Taha: 55)

Syeikh al-Sa’di menyebut: Setelah Allah menceritakan tentang kemuliaan bumi dan ia sebagai tempat untuk bersyukur, kerana Allah telah mencurahkan hujan di atasnya dan dengan izin-Nya, Dia mampu menghasilkan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Maka, dalam ayat ini, Dia memberitahu bahwa Dialah yang menciptakan kita dari tanah, dan ke situ juga Allah akan mengembalikan kita setelah kita meninggal dan dikubur di dalamnya. Dari situ juga Allah akan membangkitkan kita “pada suatu masa yang lain,” sebagaimana Dia telah menciptakan kita dari tanah dari ketiadaan sebelumnya, dan kita sudah mengetahui dan membuktikannya, Dia akan mengembalikan kita dengan membangkitkan kita darinya setelah kematian kita. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 233)

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW, sebagaimana dalam riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَسُبُّوا الأَمْوَاتَ، فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا

Maksudnya: “Janganlah engkau mencela orang-orang yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka telah pun sampai kepada setakat apa yang telah mereka lakukan.”

Riwayat al-Bukhari (1393)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

lbn Rasyid berkata: “Sesungguhnya menceritakan keburukan mayat dapat dibahagikan kepada; Perkara yang dibolehkan dan perkara yang tidak dibolehkan, dan ini berlaku sama ada bagi orang kafir mahupun orang Muslim. Menceritakan keburukan orang kafir yang tidak dibolehkan adalah apabila dapat menyinggung orang Muslim yang masih hidup. Sedangkan menceritakan keburukan orang Muslim itu dibolehkan apabila keadaannya memerlukan, seperti dalam rangka persaksian. Bahkan, pada sebahagian kesempatan hal itu menjadi wajib.

Terkadang juga mengandungi kemaslahatan bagi mayat; seperti seseorang yang mengetahui telah mengambil harta orang lain dengan persaksian palsu, lalu saksi tersebut meninggal dunia. Maka menyebutkan perihal persaksian palsu itu memberi manfaat bagi mayat jika disebabkannya harta tadi dapat dikembalikan kepada yang berhak.” (Lihat Fath al-Bari, 7/454)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, zahir hadith menunjukkan kepada larangan dan haram untuk mencela mayat secara mutlak, tidak kira mayat itu orang Islam atau kafir, orang fasik ataupun orang soleh. Akan tetapi mengikut pendapat yang sahih terdapatnya pengecualian dalam hal tersebut, di mana dibenarkan untuk menyebut keburukan orang kafir dan orang fasik bagi tujuan memberi peringatan terhadap mereka, menjauhi dari mereka, dan untuk mengingatkan agar tidak mengikuti jejak mereka atau mengikut akhlak mereka. Namun, hal itu dibenarkan dalam Islam sekiranya terdapat kepentingan syariah untuk umat Islam.

Nabi SAW melarang mencela mayat dengan alasan bahawa mereka telah pun sampai kepada setakat apa yang mereka lakukan dan mendapatkan ganjaran daripada apa yang mereka lakukan, tidak kira ia perbuatan baik atau buruk. Allahlah yang memberi balasan, jadi tidak ada faedah atau manfaat dalam mencela dan memaki mereka. Oleh itu, perbuatan memaki mayat dan mencelanya dihukumkan sebagai haram melainkan untuk kepentingan syariah atau terdapatnya dalil lain yang mengkhususkan keumuman larangan tersebut.

Sebab atau ‘illah kedua yang dinyatakan adalah supaya tidak menyakiti orang yang masih hidup dengan celaan tersebut yang terdiri dalam kalangan anak-anak di mati, kaum kerabatnya dan orang yang berada di bawah perlindungannya. ‘Illah atau sebab pertama dalam larangan mencela mayat adalah kerana mereka talah mendapatkan balasan atas apa yang mereka lakukan. Oleh itu, larangan ini bersifat umum melainkan terdapatnya kepentingan syariah dalam hal tersebut. Begitu juga jika celaan ke atas mayat itu turut memberi kesan kepada orang yang masih hidup atau menyakitinya, maka pengharaman itu dari dua sudut. Sekiranya tidak, pengharaman itu hanya dari satu sudut.

Selain daripada itu, para ulama telah bersepakat (ijma‘) berkenaan keharusan untuk mengkritik perawi-perawi yang majruh tidak kira mereka masih hidup mahupun sudah meninggal dunia dengan tujuan untuk menjelaskan keadaan mereka dan mengaitkan hukum syariah dengan keadaan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/277-278)

Daripada al-Haitham bin ‘Ubaid al-Saidalani, beliau berkata: “Ibn Sirin mendengar seorang lelaki yang sedang mencaci al-Hajjaj (setelah kematiannya). Beliau pun berkata: ‘Wahai tuan, berhentilah dan fikirkan! Jika engkau telah sampai di akhirat, dosa paling kecil yang pernah engkau lakukan akan terasa lebih besar bagimu daripada dosa terbesar yang pernah dilakukan oleh al-Hajjaj.’” (Lihat Fasl al-Khitab, 2/366)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply